09 Mei 2012

Puasa dan Munajat Perdana Dewan Pemuda PAS Malaysia .

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

1. Fitnah makin menggila, terutama kepada PAS serta anggota dan pemimpinnya. Al Mursyidul Am PAS, Ayahanda Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggap Father of Kafir oleh Bekas Ketua Polis Negara dan disiar pula oleh NST.

2. Pengarah Jabatan AMAL Malaysia saudara Johari Osman diugut dengan sepucuk surat berisi sebutir peluru hidup. Sebelumnya Saudara Mat Kamal bin Ismail anggota Jabatan AMAL Teluk Kemang telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi selepas 10 hari himpunan aman BERSIH 3.0 berlangsung.

3. TV 3 dan Utusan Malaysia tidak henti - henti menabur fitnah kononnya BERSIH 3.0 yang disokong dan disertai oleh PAS telah melakukan keganasan, memusnahkan harta benda, bermaksud menggulingkan kerajaan secara rusuhan malah turut dikait sebagai mencemarkan kesucian Tanah Suci Makkah dan Madinah

4. Menolak dan menangkis segala fitnah jahat secara sistematik yang dilakukan kepada PAS maka kami Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh ummat Islam prihatin khasnya pemuda PAS agar berpuasa selama 3 hari berturut - turut iaitu bermula hari Khamis, Jumaat dan Sabtu [ 10, 11 dan 12 May 2012 ] kemudian diakhiri dengan Munajat Perdana pada Hari Sabtu [ 12 May ] jam 8.45 malam serentak seluruh negara di kawasan masing - masing.

5. Tentatif Program.
Khamis [ 10 May 2012 ] : Puasa
Jumaat [ 11 May 2012 ] : Puasa
Sabtu [ 12 May 2012 ] : Puasa

Sabtu [ 12 May 2012 ]
7. 15 pm : Majlis berbuka puasa
7. 30 pm : Solat Maghrib berjamaah
7. 40 pm : Makan Malam
8. 00 pm : Tazkirah : Istiqamah dalam Perjuangan
8. 20 pm : Solat Isyak Berjamaah
8. 30 pm : Solat Hajat dan Munajat Pejuang [ serentak seluruh negara ]

Lokasi : Markaz Tarbiyah PAS Kawasan.
Anjuran : Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Nota : Munajat Pejuang akan di muat naik ke Laman Web Dewan Pemuda PAS Malaysia pada pagi Jumaat. Sila print out untuk munajat yang sama dan serentak seluruh negara.

Sekian Terima Kasih.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia .

Pemilik Costa Concordia bayar pampasan dua juta euro

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PARIS: Pemilik kapal persiaran Costa Concordia yang terkandas di luar barat laut perairan Itali Januari lalu membayar pampasan lebih dua juta euro kepada mangsa warga Perancis yang terselamat dalam nahas itu, kata peguam mereka hari ini.

Costa Crociere, yang dimiliki syarikat gergasi Amerika Syarikat, Carnival Corporation, membayar 9,000 euro (RM35,841) kepada setiap seorang membabitkan 235 mangsa yang terselamat, kata peguam Bernard Courtois.

Seramai 32 orang terbunuh apabila Costa Concordia terbalik pada 13 Januari lalu ketika membawa 3,200 penumpang.

Daripada jumlah itu, 456 adalah warga Perancis dan 180 daripada mereka menerima bayaran 11,000 euro (RM43,806) setiap seorang daripada syarikat sebagai pertukaran untuk menggugurkan sebarang tindakan undang-undang; kira-kira 20 mangsa pula memfailkan saman secara bersama manakala 20 lagi mengambil tindakan mahkamah secara individu. - AFP

Lagak samseng: Buruh diperintah bayar pampasan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Gara-gara cuba berlagak samseng dengan memecahkan cermin kereta milik seorang doktor, bulan lalu, seorang buruh menerima padah apabila didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Selain itu, Mohamad Firdaus Ismail, 22, juga diarah Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly supaya membayar pampasan berjumlah RM2,000 kepada mangsa. Sekiranya gagal, dia akan dihukum sembilan bulan penjara.

