22 Disember 2012

Lebih 2.3 juta permohonan BR1M diterima setakat 17 Disember

8 Safar 1433H. [MOD] -


IPOH: Lebih 2.3 juta permohonan bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 diterima setakat 17 Disember lalu, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 

Beliau berkata daripada jumlah itu lebih 1.6 juta permohonan adalah daripada individu bujang dan lebih 720,000 permohonan daripada isi rumah. 



Katanya 54 peratus permohonan itu dibuat secara manual manakala selebihnya dibuat secara online. 


"Kita akan membuat pembayaran pada suku tahun pertama (2013), jadi untuk pembayaran berkenaan, kita minta kepada mereka yang masih belum mendaftar agar mendaftar sebelum 31 Disember kerana permohonan ini perlu diproses supaya mereka dapat bayaran bila kita mula buat pembayaran. 

"Kalau dia lewat, dia akan dapat lewat. Mereka boleh daftar secara online atau manual supaya apabila kita buat pembayaran pada suku pertama nanti, yang dah daftar semua akan dapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan SME Bank di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata tarikh tutup permohonan BR1M 2.0 yang bermula 1 November lalu belum ditetapkan. 

Borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan, agensi-agensi kerajaan atau dimuat turun atau diisi secara online melalui laman sesawang LHDNM: www.hasil.gov.my. 

Katanya bantuan BR1M 2.0 yang membabitkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang. 

Tahun lalu, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion. - BERNAMA

Lim Keng Yaik meninggal dunia

8 Safar 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Bekas Presiden parti GERAKAN, Tun Dr Lim Keng Yaik, 73, meninggal 
dunia di kediamannya di Tropicana di sini, pada jam 4.45 petang tadi. 


Perkara ini disahkan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.

21 Disember 2012

Kompaun lebih RM27,000 dikeluarkan kepada perokok di KLIA dan LCCT


7 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kompaun berjumlah RM27,774 dikeluarkan terhadap 244 individu termasuk 98 pelancong asing kerana merokok di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata setiap seorang dikenakan kompaun minimum RM250 dan sekiranya gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan. 



"Pejabat Kesihatan KLIA banyak menerima aduan mengenai orang awam yang merokok di kawasanlarangan di KLIA dan LCCT. 

"Berikutan itu operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diadakan selama dua hari bermula 16 Disember lalu dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad 

"Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan Peraturan 11 (1)(g) dan 11(1)(e), PPKHT 2004 di kawasan larangan merokok iaitu di Lapangan Terbang dan Hentian Pengangkutan Awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata dalam operasi itu juga sejumlah 494 Notis Kesalahan dikeluarkan kepada perokok di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana merokok di kawasan larangan.

Beliau berkata pihak jabatan akan meneruskan operasi berkenaan secara berkala di KLIA dan LCCT bagi mengawal dan memberi kesedaran kepada perokok serta melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi. - BERNAMA

Isu keluluskan tanah untuk VALE di Teluk Rubiah hangatkan dewan.

7 Safar 1433H. [MOD] -

Isu mengenai siapa yang meluluskan tanah untuk VALE di Teluk Rubiah menghangatkan dewan yang bersidang pada sesi petang yang bermula jam 3.00 petang tadi.

ADUN Pasir Panjang mula mencelah semasa wakil Sungai Rapat yang mewakil Kerajaan membuat ucapan penggulungan.

Dato'Seri Nizar bertanyakan bertanyakan kepada Sungai Rapat adakah dia bersetuju bahawa pada sidang yang kepada wakil Pangkor yang juga Menteri Besar Perak telah mengelirukan dewan sesi yang lepas dengan menunjukkan surat yang dikatakan dia meluluskan tanah untuk syarikat dari Brazil itu.

Berlaku perdebatan dan kekecohan pada persoalan itu sehingga reda semula selepas berlaku pertikaman lidah.

Sidang DUN Perak hari ke 5


7 Safar 1433H. [MOD] -


Sidang DUN Perak untuk hari yang bermula pada jam 9.00 pagi berlangsung hingga ke sesi petang.

Sidang sebelah pagi dimulai selama sejam dengan sesi jawapan Kerajaan Negeri kepada soalan-soalan lisan.

Antara soalan lisan yang dibangkitkan ialah mengenai Kolam Air Panas di Kg Ara Panjang Kuala Kangsar.

