12 Oktober 2008

Kadar Faedah Bank Diturunkan untuk Kekalkan Pertumbuhan Ekonomi China

Bank Rakyat China menyertai tindakan menurunkan kadar faedah yang diambil oleh bank pusat pelbagai negara di dunia semalam, dengan menurunkan kadar faedah simpanan dan pinjaman sebanyak 0.27%, manakala nisbah rizab simpanan diturunkan sebanyak 0.5%. Pakar ekonomi China berpendapat bahawa tindakan tersebut bertujuan menjaga trend pertumbuhan ekonomi China, di samping membuktikan kesediaan China untuk menangani krisis kewangan global yang berlaku sekarang bersama-sama dengan negara lain.

Keenam-enam bank pusat terbesar di dunia, termasuk Rizab Persekutuan A.S. dan Bank Eropah masing-masing menurunkan kadar faedah secara besar-besaran semalam untuk mengurangkan beban yang dibawa oleh krisis kewangan kepada ekonomi sejagat. Walaupun sistem kewangan ekonomi China masih belum dipengaruhi oleh pergolakan sejagat, tetapi sektor pengeksportan terjejas oleh kekurangan permintaan pasaran luar. Dengan itu, maka perkembangan ekonomi China juga berdepan dengan kesan negatifnya.

Naib Ketua Institut Kewangan Universiti Ekonomi dan Perdagangan Luar China, Encik Ding Zhijie menyatakan bahawa dengan keadaan sekarang, Bank Rakyat China mengambil tindakan selaras dengan bank utama yang lain di dunia khususnya untuk menggalakkan peredaran mata wang, mengurangkan kos pengumpulan dana bagi syarikat dan menjaga trend pertumbuhan ekonomi. Beliau berkata:

"Penurunan kadar faedah pinjaman menguntungkan syarikat kerana dapat mengurangkan kos pengumpulan dana, manakala penurunan nisbah rizab simpanan pula baik untuk memastikan syarikat memperolehi modal yang diperlukan. Tindakan tersebut membantu usaha pembaikan pengurusan syarikat pada masa depan dan menambah semula keuntungan syarikat yang sering menurun sejak awal tahun ini."

Penurunan kadar faedah yang dilaksanakan oleh China sebelum ini tidak sampai sebulan lamanya. Hal ini menggambarkan kebimbangan kerajaan China terhadap tekanan inflasi berkurangan. Bidang utama dalam dasar mata wang pula beralih kepada "memastikan pertumbuhan ekonomi". Beberapa tahun yang lalu, Bank Rakyat China pernah menaikkan kadar faedah beberapa kali secara berturut-turut untuk mencegah pertumbuhan ekonomi yang terlalu pesat dan mengurangkan tekanan inflasi.

Pakar yang berkenaan menyatakan bahawa sejak tahun ini, harga barang penggunaan penduduk China terus menurun, tekanan inflasi semakin ringan dan harga barang di pasaran antarabangsa turut menurun. Maka, penurunan kadar faedah kali ini tidak akan menyebabkan kenaikan semula harga barang.

Bank Pusat China juga mengumumkan akan menghapuskan cukai faedah wang simpanan untuk sementara. Tindakan ini akan mengimbangi kerugian faedah pelanggan daripada penurunan kadar faedah simpanan.

Profesor Zhao Xijun daripada Institut Kewangan dan Sekuriti Universiti Rakyat China menyatakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan China itu bukan sahaja bermanfaat bagi memastikan penduduk mendapat faedah daripada wang simpanan, bahkan akan menggalakkan penggunaan dalaman China. Beliau berkata:

"Kerajaan menurunkan kadar faedah simpanan sebenarnya adalah untuk merangsang penggunaan, dan pertambahan penggunaan tentu akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan mantap dan pesat."

Berdepan dengan krisis kewangan sejagat, jurucakap Bank Rakyat China pernah menyatakan bahawa China bersedia meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dengan A.S.. China juga berharap negara-negara lain berusaha bersama-sama mengatasi kesukaran ini dan memastikan kestabilan pasaran kewangan global. Penyelidik daripada Institut Kewangan Akademi Sains dan Sosial China, Yi Xianrong berkata:

"Kerajaan China mengambil tindakan tersebut dengan tujuan untuk menyelaraskan pendirian dengan pelbagai negara lain demi mencegah krisis kewangan menjadi semakin runcing dan menstabilkan pasaran kewangan sejagat."

Amanat Abdullah lantik Najib sebagai PM salah dari segi undang-undang

PARIT BUNTAR, 11 Okt - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Ruslan Shahrum menegaskan amanat yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri selepasnya adalah salah dari segi undang-undang negara.
Ceramah umum yang diadakan dala keadaaan cuaca yang kurang baik itu tetap mendapat perhatian dari warga setempat. Penceramah utama ialah Naib Presiden PAS , Haji Mohd Sabu.Hadir sama dalam program itu alah ADUN Titi serong, Drs. Khalil Idham Lim.