Mohamad Firdaus dari Kampung Pauh Badang, Jalan PCB di sini, didapati bersalah melakukan perbuatan khianat itu pada jam 7.30 pagi, 21 April lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu, seorang doktor pakar, menaiki kereta jenis Mercedez Benz melalui Lorong Sekolah Ismail 3 dan berselisih dengan kereta dinaiki Mohamad Firdaus sebelum berlaku perselisihan faham.

Selesai menghantar anaknya ke sekolah, pengadu sekali lagi melalui jalan sama dan keretanya ditahan Mohamad Firdaus yang mengarahkan pengadu supaya turun dari kereta.

Pengadu yang bimbang akan keselamatannya enggan turun dan Mohamad Firdaus kemudian memukul cermin hadapan kereta menggunakan sebatang kayu.

Pengadu yang tidak berpuas hati membuat laporan dan polis menahan Mohamad Firdaus.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman.

Sinar Harian

Bibir Raja Ular 'dicium' tedung

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Pengalaman banyak kali dipatuk ular menyelamatkan seorang pemuda dari Guchil 1, dekat sini, Mohd Hamdan Mahadi apabila dia sekali lagi dipatuk tedung senduk dan kali ini pada bibir.

Mohd Hamdan, 26, berkata, kejadian berlaku ketika dia membuat pertunjukan ular sempena program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri Mengkebang, di sini, Sabtu lalu.

Katanya, tedung senduk dianggarkan berusia lima tahun yang mematuknya itu baru ditangkap di Guchil, kira-kira empat jam sebelum pertunjukan.

“Kali pertama saya buat pertunjukan bersama ular ini tidak berlaku apa-apa tetapi pada kali kedua, masa nak cium, ular ini terus patuk, mungkin disebabkan saya tersilap menggerakkan bibir.

“Bila nampak banyak darah keluar dan bibir rasa kebas, saya terus minum air dan gunakan penawar bisa ular yang ada dalam simpanan saya, kemudian baru pergi ke hospital untuk cuci luka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hamdan yang ada kebolehan menjinakkan ular sejak berusia lima tahun berkata, meski pun pernah beberapa kali dipatuk ular sebelum ini, namun ini kali pertama dia dipatuk di bibir.

“Kalau orang tidak ada pengalaman, mungkin boleh rebah dan tidak sedarkan diri atau boleh bawa maut sebab patukan kena pada bibir dan bisa mudah merebak.

“Sebelum ini, kali terakhir saya dipatuk kira-kira tiga bulan lalu bila tedung selar rotan yang ditangkap lebih dua tahun lalu tiba-tiba patuk paha saya masa nak keluarkannya dari kotak,” katanya.

Biar pun kejadian terbaru itu hampir meragut nyawanya, Mohd Hamdan berkata, dia tidak akan lemah semangat atau serik untuk terus ‘bersahabat’ dengan haiwan tersebut.

“Orang ramai perlu bantuan untuk jinakkan ular atau nak penawar bisa ular boleh hubungi saya di 012-9619443,” katanya yang dikenali dengan gelaran Hamdan Raja Ular dalam kalangan penduduk setempat.

Kisah Mohd Hamdan sering mendapat liputan media kerana kebolehan luar biasanya menjinakkan ular berbisa seperti tedung selar selain kerap dijemput membuat pertunjukan ular di seluruh negara.

Dia juga membantu orang ramai termasuk hingga ke selatan tanah air selain dipanggil membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah untuk menangkap ular.

Sinar Harian

Komplot pengeboman pesawat AS dihalang

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

WASHINGTON - Komplot meletupkan sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS) oleh cabang kumpulan Al-Qaeda di Yaman menjelang setahun kematian pemimpinnya, Osama bin Laden berjaya dipatahkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Menurut penyiasat FBI, bahan letupan plastik disembunyikan di dalam pakaian dalam seorang lelaki Nigeria kemudian gagal meletup ketika suspek sedang memasuki sebuah pesawat yang bakal berlepas ke Detroit.

Pembongkaran komplot serangan berani mati itu dipercayai didalangi militan Al-Qaeda bagaimana pun tidak mengundang bahaya kepada orang awam.

Pihak berkuasa memberitahu, bom yang diimprovasi itu dirampas di luar AS dan kelihatan serupa dengan jerangkap rekaan elektrik (IED) yang mana digunakan sebelum ini oleh Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), melibatkan cubaan serangan pengganas, pesawat dan pembunuhan terancang.