Kerajaan Negeri menjelaskan kawasan kolan air panas itu memilki keluasa sebanyak 20.8 ekar dan akan dimajukan dimasa akan datang. 

Menurut Kerajaan negeri kawasan ini pernah dimajukan pada tahun 2003 dengan menimbun tanah, membina dewan terbuka dan jalan dengan melibatkan kos RM 200,000.


Kes Sg Petani: Pergaduhan biasa antara remaja

7 Safar 1433H. [MOD] - SUNGAI PETANI: Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (gambar) mengesahkan berita pergaduhan remaja India dengan Melayu adalah pergaduhan biasa yang melibatkan anak-anak muda.

 "Cumanya ianya melibatkan dua kaum," kata Johari, ahli Majlis Tertinggi PKR, dalam kenyataannya. Menurut beliau, ada pihak yang mengambil kesempatan menyalakan api perkauman dan meyebarkan berita yang direka dan khabar angin. "Tiada kematian dan tiada rusuhan di Sungai Petani. 

Polis mengawal keadaan sepenuhnya malah sudah ada tangkapan oleh polis terhadap penyebar khabar angin dan berita palsu," kata Johari dalam kenyataannya. "Saya amat-amat berharap teman-teman membantu saya dan polis memadamkan berita yang tidak betul ini dan meyakinkan rakyat yang keadaan sudah kembali normal," katanya. 

 Baru-baru ini, khabar angin disebarkan melalui facebook dan blog kononnya berlaku pergaduhan antara kaum berlaku di Sungai Petani. Ia menyebabkan pelbagai spekulasi berlaku dan melahirkan ketakutan di kalangan orang ramai. Sementara itu, Bernama melaporkan, Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. 

 Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani. Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan. 

 "Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.

 Harakah Daily

Jelajah Oren Selamatkan Felda Pahang esok

7 Safar 1433H. [MOD] - TEMERLOH: PAS Pahang dengan kerjasama Persatuan Anak Peneroka (Anak) akan akan menganjurkan program ‘Jelajah Oren Selamatkan Felda’ besok, Sabtu dengan konvoi melibatkan empat kawasan parlimen. Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pahang, Md Jusoh Darus, konvoi membabitkan 50 buah kereta dan 50 buah motosikal itu akan disertai kepimpinan PAS Negeri Pahang, pimpinan Anak Pusat serta bekas pegawai tinggi Felda merentasi Bera, Maran, Jerantut dan Kuala Krau. “Kembara Oren bertujuan memberi maklumat kepada peneroka khususnya kepincangan yang sedang berlaku di dalam pentadbiran Felda hasil campurtangan orang politik yang bakal membahayakan masa depan satu-satunya agensi Melayu itu. “Warga Felda tidak seharusnya dibuai dengan keseronokan mendapat habuan durian runtuh tetapi dalam masa yang sama mereka terus dibebankan dengan hutang tanam semula pinjaman perumahan yang mencecah hingga ratusan ribu dalam keadaan harga sawit di pasaran sedang jatuh merudum. “Misi Kembara Oren juga adalah untuk mengajak peneroka mempertahankan satu satunya aset warga Felda yang masih ada iaitu Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai ahli seramai 240 ribu orang terdiri dari kalangan peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda dengan jumlah caruman melebihi RM2 bilion,” katanya. Tambahnya, pemegang saham tidak mahu KPF menjadi seperti Koperasi Maika Holding milik MIC yang hanya tinggal nama akibat campur tangan politik. Sementara itu mengenai program besok, Md Jusoh berkata, akan bermula pukul 8 pagi mula berkumpul di Felda Bukit Kepayang, Bera. Selepas itu bergerak ke Felda Kampung Awah, Maran dan sehinggalah ke Jengka 12 (Parlimen Jerantut). Program akan berakhir dengan ceramah umum di Jengka 11 pada sebelah malam. “Setiap destinasi persinggahan akan diadakan edaran risalah penerangan, ceramah ringkas, ziarah dan sidang media kepada wartawan,” katanya. Harakah Daily