"Mempengaruhi ahli dengan cara paksa menggantikan Perdana Menteri Malaysia selepasnya itu adalah melanggar Perlembagaan dan tidak pernah dibuat sebelum ini oleh mana-mana Perdana Menteri yang hendak bersara atau hendak berhenti," kata Hj Roslan pada ceramah umum Dun Titi Serong dekat sini malam tadi.

Menurut beliau, jawatan Perdana Menteri adalah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan dipersetujui Ahli Parlimen dan persetujuan rakyat.

"Bukannya boleh memandai-mandai membuat perlantikan sendiri seperti yang dilakukan Dato' Seri Abdullah Ahmad baru-baru ini yang menyebut Dato' Seri Najib jadi Perdana Menteri Malaysia selepasnya nanti," katanya.

Dengan itu tegasnya, sudah nyata untuk jawatan Perdana Menteri harus dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat bukan Abdullah seorang.
Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Drs. khalil mengatakan bahawa termbok yang memisahkan antara orang bukan Islam dengan Islam telah pun roboh setelah sekian lama dipertahankan oleh UMNO dan BN.
Sambil merujuk kepada satu pertemuan dan dailog yang baru dilakukan antara imam muda dari China dengan pemimpin agama Buddha di Taiping, beliau mengatakan bahawa salah faham dan ketakutan kepada Islam telah pun berakhir sejak pilihanraya yang lepas.

Mufti Perak akui saran kerjasama PAS-Umno

Mufti Perak mengakui mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencadangkan penubuhan kerajaan campuran antara Umno dan PAS di negeri itu.

Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan itu dikemukan bagi mewujudkan pemerintahan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu dan Islam.

“PAS kalau campur dengan Umno lagi bagus. Umno ada 27 kerusi. Kalau campur dengan PAS, seratus peratus orang Melayu-Islam memerintah,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus di Internet bahawa beliau mengadakan pertemuan kedua untuk tujuan itu.

Mufti berpengalaman itu didakwa "menangis dan merayu" Nik Aziz , yang juga menteri besar Kelantan, untuk memastikan kerajaan campuran PAS-Umno.

Harussani menambah, beliau menemui Nik Aziz dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu di rumah tokoh PAS di Kota Bharu, Kelantan.

Harussani berkata, dalam pertemuan yang disifatkannya sebagai “sembang-sembang” itu, pandangnnya itu tidak diterima oleh Nik Aziz.

“Nik Aziz kata itu bukan bidang kuasa dia. Beliau kata beliau hanya mursyidul am saja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

“Dah dia tidak terima, tidak mengapa. Tidak apalah,” katanya.

Diminta mengulas prestasi pemerintahan kerajaan campuran Pakatan Rakyat di negeri itu, beliau berkata "saya bukan orang politik".

Setiausaha politik menteri besar Kelantan, Anual Bakri Haron ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan Nik Aziz dan mufti tersebut.

Dalam pertemuan itu, tambahnya, Harussani hanya menyatakan kerisauannya jika orang Islam tidak menjadi menteri besar di Perak.

Katanya, Harussani menyuarakan hasratnya supaya PAS dapat menjadi menteri besar di negeri itu.

Sementara itu, pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata beliau turut dihubungi mufti berpengalaman itu untuk tujuan pembentukan kerajaan dengan Umno tetapi beliau menolaknya.

"Ada dua tiga kali beliau menelefon saya. Tetapi saya kata, kita sudah ada keputusan (bersama Pakatan)," katanya.

Katanya, beliau mula-mula menerima panggilan daripada Harussani sehari selepas pertemuannya dengan Nik Aziz.

Harussani juga didakwa turut mencadangkan perkara yang sama kepada pesuruhjaya PAS negeri itu.

Bagaimanapun, Ahmad menolak cadangan itu kerana menurutnya, setelah 50 tahun memerintah, BN yang ditunjangi Umno terbukti “tidak boleh diharapkan”.Malaysiakini

“Kita tidak boleh harap pada BN. Kita mahukan kerajaan baru. Lagipun, dalam kerajaan baru ini, PAS yang jadi ketua (menteri besar). Kalau beliau berkata (DAP) anti-Islam, yang Umno ini, sudah 50 tahun...” katanya.

Ahmad dan Anual Bakri tidak pernah mengetahui wujudnya pertemuan kedua Harussani-Nik Aziz seperti dakwaan di beberapa blog sejak semalam.
sumber : http://paritbuntar.pas.org.my

Dr. Mujahid masuk hospital

PARIT BUNTAR, 11 Okt. : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang petang semalam.

Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Haji Harun Hashim memberitahu dalam ceramah umum Dun Titi Serong malam tadi bahawa Pengarah Lajnah Perpaduan Nasional itu telah ditahan oleh doktor untuk rawatan selanjutnya semasa datang untuk mendapatkan rawatan sakit luar di hospital tersebut.