AQAP sebelum ini dikaitkan dengan komplot serangan Hari Krismas 2009, termasuk rancangan meletupkan beberapa pesawat udara kargo yang pada ketika itu sedang menuju ke AS dengan menyembunyikan bahan letupan di dalam kartrij pencetak.

Sinar Harian

Suami isteri maut dalam kemalangan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Rasah, di sini, malam kelmarin.

Phang Ching Wah, 55, dan isterinya, Chong May Chin, 49, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Rasah dari Seremban.

“Kenderaan pelbagai guna dipercayai dipandu laju merempuh mangsa yang membuat pusingan U di lorong kanan. “Akibatnya, mangsa terpelanting hampir 100 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu kenderaan melarikan diri tetapi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, tengah malam kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Assistan Ko­misioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian

Mike cabar Skuad 2013

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BEKAS pemain kebangsaan, Maninderjit Singh mencabar skuad hoki (Skuad 2013) mengatasi pencapaian terbaik skuad remaja negara yang muncul naib juara Kejohanan Piala Remaja Asia Kedua di Kuala Lumpur, 13 tahun lalu.

Cabaran itu dilontarkan selepas menyaksikan anak buah Muhammad Dhaarma Raj berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2012 menentang India, esok.

Maninderjit yang lebih dikenali sebagai Mike ketika zaman kemuncaknya juga percaya sekiranya Skuad 2013 mampu mengekalkan momentum sama pada perlawanan sebelum ini, tidak mustahil mereka mampu menewaskan India sekali gus menempah slot ke perlawanan akhir.

“Tidak dinafikan India merupakan kuasa besar hoki. Tapi saya percaya kita sudah berada di tahap terbaik dan menewaskan mereka bukanlah satu misi yang terlalu sukar.

“Rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan kali ini juga bukti pasukan ini semakin matang dan kelebihan bermain di laman sendiri tidak harus disia-siakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Untuk rekod, India pernah membenam Malaysia dalam kejohanan sama pada 2000.

Selaku tuan rumah rumah, Malaysia sekadar meriah tempat ketiga, manakala Pakistan menjuarai kejohanan tersebut.

Berjaya melaksanakan misi menempah tiket ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan, skuad negara yang kini ditangga ke-19 terbaik Asia diletakkan sepenuh harapan untuk mencipta kejayaan berganda.

“Misi melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja sudah berjaya mereka laksanakan. Kini mereka perlu ber­juang habis-habisan untuk ke final, sekali gus menjuarai kejohanan ini sebagai hadiah kepada penyokong yang tidak pernah jemu memberikan sokongan,” katanya.

Selain perlawanan Malaysia dan India, satu lagi aksi separuh akhir melibatkan pertembu­ngan Pakistan menentang Korea Selatan.

Sepanjang kejohanan ini, skuad hoki negara mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mudah membenam Jepun 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, kelmarin.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu hadir selepas membelasah Iran 6-1 dan Korea Selatan 6-3.

Sinar Harian

7 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Tualang Banggu, Binjai dekat sini, musnah sekelip mata dalam kebakaran, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, empat daripada ahli keluarga terbabit yang berehat dikejutkan dengan api yang marak bermula dari bahagian dapur mereka.

Mangsa, Mohd Rosli Zulkafli, 35, berkata, ketika kejadian dia menebang buluh di belakang rumahnya manakala, isterinya, Rosmawati Bongsu, 34, dan anak bongsunya, Hanif Haikal, 5, menonton televisyen di ruang tamu sementara tiga lagi anaknya berada di sekolah.

Mohd Rosli yang bekerja sebagai buruh itu menyedari kebakaran terbabit apabila mendengar ibu mertuanya, Hamidah Yassin, 50, menjerit meminta tolong sambil berlari keluar menyelamatkan diri masing-masing.

“Terkejut dengan jeritan itu, saya terus berlari masuk ke dalam rumah dan melihat ada api sudah marak pada enjin mengepam air yang terletak di dapur kami.