Hasrat mencuri terbantut

7 Safar 1433H. [MOD] - MARANG – Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila hasrat mencuri tembaga anti kilat di bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok di sini, tidak kesampaian apabila mereka ditangkap polis. Dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, dipercayai menceroboh kawasan sekolah kira-kira jam 2.30 pagi semalam, melalui siling bangunan empat tingkat itu dengan memecah bahagian siling bilik air bangunan terbabit. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila sepasukan polis tiba di tempat berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh dua pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kehadiran dua suspek terbabit. Pengawal keselamatan terbabit, Mohd Zol Deraman, 44, berkata, dia bertugas bersama seorang rakan menyedari kehadiran suspek selepas melihat kelibat dua lembaga menuju ke arah bangunan sekolah itu, awal pagi semalam. “Saya kemudiannya membuat rondaan di kawasan berdekatan, namun gagal mengesan mereka sebelum menemui sebuah motosikal dan selipar yang dipercayai ditinggalkan dua suspek terbabit di luar pagar bahagian belakang sekolah. “Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada rakan setugas sebelum bergegas ke bangunan empat tingkat itu untuk membuat pemeriksaan, lalu mendapati siling tandas di tingkat empat telah dipecahkan,” katanya di sini, semalam. Mohd Zol kemudiannya menghubungi pihak pentadbiran sekolah dan pihak polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu kerana mengesyaki dua suspek yang menceroboh sekolah itu, berada di atas siling bangunan sekolah berkenaan. Sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kemudiannya berjaya menahan dua suspek terbabit. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. Sinar Harian

Didakwa menipu dua peniaga

7 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dari Taman Sri Duyung, Seberang Takir, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan menyamar sebagai pengedar rokok dengan menipu dua peniaga kira-kira tiga tahun lalu. Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Affendy Ariffin, 36, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Affendy mengaku tidak bersalah menipu Sabirah Salleh, 25, dengan menyamar sebagai vendor rokok Dunhill dan mengambil 65 kotak, yang setiap satunya mengandungi 20 batang rokok dan 32 kotak yang mengandungi 14 batang rokok serta berjanji akan menggantikannya dengan rokok yang baru. Dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu di Kedai Serbaneka 7-Eleven Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 18 Disember 2009. Selain itu, Mohd Affendy turut mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama dengan menipu Nor Siti Fatihah Jusoh, 19, dan mengambil 23 kotak rokok yang setiap satunya mengandungi 14 batang rokok di sebuah kedai runcit di Lorong Gagak, Kampung Durian Burung, kira-kira jam 5 petang, pada 22 Disember 2009. Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan. Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Noradila menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin. Sementara itu, rakannya, Muhammad Fakhri Abdul Matin, 37, turut dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan bersubahat dengannya apabila menerima wang hasil penipuan jualan rokok di Kedai Serbaneka 7-Eleven, Bangunan Wisma Wan Chik, Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi pada 18 Disember 2009. Bagaimanapun, Muhammad Fakhri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 kanun yang sama. Sejurus pengakuan tidak bersalah Muhammad Fakhri direkodkan, Noradila membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Sinar Harian

Suri rumah ditemui mati tertiarap di kebun ubi

7 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang suri rumah ditemui mati oleh sepupunya di kebun ubi kayu di Kampung Bukit Tanah, di sini dekat Jabi, pagi kelmarin. Mangsa Zalina Omar, 45, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam lopak air di kawasan kebun ubi yang terletak hanya 100 meter dari rumahnya kira-kira jam 9.20 pagi. Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata, kematian mangsa hanya disedari sepupunya selepas suami mangsa memberitahu isterinya tidak pulang ke rumah sejak patang Rabu. Menurutnya, mangsa dikatakan pergi ke kebun itu untuk mengambil ubi kayu selepas keluar dari rumah kira-kira jam 5 petang kelmarin dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui. “Suami mangsa yang mengalami kecacatan kaki kiri selepas terlibat kemalangan memberitahu saudara bahawa isterinya tidak pulang sebelum mayat isterinya dijumpai pagi kelmarin," katanya. Noor Zainy berkata, mangsa yang tinggal bersama suami dan seorang anak lelaki berusia lima tahun, ditemui berpakaian lengkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan ia sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah. Kata beliau, mangsa berasal dari Kampung Gong Tiong, Keluang di sini, dipercayai diserang penyakit sawan dan terjatuh di dalam lopak itu sebelum meninggal dunia. “Rekod kesihatan menunjukkan si mati menghidap sawan dan sering mendapat rawatan di Hospital Besut," katanya. Sementara itu suami mangsa, Wahab Mustafa, 50, berkata, dia tidak menyangka isterinya yang tidak pulang selepas ke kebun ubi rupa-rupanya meninggal dunia selepas diserang sawan. “Keadaan saya yang uzur menyebabkan saya tidak berdaya untuk mencarinya,” katanya. Menurut Wahab, isterinya sering diserang sawan, kadang-kadang dua kali sebulan, namun sebelum ini tidak pernah berlaku di kebun ubi berkenaan. Sinar Harian