Walau bagaimanapun, Haji Harun menasihatkan rakyat supaya jangan bimbamg kerana Dr Mujahid dikatakan hanya didapati mengidap asma di mana beliau memerlukan banyak rehat.
Sebelum ini, Dr Mujahid telah menemui kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Masyarakat, Titi Serong dekat sini pada 5, Oktober lalu. Tetapi beliau telah selamat dan sejam kemudian beliau berada di majlis tersebut.

Ketika ditanya, Haji Harun menjelaskan Dr Mujahid masuk hospital semalam tiada kaitan dengan kemalangan itu, tetapi penyakit asma itu dikatakan selalu mengggangunya.

Sehubungan itu Haji Harun meminta orang ramai agar berdoa supaya Dr Mujahid cepat sembuh dan kembali berdepan dengan rakyat di Parlimen 13, Oktober ini.
Sumber :http://paritbuntar.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1013&Itemid=2

11 Oktober 2008

Keputusan rakyat wajar dihormati semua - Drs Khalil Idham Lim

IPOH: - Kemenangan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri ini setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional adalah keputusan yang dibuat oleh rakyat dan sewajarnya keputusan itu dihormati semua pihak termasuk penduduk di luar bandar.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak diibaratkan sebagai bas yang membawa penumpang menuju ke destinasi yang dikehendaki oleh penumpang, yang bertukar hanyalah pemandu, mahu tidak mahu penumpang perlu menaiki bas, tidak mungkin ada yang sanggup berjalan kaki.

"Begitulah kerajaan Negeri Perak, dahulunya diterajui oleh BN, sekarang ini Pakatan Rakyat, seluruh rakyat termasuk golongan pekerja di negeri ini , tidak perlu mereka rasa takut atau bimbang kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri tetap membela nasib mereka bahkan kerajaan yang ada lebih mengutamakan kebajikan rakyat,"kata Adun Titi Serong, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BBC), Drs. Khalil Idham Lim Abdullah ketika berucap di majlis 'Seminar Pekerja 2008', yang diadakan di Dewan Auditarim Institut Tadbiran Islam Perak (INTAM), baru baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sentiasa memberikan sokongan pada program seumpama ini dalam meningkatkan tahap pengurusan dan profesionalisme pekerja di samping memahami dan mendalami hak dan kepentingan pekerja.

"Para pekerja mesti mengetahui hak mereka dan mempertahankan hak tersebut untuk mengelakkan mereka dari ditindas dan dieksploitasi oleh majikan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan majikan agar bersikap jujur dan ikhlas dalam membela nasib pekerja, bukannya mengambil kesempatan dan menindas para pekerja. Ini kerana majikan dan pekerja saling memerlukan satu sama lain, kerana itu tidak wajar majikan menindas para pekerja, begitu juga sebaliknya.

Beliau berharap pendedahan yang diterima dalam program Seminar Pekerja ini akan dapat digunakan sepenuhnya oleh para peserta seminar.

"Saya yakin program seumpama ini jika digarap dengan baik akan dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha memperkayakan dan memantapkan para pekerja," jelasnya.

Beliau berkeyakinan Kerajaan Negeri akan berusaha dan sentiasa bertindak untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat negeri ini berbekalkan amanah dan harapan yang telah rakyat terjemahkan dan mandatkan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Sehubungan itu katanya, rakyat termasuk golongan pekerja perlu memberikan sokongan kepada kerajaan bagi membolehkan kerajaan mengatur program bagi membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat sesuai dengan manifesto pilihan raya umum yang lalu

10 Oktober 2008

Kakak ditohmah masuk Melayu

Semasa kakak masuk Islam pada tahun 1971 saya pada masa itu berumur 7 tahun. Ibu kesayangan masih hidup semasa itu. Dia meninggal pada tahun 1973 semasa saya darjah 3 .Sebenarnya saya kurang ingat sejelasnya peristiwa kakak meninggalkan rumah setelah dia mengambil keputusan untuk berhijrah dari agama Buddha ke Islam.

Beliau menceritakan kembali sebelum dia meninggalkan rumah dia menyuapkan nasi kepada saya adik kesayanganya sekenyang-kenyangnya. Dia nekad meninggalkan rumah dan sangat menyedari mendapat tentangan yang kuat dari ibu dan ayah kesayangan.

Beliau disembunykan dari perncarian keluarga sehingga disembunyikan di Kota Bharu di rumah seorang pekerja di Majlis Agama Islam Kelantan beberapa lama.

Sesudah itu kakak berkahwin dengan Abang Ali (kembali kerahmatullah 5 tahun lalu) sehingga meniggalkan zuriat seramai 6 orang, 3 lelaki dan 3 perempuan.