“Saya cuba memadam kebakaran tetapi tidak berdaya dan saya berlari keluar mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung tetapi rumah kami gagal diselamatkan juga kerana api marak dengan cepat ,” katanya ketika ditemui semalam.

Akibat kejadian itu, tangan kanan Mohd Rosli turut melecur dan dia mengesyaki kebakaran yang memusnahkan rumah mertuanya itu berpunca daripada enjin mengepam airnya sering rosak dan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zainuddin Senawi, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.13 petang dan 16 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika sampai rumah tersebut hangus dan kita mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran. Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Terlepas hukuman mati kerana anak kecil

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang ibu muda kepada enam anak terlepas daripada hukuman mati selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan pilihan atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 62.26 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abd Rahim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Kokila Mugeon, 24, atas tuduhan pilihan dari mengedar ke memiliki dadah itu di sebuah rumah Jalan Kulim, Sungai Lembu, Bukit Mertajam, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam, 1 Mac 2011.

Dalam penghakiman ringkas, Zamani yang menerima pengakuan bersalah daripada Kokila berkata mahkamah menjatuhkan hukuman minimum terhadap wanita itu dengan mengambil kira prinsip ‘temper justice with mercy’.

Kokila yang meringkuk dalam tahanan penjara selama setahun didapati melahirkan anak bongsu yang kini berusia sembilan bulan di dalam penjara, bagaimanapun semalam Kokila bernasib baik menerima peluang kedua apabila Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar menawarkan pertuduhan pilihan.

Dalam rayuan, Mohd Ismail Mohamad dan Noraishah Ismail mewakili Kokila memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum terhadap anak guamannya untuk memberi peluang memulakan hidup baru bersama anaknya.

“Kokila adalah ibu kepada anak berusia lapan, tujuh, enam, lima, tiga dan sembilan bulan. Difahamkan, suami Kokila dalam tahanan polis.

“Oleh itu saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kepada Kokila supaya dia kembali kepada keluarga untuk memulakan hidup baru dengan anak-anaknya. Pengakuan bersalah Kokila sebelum kes bicara bermula menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya.

Agency

Bawa dadah RM1.2 juta ibu dua anak ditahan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR- Seorang ibu kepada dua anak ditahan di laluan pejalan kaki Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam ketika cuba menyeludup dadah ke negara ini Sabtu lalu.

Wanita berusia 43 tahun itu ditahan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Pengarahnya, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, wanita itu ditahan setelah mendapati kandungan bagasi yang dibawanya agak mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkusan berbalut pita pelekat berwarna coklat mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah jenis syabu seberat 4.55 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM1.2 juta.

“Modus operandi yang digunakan wanita warga Vietnam ini sama seperti beberapa kes sebelum ini dengan meletakkan bungkusan itu pada bahagian bawah beg untuk mengelak daripada dikesan.

“Lapisan petak diletakkan di bahagian atas bungkusan dan kemudian beberapa helai pakaian diletakkan di atas lapisan itu,” katanya kepada media di pejabat KDRM semalam.

Beliau berkata, wanita itu dipercayai kali pertama melakukan kegiatan itu dan menjadi keldai dadah.

Menurutnya, dadah itu dipercayai diambil dari Thailand atau Kemboja untuk dipasarkan ke Kuala Lumpur.

“Wanita itu direman bermula 6 hingga 12 Mei dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sinar Harian

Banjir di Thailand punca kemerosotan

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

FRASER & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatat perolehan RM1.47 bilion pada separuh tahun pertama berakhir 31 Mac 2012, susut 28 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Datuk Ng Jui Sia berkata, syarikat menjangka perolehan lebih rendah berikutan­ pemberhentian perniagaan Coco-Cola, selain bencana alam di Thailand mengakibatkan kerosakan teruk di kilang pengeluaran sekali gus menyebabkan kerugian terhadap pengeluaran dan jualan.

“Jika sumbangan Coca-Cola RM269 juta dikecualikan, perolehan Kumpulan susut 17 peratus sahaja berikutan kehilangan pendapatan­ di Thailand. Catatan jualan Dairies Malaysia lebih rendah disebabkan volum tahun lalu meningkat akibat jualan memberangsangkan sebelum berlakunya peningkatan harga dan ketiadaan jualan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di sebalik pelbagai cabaran itu, segmen minuman ringan berjaya mencatatkan peningkatan perolehan­ lapan peratus.