Mayat wanita dalam kereta

7 Safar 1433H. [MOD] - KULAIJAYA – Misteri kereta mencurigakan di kawasan kebun rambutan berhampiran Kampung Desa Idaman, Sedenak, di sini, akhirnya terjawab apabila polis menemui mayat wanita yang dibungkus dengan plastik hitam, semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Asisten Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mayat itu ditemui pada bahagian tempat duduk pemandu dan terdapat kesan bakar pada tempat duduk berkenaan.. “Mayat ditemui selepas pihak polis menerima panggilan dari orang awam sekitar jam 7.20 pagi. “Berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan dipercayai cuba dibakar berikutan terdapat kesan kebakaran di tempat duduk pemandu. “Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak berjaya disebabkan kekurangan oksigen di dalam kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih itu,” katanya kepada Sinar Harian mengesahkan kejadian, di sini, semalam. Mohd Kamil berkata, hasil pemeriksaan, polis mendapati barang peribadi seperti kad pengenalan atau telefon bimbit milik mangsa tidak dapat ditemui. "Tetapi kami percaya mangsa baru sahaja meninggal dunia beberapa jam sebelum dia ditemui orang awam dan kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga turut mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu milik kenderaan sebenar yang berada di Kelantan. “Punca sebenar kematian atau kesan kecederaan dialami mangsa juga masih belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. Sementara itu, salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Wak Jalil, 50, berkata, dia menyedari kereta itu diparkir dalam kebun sejak tengah malam kelmarin, namun menyangka kenderaan itu milik pekebun di lokasi berkenaan. “Sejak dari malam tadi (kelmarin), saya perasan ada kereta di kebun itu, tetapi tidak berani untuk tinjau lebih dekat sebab keadaan terlalu gelap dan saya fikir kenderaan itu mungkin milik tuan kebun. “Bagaimanapun, pagi ini kawasan kebun mula dipenuhi orang ramai selepas mendapati terdapat mayat berada di dalamnya. “Kenderaan itu mungkin milik penduduk luar kerana saya tidak pernah melihatnya di sekitar kampung ini sebelum ini,” katanya. Sinar Harian

Piala Belanda: Ajax atasi Groningen 3-0

7 Safar 1433H. [MOD] - AJAX menewaskan FC Groningen 3-0 dalam perlawanan Piala Belanda di Stadium Euroborg, awal pagi tadi (waktu Malauysia). 

Dalam perlawanan itu, Ajax membuka tirai jaringan menerusi S D Jong pada minit ke-25. Selepas itu, pasukan pelawat terus meledak gol kedua menerusi C Eriksen pada minit ke-49 sebelum V Fischer menutup tirai perlawanan dengan gol ketiga buat Ajax. 

 Keputusan perlawanan bola sepak Piala Belanda yang berlangsung awal pagi tadi: FC Groningen 0 Ajax Amsterdam 3 Sinar Harian

Maut tersepit di roda traktor

7 Safar 1433H. [MOD] - HILIR PERAK - Seorang pemilik traktor terkejut apabila mendapati jentera miliknya bergerak tanpa pemandu di tengah sawah bersama seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi jentera berkenaan, petang semalam. 

 Mohd Razali Talib berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Utara untuk mengambil petrol traktor tersebut setelah seharian membajak bendang miliknya di Parit 2, Sungai Rambai, di sini. 

 Menurutnya, ketika di rumah, dia diberitahu oleh adiknya, Mohd Faiz Talib, 17, yang mengatakan traktor miliknya hilang. “Saya bergegas balik ke bendang berkenaan sebelum menjumpai jentera tersebut bergerak di tengah sawah tanpa pemandu.

 "Ketika mahu mematikan enjin traktor itu, saya terjumpa seorang remaja lelaki tersepit pada roda besi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Mohd Razali berkata, dia yang terkejut dengan kejadian itu segera memeriksa keadaan remaja lelaki yang juga salah seorang rakan adiknya dan mendapati dia sudah meninggal dunia sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut. 