Mungkin kerana masih kecil, saya agak kurang terasa kehilangan seorang kakak malah tidak mengerti hakikat beragama. Namun yang terasa adalah ayah dan ibu.


Seingat saya kami sekeluarga telah diajarkan dan difahamkan oleh keluarga bahawa kalau masuk Islam artinya masuk melayu. Yang menyedihkan lagi seolah diiakan oleh orang Melayu sendiri.


Tohmahan ini terus berlangsung dalam keadaan beberapa orang Cina di kampung saya telah memeluk Islam. Kemungkinan mereka tidak memahami antara konsep agama dan konsep bangsa. Tidak kira Melayu atau Cina kalau tidak faham hakikat beragama dan berbangsa mereka akan terperosok dengan kefahaman itu.


Namun begitu persoalan dan tembok ini telah runtuh walaupun perlu di"clear"kan semuanya dari terus dipermainkan oleh orang yang tidak mamahami dan tidak bertanggunjawab.

Menteri Besar perak lawat mangsa ribut

IPOH, 9 Okt :- Allah seakan menguji kesabaran sebahagian penduduk Ladang Felcra Nasharudin, berdekatan Seri Iskandar, dekat sini, selepas memberi mereka ketenangan beribadat pada Ramadhan dan menyambut IdilFitri, kerana kurang seminggu kemudian menghantar “tenteranya” merencatkan kebahagian mereka.



Hari ini Menteri Besar Perak, YAB. Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin telah mengadakan lawatan di tempat kejadian dan mengimamkan sembahyang Maghrib berjemaah seterusnya memberikan tazkirah sebagai perangsang dan semangat kepada semua mangsa yang hadir berjemaah.


Menteri Besar juga menyampai sumbangan dari Kerajaan Negeri Perak kepada semua mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.


Lebih 80 rumah direntap bumbung dan dindingnya oleh ribut dalam kejadian pada Selasa itu. Mengikut beberapa penduduk kejadian itu hanya mengambil masa antara satu dan dua minit sahaja apabila kelihatan kepulan seumpama kabus menerpa ke arap pokok dan rumah, lalu menerbangkan apa sahaja yang berada di laluannya.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu. Sewaktu tinjauan dibuat tengahari Rabu, kelihatan penduduk sedang membersihkan kawasan rumah masing-masing dan ada yang cuba memperbaiki kerosakan rumah dan menyelamatkan harta benda yang masih boleh terpakai.

Pujian juga harus diberikan pada anggota Unit Amal PAS yang berkampung di kawasan kejadian. Mereka membantu seboleh mungkin termasuk menyediakan makanan di kawasan kantin sekolah menengah di ladang itu. Sekumpulan anggota unit amal kelihatan kemudian mengagihkan makan tengahari (nasi) kepada mangsa di rumah-rumah terbabit.

Semasa tinjauan awal dibuat, Setiausaha Akhbar kepada MB Sdr Anuar Hashim dan Pembantu Khas kepada MB Sdr Amran Harun telah mengiringi Setiausaha Politik MB Perak Ustaz Misbahul Munir Masduki untuk menyampaikan bantuan segera Menteri Besar kepada keluarga yang terbabit.

Adalah dianggarkan kerugian melibatkan ratusan ribu ringgit memandangkan bumbung masjid yang baru siap dan belum digunakan juga telah terkopak diterjah ribut itu.

Sumber asal : http://perakdaily.com/

09 Oktober 2008

Sesudah 22 tahun memeluk Islam.

25 September 2008 yang lepas cukup berarti dalam hidup saya bila tarikh itu mengigatkan kembali nostaslgia 22 tahun yang lepas saya mengucap dua kalimah syahadah dan rasminya saya masuk Islam.

Allahlah yang menentukan siapakah yang akan dipilihNya untuk menjadi orang yang beriman dan beramal tanpa ada sempadan bangsa dan negara. Alhamdulillah saya dipilih untuk menjadi Islam oleh Allah.

Dalam keluarga kami ada 8 beradik, hanya 3 memeluk Islam dan 5 masih kekal dalam agama Buddha.

Hari ini umur saya sudah 44 tahun berarti separuh umur saya menghabiskan masa dalam agama Buddha dan sudah 22 tahun berada dalam Islam. Terasa sangat sedikit amal yang dilakukan walaupun seingat saya tidak pernah meninggalkan ibadah yang fardu yang diwajibkan oleh Allah sejak 22 tahun yang lepas.

Pada hari pertama saya mengucap dua kalimah syahadah, saya bergegas balik ke rumah sewa dan belajar untuk melaksanakan sembahyang pada hari yang sama. Kebetulan berada berdekatan mesjid saya mampu melakukan pada hari pertama itu sehinggalah sekarang.

Prinsip yang saya pegang sesungguhnya selagi kita mencari kelemahan orang lain, sampai bila kita dapat betulkan kelemahan diri sendiri. apalagi semua insan punya kelemahan diri sendiri sampai bila berakhir kerja yang sia-sia itu.