Peningkatan itu adalah hasil daripada jualan minuman­ 100Plus meningkat 11 peratus susulan jualan berterusan pasca Tahun Baru Cina, pertumbuhan enam peratus dalam rangkaian minuman jenama Seasons dan jualan Red Bull melonjak 29 peratus.

Catatan perolehan terus meningkat dengan penerokaan pasaran Brunei serta anugerah kontrak pembungkusan untuk eksport kepada syarikat berkaitan Kumpulan di Singapura.

Katanya, pada masa ini, Kumpulan mengharungi tempoh paling mencabar dalam menempa kejayaan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan asas kukuh dan di sebalik kejadian bencana alam, ia menggerakkan Kumpulan untuk melangkau saingan dalam pasaran.

“Kumpulan turut menjangka kilang Rojana di Thailand akan menyambung semula pengeluaran kapasiti sepenuhnya dalam tempoh separuh kedua tahun kewangan­ untuk memenuhi jurang inventori di negara itu,” katanya.

Sinar Harian

Air ajaib rupanya air paip

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Kewujudan ‘air ajaib’ dari bumbung sebuah rumah di Taman Budiman, Parit Raja di sini yang dikatakan memiliki keistimewaan boleh menyembuhkan penyakit akhirnya terbukti hanya air paip biasa sahaja

Perkara ini didedahkan sendiri pemilik rumah setelah kediamannya diserbu Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Dia mengaku air yang mengalir dari bumbung rumahnya itu tidak mempunyai keistimewaan, tetapi berpunca akibat daripada paip bocor.

Ketua Operasi, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ser­buan dilakukan pihaknya ke atas rumah tersebut setelah menerima aduan masya­rakat setempat selain bimbang akidah penduduk akan terpesong.

Menurutnya, serbuan berkenaan dilakukan sembilan anggota termasuk pegawai dan turut disertai Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor.

“Bagi mengelakkan akidah masyarakat terus terpesong berikutan percaya kepada perkara tidak berasas, kami bertindak menyerbu premis berkenaan hari ini (semalam).

“Kes berkenaan disiasat me­ngikut Seksyen 6 (b) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa individu sedang menadah air dipercayai untuk dijadikan ubat.

Menurutnya, hasil keterangan pemilik kediaman, saluran paip bocor menyebabkan air keluar mencurah dari atas bumbung.

“Kesan daripada kebocoran ini, air tidak berhenti mengalir, malah bil air melambung sehingga mencecah RM300 sebulan.

“Dia juga berharap ada pihak yang dapat menyelesaikan isu kebocoran yang berlaku di kediamannya itu,” katanya.

Saiful Ariffin menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpe­ngaruh dengan perkara tidak munasabah dan perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan sebelum mempercayainya.

Sebelum itu, pada 23 Mac lalu Sinar Harian menyiarkan tentang pemilik rumah ini yang mengakui ramai orang datang ke rumahnya untuk mengambil air ajaib tersebut yang dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Sinar Harian

Annan: Syria di ambang perang saudara 'dahsyat'

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

NEW YORK - Utusan khas Kofi Annan memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa pemerhati antarabangsa yang dihantar ke Syria - 300 orang kesemuanya - adalah harapan terakhir untuk menjayakan pelan damai negara itu.

Bercakap di Majlis Keselamatan semalam, bekas Setiausaha Agung PBB ini memberi amaran Syria akan berhadapan dengan perang saudara besar-besaran sekiranya pelan damai menemui kegagalan.

"Implikasi amat menakutkan," kata Annan dipetik CNN selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan.

"Kita tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku," kata Annan lagi.

Beliau bercadang untuk kembali ke Damsyik dalam waktu terdekat untuk memastikan gencatan senjata dipatuhi.

Katanya, pembunuhan mesti dihentikan dengan segera.

"Ada penurunan dalam aktiviti ketenteraan, tetapi masih ada pelanggaran serius dalam perjanjian untuk menghentikan keganasan," kata beliau.

Buat masa ini terdapat 60 pemerhati PBB di Syria. PBB menjangkakan dapat menempatkan 100 pemerhati menjelang akhir minggu ini dan 300 orang akhir bulan ini.