 Sementara itu, bapa mangsa, Najiri Alkias, 48, ketika ditemui di Hospital Teluk Intan berkata, kali terakhir jumpa anaknya, Mohd Hisamudin Najiri, 14, ketika bersarapan bersama pagi semalam, di rumahnya, di Parit 3, Chenderong Balai, dekat sini. 

 Jelasnya, anaknya itu sempat menjamah cempedak goreng dan minum air teh yang dibuat isterinya, Azizah Abu Hasim, 45, sebelum keluar membantu saudara membajak sawah. “Kira-kira jam 2.30 petang tadi (semalam), saya menerima panggilan daripada rakan arwah (Mohd Faiz) mengatakan anak saya ditimpa kemalangan.

 “Saya yang tidak percaya dengan berita itu berulang-kali bertanya kepada Mohd Faiz sebelum menyuruh dia menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Najiri berkata, arwah merupakan anak ketiga daripada lima beradik, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Menengah Sultan Abdullah, Chenderong Balai. 

Katanya, arwah juga adalah seorang periang yang menyerikan rumahnya dan mereka sekeluarga redha dengan pemergian Mohd Hisamudin. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan. 

 Sinar Harian

Tanda X di belakang mangsa

7 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan lehernya dikelar dan beberapa bahagian badan ditoreh oleh penjenayah dalam kejadian di sebuah tempat simpanan barangan kuil Hindu, di Lebuh Penang, kelmarin. 

Mangsa, Muthu Palaniappan, 82, seorang kerani yang juga penjaga barang berharga milik sebuah kuil ditemui anaknya yang melawat ayahnya di premis berkenaan. Difahamkan, suspek cuba mengambil beberapa patung yang bersalut emas dan berlian bernilai jutaan ringgit yang disimpan. 

Mulut mangsa juga disumbat dengan kain bagi mengelakkan mangsa menjerit dan membuatkan dia lemas. 

Menurut sumber, suspek juga membuat tanda pangkah di belakang badan mangsa dengan darah. “Hasil siasatan awal, polis percaya ada kemungkinan suspek yang mengenali mangsa dan dia juga mungkin sudah merancang untuk melakukan perkara ini. 

 “Bagaimanapun, siasatan polis akan menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran premis berkenaan,” katanya. 

 Siasatan awal kejadian dipercayai bermotifkan rompakan, memandangkan premis tersebut menempatkan berhala, serta barangan kemas milik kuil yang bernilai tinggi. 

 Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, kejadian itu disedari anak mangsa, kira-kira jam 5 petang, ketika datang untuk menemui mangsa. 

 “Siasatan awal, polis mendapati suspek dipercayai menggunakan pintu belakang untuk memasuki premis tersebut. “Ini berdasarkan kesan umpil pada dua pintu besi di belakang, sebelum membunuh mangsa dan melarikan barang berharga. 

Polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mengesan bukti kes,” katanya. Beliau berkata polis masih memburu suspek dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dirancang dan dilakukan lebih daripada seorang suspek. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. 

Sinar Harian

Toure raih Pemain Terbaik Afrika

7 Safar 1433H. [MOD] - PEMAIN tengah Manchester City, Yaya Toure dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2012, berjaya mempertahankan gelaran itu buat kali kedua berturut-turut, semalam. Majlis penyampaian berlangsung di ibu kota Ghana Accra. Toure menewaskan rakan senegara dan juga bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba dan pemain tengah Arsenal, Alex Song, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Toure, yang memenangi anugerah itu tahun lepas, sebahagian daripada pemain pasukan Ivory Coast yang akan menyertai Piala Negara-Negara Afrika. Ia akan berlangsung di Afrika Selatan bulan depan. Song kini bermain untuk Barcelona manakala Drogba mewakili Shanghai Shenhua sejak Mei lepas. Bagaimanapun gelaran terbanyak pemain terbaik Afrika masih lagi dipegang oleh bekas penyerang Barcelona, Samuel Eto'o yang memenanginya sebanyak empat kali. Dalam pada itu, Zambia yang merangkul juara Piala Afrika pula dinobatkan sebagai pasukan terbaik, dan Herve Renard meraih jurulatih terbaik. Berikut senarai pemenang Pemain Terbaik Afrika: 2006 Didier Drogba 2007 Frederic Kanoute 2008 Emmanuel Adebayor 2009 Didier Drogba 2010 Samuel Eto'o 2011 Yaya Toure 2012 Yaya Toure Sinar Harian