Tetapi ingatlah semua manusia juga Allah pasti anugerahkan kebaikan dan kekuatan peribadi yang tersendiri, kenapakan itu tidak diambil sebagai teladan dan petunjuk untuk menguatkan lagi semangat persaudaran dan ukhuwah.

Sesudah menjadi ADUN, malah kami dianugerahkan Allah sebuah kerajaan negeri di dunia ini, saya sangat menyedari dengan nasihat guru mursyid saya berasal dari Melaka, katanya "hati-hati anak pasti ramai yang dengki dengan kemenangan ini". kata-katanya masih kedengaran ditelinga ini.

Itulah penawar, itulah perangsang untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan pancaroba, onak dan duri. Dalam diri sering disemangatkan dengan pesanan seorang guru bernama Shaqiq kepada muridnya bernama Hatim, yakni kita akan sentisa di hadapkan dengan manusia yang bersifat dengki dan khianat.

bersambung......

ADUN Titi Serong lawat pesakit buah pinggang perlu bantuan segera.

TITI SERONG , 8 Okt :- Pesakit buah pinggang, adik Mohammad Khairul Nizam, 16 tahun mendapat perhatian dari ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim yang melawat pesakit tersebut hari ini.

Pelajar SMK Panglima Bukit Gantang itu mengidap penyakit itu sejak berumur 4 tahun yang lalu. Kini mendapat rawatan susulan dari doktor pakar di hospital Pulau Pinang.

Drs.Khalil menyampaikan sumbangan kepada Khairul.



Menurut ibu saudara mangsa yang kematian ibunya sejak dua tahun lepas dan berpisah dengan bapa sejak kecil, khairul sekarang ini dibekalkan oleh pihak hospital dengan alat perubatan asas untuk mengantikan air melalui perut yang di tebuk setiap 4 jam sekali.

Jelasnya beliau juga memerlukan satu bilik kecil khusus untuk menyimpan alat perubatan dan merawat khairul.

Khairul perlu dibantu dengan segera.



Sehubungan itu Drs. Khalil memberi jaminan untuk mengusahakan secepat mungkin keperluan tersebut dari sumber yang ada pada Kerajaan Negeri Perak dan orang perseorangan yang perihatin.

ADUN Titi Serong melawat tapak cadangan penempatan ibu tunggal

TITI SERONG, 8 Okt :- Usaha seorang penduduk untuk mengadakan sebuah pusat penempatan golongan ibutunggal (armalah) di dalam DUN Titi Serong mendapat perhatian serius dari ADUN, Drs. Khalil Idham Lim. Beliau telah mengadakan lawatan resmi ke tempat tersebut hari ini.


En. Shafei mengeluarkan belanja di tapak dan bangunan sendiri dalam proses menyiapkan asas penempatan ibu tunggal yang terdiri dari tiga bilik air, dua bilik tidur dan ruangan sembahyang. Beliau telah mengusahakan niat suci itu sejak 2 bulan yang lepas.

Pandangan dari belakang bangunan.

Menurutnya dia telah membelanjakan sekitar RM 30,000 untuk menyiapkan apa yang ada sekarang dan masih memerlukan dana bagi meneruskan kerja amal tersebut.

Sumbangan dari semua pihak dialu-alukan.


Atas dasar keperihatinan dengan usah gigih yang pertama kali dilakukan di daerah ini maka ADUN Titi Serong hadir untuk bersama-sama dengan penduduk setempat dalam majlis tahlil dan kesyukuran dalam meneruskan usaha itu.


Pandangan hadapan

Drs. Khalil telah mengetuai tahlil dan doa sehingga selesai. Setelah menghabiskan jamuan yang disediakan beliau telah meluangkan masa untuk melawat bangunan yang akan dijadikan penempatan ibu tunggal itu.




Beliau menjelaskan akan menyalurkan bantuan yang sewajarkan dengan saluran dan kemampuan yang ada kearah merealisasikan usaha murni tersebut.
"saya mengalu-alukan sumbangan dari semua pihak bagi menjayakan usaha gigih bagi membantu golongan Ibu tunggal ini", katanya.


Imam muda dari China kunjungi Nizar

IPOH: Sebanyak 30 imam dari negara China membuat kunjungan hormat pada Menteri Besar Perak di kediaman rasminya di sini pada 8 Okt. Mereka diraikan pada satu majlis jamuan Idulfitri.






Semasa berucap, Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin mengkagumi kebolehan para iman itu menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab.

Nizar menyaksikan salah seorang imam dari China menulis kaligrafi selepas jamuan idulfitri.