Sinar Harian

Nenek rentung atas katil

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – Seorang warga emas menemui ajal dalam keadaan tragis dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, mayat Kalthum Sukaimin, 96, ditemui rentung di atas katil di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Saksi kejadian yang merupakan seorang pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40-an berkata, dia menyedari kejadian tersebut berlaku ketika menghantar cicit mangsa pulang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang rumah mangsa sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.

“Cicit mangsa menjerit memberitahu yang neneknya ada dalam bilik dan meminta saya menyelamatkannya. Dalam keadaan kelam kabut mengambil kunci yang diletakkan di atas rak kasut depan rumah, saya juga terdengar jeritan meminta tolong.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa dalam bilik itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ketika itu keadaan api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Arwah nenek tidak boleh berjalan kerana menghidap sakit tua sejak beberapa tahun lalu dan ditempatkan dalam bilik itu.

“Saya tinggalkan arwah nenek sendirian di rumah seketika sementara menunggu anak pulang dari sekolah pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai seorang doktor di HPSF memberitahu berita sedih itu diterima pada jam 11.50 pagi selepas dihubungi oleh jiran.

“Saya berasa sangat sedih kerana nenek meninggal dunia dalam keadaan yang cukup menyayat hati,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 14 anggota termasuk unit forensik.

“Sewaktu kami tiba, api sedang marak di bilik yang menempatkan mangsa dan ruang dapur, manakala sebahagian bumbung rumah telah runtuh.

“Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan menemui mangsa dalam keadaan rentung,” katanya.

Mohd Johar berkata, bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Warga emas maut digigit anjing ketika joging

17 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – “Saya cuba menggunakan sebatang kayu rotan memukul anjing itu untuk menghalaunya daripada menggigit lelaki berkenaan, namun usaha itu gagal apabila haiwan tersebut terus menyerang mangsa,” kata salah seorang jiran warga emas yang ditemui maut selepas dipercayai digigit anjing di SS19/5B, di sini pagi semalam.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi bising dari luar rumah sebelum menjenguk ke tingkap melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia terus meluru keluar apabila melihat seorang lelaki tua diserang seekor anjing dan menjerit kesakitan.

“Tanpa berlengah, saya terus mengambil kayu dan memukul anjing itu bagi memaksanya melepaskan gigitan.

“Akibat terlalu takut melihat mangsa yang sudah berlumuran darah dan terus diserang anjing itu, saya kemudian mengambil keputusan­ masuk ke dalam rumah,” kata wanita berusia kira-kira 70 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.50 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai bergelut dengan anjing tersebut berdasarkan kesan gigitan di bahagian leher selain bahagian telinga kanan hampir putus.

Yahaya berkata, mangsa Yip Sun Wah, 74, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dipercayai digigit seekor anjing jenis pitbull.

Menurutnya, mangsa dikatakan berjoging di kawasan perumahan itu setiap pagi dan ketika kejadian mangsa berada dekat dengan rumah jirannya.

Katanya, selepas kejadian haiwan terbabit terus masuk ke dalam rumah pemiliknya dan ia dipercayai keluar melalui laluan pintu tong sampah rumah terbabit.

“Pemilik memaklumkan baru tiga bulan memelihara haiwan tersebut di rumahnya. Kita akan merekod keterangan pemilik anjing dan meminta bantuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta Jabatan Veterinar untuk tindakan­ lanjut.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Selangor sudah me­ngam­bil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) anjing jenis pitbull yang dipercayai menyerang seorang warga emas sehingga maut di depan sebuah rumah di SS19/5B, pagi semalam.

Penolong pengarahnya, Dr Fadzilah A’ini Abd berkata, pihaknya memberikan haiwan itu ubat tidur sebelum membawanya ke pejabat JPV menggunakan pengangkutan van Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menurutnya, keputusan DNA berkenaan akan diperoleh dalam tempoh seminggu untuk menentukan sama ada haiwan itu yang menyerang mangsa sehingga dilaporkan meninggal dunia.

“Kita akan kumpul maklumat mengenai anjing itu dan menunggu keputusan sama ada ia mempunyai penyakit anjing gila atau tidak dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Sinar Harian