Salah seorang imam berkenaan kemudian mempersembahkan seni wushu dan seorang lagi menunjukkan kebolehan seni kaligrafinya pada Nizar dan hadirin. Imam-imam berkenaan adalah dalam rangka lawatan sambil belajar ke negara ini. Mereka berada di Ipoh selepas membuat kunjungan hormat pada Menteri Besar Kedah.

sumber : http://perakdaily.com/

Abdullah tidak bertanding presiden Umno

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan penting yang ditunggu-tunggu - melepaskan jawatan nombor satu Umno enam bulan lagi apabila tidak bersedia bertanding dalam pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Beliau juga akan melepaskan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada Mac apabila Datuk Seri Najib Razak dijangka dipilih sebagai presiden baru parti itu.

Keputusan perdana menteri itu yang diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi BN petang ini sudah dijangka sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.

Abdullah pada awalnya dijadual meninggalkan jawatan nombor teratas Umno, dan perdana menteri, pada pertengahan 2010.


Mesyuarat BN itu yang bermula selepas jam 3.30 petang masih lagi berlangsung ketika ini.


Sementara itu, sekumpulan penyokong Abdullah berhimpun di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, tempat berlangsung mesyuarat berkenaan.


Mereka membawa kain rentang yang menggesa Abdullah untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2010 seperti dijadual pada mulanya.


Kain rentang tersebut berbunyi: 'Hormati peralihan kuasa, elak perpecahan lagi', dan 'Pak Lah, teruskan perjuangan'. Mereka turut melaungkan 'Hidup Pak Lah' dan 'Pak Lah presiden, Najib timbalan'.

08 Oktober 2008

Ketuanan Melayu Atau Ketuanan Islam?

Seorang sahabat memberi respon terhadap posting bertajuk “Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS”. Katanya,

“Bagaimana pula dengan hujah sesetengah pimpinan bahawa Melayu di Malaysia ibarat Quraisy di Tanah Arab? Bukankah nabi menjamin kepimpinan Quraisy? Bukankah semua Khulafa' al-Rasyidin pun suku kaum Quraisy, tatkala nabi bersabda, "AL A'IMMATU MIN QURAISY", bermaksud, "Pemimpin-pemimpin itu di kalangan Quraisy." Bagaimana pula kisah Saiyidina Abu Bakar ketika berhujjah bahawa Quraisylah yang paling berhak jadi khalifah selepas kewafatan nabi sallallahu alaihi wasallam?

Di Malaysia pula, sebahagian pemimpin politik Cina bersetuju bahawa Perdana Menteri mestilah di kalangan Melayu. Ini bagi menjamin ketenteraman antara kaum kerana Melayu adalah tuan di Tanah Melayu walaupun ada yang pertikaikannya”.

SATU

Dakwaan bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan kaum lain sebagai pendatang melahirkan konsep ketuanan Melayu. Orang Cina dan India terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara. Sebagai timbal balik maka diperuntukkan kepada orang Melayu apa yang dinamakan Hak Istimewa di dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini disebut sebagai Kontrak Sosial. Secara teorinya, orang Melayu hendaklah Islam tetapi realitinya ada orang Melayu yang tidak beragama Islam. Oleh itu, ketuanan Melayu adalah bersifat perkauman, sama seperti ketuanan Quraisy, ketuanan Arab, ketuanan India atau apa sahaja. Inilah modal Umno, dulu, kini dan selamanya.

Ketuanan Islam melangkaui sempadan bangsa, etnik dan geografi. Orang Islam adalah tuan kepada PTM, bahkan tuan kepada bumi ini semuanya. Konsep ini menepati kehendak al-Quran iaitu pewaris bumi ini ialah hamba-hamba Allah yang soleh (al-Anbiya’: 105). Konsep soleh tunjangnya ialah Islam.

Ketuanan Melayu tidak menjamin ketuanan Islam berdasarkan realiti, tetapi ketuanan Islam tidak mengorbankan etnik lain di atas prinsip keadilan Islam yang menyeluruh. Di negara kita, walau pun konsep ketuanan Melayu dilaungkan berdegar-degar, namun mangsanya adalah orang Melayu. Lihat sahaja, dimana orang Melayu hari ini? Sementara kaum lain pula, India misalnya bangun menuntut hak mereka melalui pelbagai pertubuhan halal dan haram. Ini bukti ketuanan Melayu gagal membela Melayu dan kaum lain.

Kalau kita menerima dengan terbuka seorang Ketua Menteri Cina non-Muslim di negeri tertentu yang menyatakan akan menerima konsep pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, maka apa salahnya kita menerima seorang Cina yang bukan sahaja menerima konsep tetapi menerima keseluruhan Islam.

DUA

Penegasan nabi di dalam hadis bahawa, “Para imam / pemimpin umat itu adalah Quraisy” merupakan penegasan terhadap realiti. Sama seperti larangan al-Quran supaya tidak boleh makan riba berlipat ganda seperti dalam Surah Ali Imran: 130. Adakah boleh makan riba sedikit, kerana larangan hanya makan riba berlipat ganda? Tidak, sedikit pun tidak boleh. Kenyataan tidak boleh makan riba berlipat ganda menjelaskan realiti riba yang memang berlipat ganda.

Antara periwayat hadis tersebut ialah Imam Ahmad dan al-Albany mensahihkannya. Hadis ini ada lanjutannya yang menjelaskan mengenai keistimewaan Quraisy iaitu mereka penyayang, menunaikan janji dan adil dalam menjatuhkan hukuman. Bahkan nabi menyebutkan bahawa sekiranya ketiga-tiga sifat tersebut terhakis daripada mereka, laknat Allah akan menimpa (Musnad Ahmad: 11859). Jelas, kepimpinan Quraisy bukan mutlak tetapi bersyarat bahkan mereka bukan sekadar kehilangan hak kepimpinan bahkan mendapat laknat sekiranya tidak melengkapi syarat itu.

Realitinya orang Quraisy memang memiliki kelayakan untuk memimpin umat pada zaman itu. Adakah orang lain tidak boleh? Boleh, dengan syarat memiliki kelayakan yang mengatasi kaum Quraisy dari segi peribadi dan pegangan agama. Sekiranya ada seorang Quraisy yang layak dan ada seorang lagi yang bukan Quraisy juga layak, maka keutamaan kepada Qurasiy kerana berpegang dengan hadis ini. Tetapi kalau ada Quraisy tetapi tidak layak, maka tidak boleh Quraisy.

Asasnya bukan ketuanan Quraisy tetapi ketuanan Islam. Dr Abd Karim Zaidan menghuraikan persolan ini dalam bukunya Usul ad-Dakwah.

TIGA

Bolehkah PM orang bukan Melayu? Secara konsepnya boleh berasaskan ketuanan Islam. Kalau diteliti secara jujur, PM yang sebelum ini bukan semuanya Melayu tulin pun. Mereka Melayu mengikut perlembagaan. Tunku Abdul Rahman, ibunya ialah Cik Menyelara anak kepada Luang Naraborirak (Kleb), seorang Pegawai Daerah Thailand. Tun Abdul Razak, ibunya keturunan Bugis. Tun Hussein Oon, berdarah Melayu sebenar. Tun Dr Mahathir, dia mengakui bahawa bapanya berketurunan India, wilayah Kerala, tempat asal suku Malayali, namun dia mengakui beliau melayu sejati. Abdullah pula bapanya ada Badawi di hujung nama, tak dapat dipastikan adakah Melayu tulin ada nama sebegitu.

Apa yang pasti mereka semuanya adalah Muslim (walau pun menganut Islam Hadhari). Kalau nak pertahankan juga ketuanan Melayu, tambah sikit lagi, KETUANAN MELAYU ISLAM.

07 Oktober 2008

Hari Raya dijalanraya.

Saya memikirkan hendak paparkan gambar kesesakan di jalanraya semasa saya pulang berHari Raya di Kelantan Jumaat dan Sabtu lepas namun tajuknya rasa tidak ada yang sesuai sehingga didini hari ini saya terfikir judul yang paling layak ialah "beraya di jalan raya".

Beginilah keadaannya setiap kali kami pulang berHari Raya di Kelantan. Tahun lepas misalnya, kami terperangkap berjam-jam dalam perjalan balik ke Perak dari Bandar Kota Bharu menuju ke Pasir Mas. Tidak salah ingatan saya kami berada dalam susunan kereta dari jalan Wakaf che yeh ke Jambatan Pasir Mas hampir 2 jam. Kami mengambil jalan pintas dari Pasir Mas ke Rantau panjang dan keluar di Panglima Bayu. Namun jalan itu juga sesak dengan deratan kenderaan.

Bila dihitung dari bulan ke bulan berapa nombor pendaftaran yang dikeluarkan oleh JPJ Kelantan sahaja, wajarlan kenderaan tahun demi tahun semakin penuh di jalanraya.Tambahan pula yang balik beraya rata-rata dengan no pendaftaran awalannya "W", "B" dan kami"A" adalah anak-anak perantau yang berbaris panjang dengan "setia" dijalan raya yang panjang dan keluasannya yang masih sama.



Beginilah kesesakan dijalan baru menuju ke Kuala Kerai/Gua Musang diambil di Machang.

Bagi kami yang tinggal di Machang adalah kelainan sedikit kerana jalan pintas yang mengelak dari masuk ke Bandar Machang sudahpun siap.Tetapi kenderaan yang menuju ke Gua Musang untuk ke KL tetap melimpah ke jalan masuk ke Machang antaranya untuk mengisi minyak dan ada yang ingin mengelak dari kesesakan dijalan yang baru dibina.




Kesesakan jalan menuju ke Jambatan Tanah Mereh dari Machang.

Kesimpulannya tidak mudah masuk dan keluar dari Kelantan bila tibanya musim perayaan. Sehingga kami dan kawan-kawan lain akan merancang sebaik mungkin masa mana yang paling sesuai untuk masuk dan keluar dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.



Diatas jambatan melintasi sungai Kelantan di Tanah Merah.

Ada yang kata baliklah sebelah malam, ada juga yang mencadangkan bertolak selepas subuh...semuanya saya dah cuba namun masih terperangkap dalam kesesakan dijalanraya.


Deretan kereta dari arah Jeli ke Machang/Tanah Merah

Hidung Pesek, Mata Sepet dan Jambang Tebal

Oleh : Ust. Zolkharnain Abidin

Semasa saya menulis mengenai ‘Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS’, otak saya mengembara ke seluruh Malaysia mencari-cari pemimpin PAS di berbagai peringkat dari kalangan orang Cina atau India. Saya hanya terbayangkan Dato’ Anuar Tan sahaja. Saya memasukkan namanya dalam tulisan tersebut. Apabila tulisan di dalam blog saya dipindahkan oleh pemudabesut ke laman Tranungkite, beliau memasukkan nama Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong Perak. Terimakasih kepada pemudabesut.

Drs Khalil Idham Lim yang saya panggil Ust Khalil bukan asing bagi saya. Kami bersahabat baik. Dia acap kali belanja saya makan malam kerana setiap bulan saya menyampaikan kuliah di markas Titi Serong, markas DUN beliau. Tetapi macam mana saya boleh tidak terlintas namanya. Nombor handphonenya pun ada dalam simpanan saya. Dia juga hantar SMS jemput saya ke rumah terbukanya pada 5 Syawal. Maaf ust, saya tak dapat bersama kerana banyak komitmen lain.

Di negeri saya ada seorang lagi aktivis pemuda negeri, juga seorang Cina, Sdr Adam Tan. Dia juga aktif bersama saya dalam Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Perlis. Dia dan saya bersama Sdr Zulmi Sabri, Pengerusi YAM Perlis telah bertemu dan menyumbang bantuan hariraya kepada anak-anak yatim pada Ramadhan yang lalu.

Saya fikir, kita perlu ada direktori sahabat kita yang bukan berbangsa Melayu yang menjadi pimpinan atau aktivis PAS di semua peringkat. Dulu kita ada Sdr Kamal Koh, Aan Wan Seng dan … Namun kini mereka seperti mendiamkan diri, low profile. Saya tidak pasti mengapa. Saya yakin mereka tetap committed dengan PAS. Mungkin keperluan kehidupan, perniagaan, situasi keluarga atau apa sahaja membuatkan mereka senyap dan seolah-olah ‘menjauhkan diri daripada PAS’.

Peranan mereka besar di dalam PAS. Kalau tak salah ingatan saya, CCC dulunya digerakkan oleh mereka. Kemampuan mereka berbahasa ibunda, kefahaman mereka tentang budaya etnik mereka, lingkungan hubungan mereka yang luas dengan keluarga dan rakan sebangsa bahkan hubungan antara bangsa mereka melalui perniagaan, persahabatan, pelbagai badan dan gerakan massa adalah aset berharga buat kita.

Mereka perlu diketengahkan dan diberi tempat wajar di dalam PAS. Jangan tunggu mereka datang. Mereka perlu dipanggil. Ramai di kalangan mereka yang terpelajar, lepasan Universiti Islam Madinah, lepasan al-Azhar dan sebahagian besar adalah profesional. Bukan sahaja daripada kalangan Cina tetapi juga India. Mereka adalah ahli PAS, bukan anggota Kelab Penyokong PAS. Justeru mereka layak memilih dan dipilih. Mereka layak ditonjolkan sebagai pimpinan kanan jamaah.

Saya tidak kenal pimpinan parti atau aktivis parti dari kalangan kaum India. Saya yakin ada. Mereka juga wajar diketengahkan.

Saya cuba gambarkan betapa indahnya, ketika muktamar, mereka yang memenuhi kerusi pimpinan PAS Pusat, pemuda, muslimat dan ulama di atas pentas diwarnai oleh mereka yang berkulit sawo matang, putih kuning dan hitam manis. Atau, berhidung pesek, bermata sepet dan berjambang tebal. Meriahnya waktu rehat muktamar dengan pelbagai bahasa komunikasi apabila sesama etnik ini bertemu. Gerai-gerai makanan juga pelbagai, asam pedas, yong tau fu, gulai mamak, atau apa sahaja, berbagai juadah yang mewakili pelbagai etnik di dalam PAS. Mereka datang dengan pakaian tradisi masing-masing. Baju Melayu, Baju Kurung, Cheung Sam, Kurta… atau apa-apalah. Saya tak tahu nama pakaian tradisi kaum Cina dan India. Huh, cukup indah.

Tetapi, bila agakanya semua itu menjadi nyata. Jangan seperti menunggu gagak berbulu putih atau kucing bertanduk sudah.

Kita tunggu dan lihat.