16 Jun 2011

12 penumpang bas terbunuh serangan NATO

14 Rejab 1432H. [MOD] -

RABAT 16 Jun - Kira-kira 12 penumpang terbunuh apabila serangan udara NATO meletupkan sebuah bas di pekan Kikla, Libya, lapor siaran televisyen tempatan hari ini.

Bagaimanapun, stesen televisyen tersebut tidak memberikan maklumat lanjut.

NATO tidak memberi maklum balas berhubung kejadian tersebut. - Reuters

Bersih 2.0: Pemuda PAS tidak gentar

14 Rejab 1432H. [MOD] -

1. Biarpun berhadapan dengan ugutan dan halangan, langkah derap Dewan Pemuda PAS Malaysia memobilisasi kebangkitan rakyat guna mendesak satu sistem demokrasi yang adil dan pilihanraya yang telus, sekali - kali tidak terjejas semata - mata kerana tindakan nakal pihak tertentu termasuk UMNO dan Perkasa. Biar 1000 laporan polis yang mereka lakukan, mereka tidak mungkin mampu memadam semangat anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini justeru keadilan dan ketelusan tersebut juga menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam.

2. BERSIH 02 adalah manifestasi dari kebangkitan anak muda yang mula bosan dan kecewa dengan sikap kerajaan UMNO dan BN mempermainkan rakyat dan mempersenda sistem demokrasi. Kepincangan demokrasi ala malaysia ini masih ketara, apabila pihak Pakatan Rakyat terus dikekang daripada mendapat hak yang sama untuk akses dengan media sedang Barisan Nasional sepenuhnya memanipulasi media arus perdana [seperti RTM] untuk memberi maklumat satu hala atau sebelah pihak kepada rakyat. Laporan kajian Kebebasan Media 2011 oleh Freedom House, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 143 daripada 196 negara. Manakan tidak ....

Kementerian dalam negeri [ KDN ] gagal meluluskan permohonan permit Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari menerbitkan akhbar harian "Utusan Rakyat"
Sehingga kini hasrat DPP Malaysia mahu melihat lahirnya sebuah akhbar harian "Purnama" yang dimohon permitnya lebih sedekad yang lalu masih tidak kesampaian.
Begitulah nasib yang menimpa Harakah, Suara Keadilan dan Rocket. Bukan sahaja tidak dibenarkan terbit secara harian, ianya terhad untuk ahli sahaja dan terus menerima tekanan dari pelbagai sudut.
3. Undi pos pula akan terus menjadi tali hayat Barisan Nasional agar mereka terus berkuasa dan mampu melangsungkan tradisi "membelasah" rakyat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Lihat sahaja laporan Global Financial Integrity yang mendakwa sebanyak RM 889 bilion tiris dan mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 - 2008. Begitu juga laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM 28 bilion telah tiris dalam perbelanjaan dana awam.

4. Undi pos juga akan terus menjadi sandaran Barisan Nasional untuk terus kekal berkuasa lalu membuli rakyat dengan kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kenaikan tarif bil elektrik, saman ekor serta "membelenggu" anak muda dengan lingkaran hutang PTPTN. Undi pos adalah satu makenisme yang paling strategik untuk mengekalkan survival kuasa politik Barisan Nasinoal sedang ia tidak lagi relevan dalam sistem demokrasi moden hari ini.

5. Sebahagian mereka menempelak hasrat BERSIH 02 kononnya tidak lagi relevan kerana Pakatan Rakyat telah memenangi 4 buah negeri dan hampir menguasai keseluruhan kerusi di Wilayah Persekutuan. Menang di 4 buah negeri bukan bermakna kami telah berpuas hati dengan tahap ke"bersihan" sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini. Saya percaya, jika pilihanraya benar - benar dikendalikan sebersih - bersihnya dari sebarang manipulasi dan sistem demokrasi dilangsungkan dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mampu menang sekurang - kurangnya di 8 buah negeri pada pilihanraya umum 2008 yang lalu malah berkemungkinan besar mampu memperolehi simple majoriti bagi menguasai parlimen.

6. Antara kepincangan demokrasi yang diamalkan dalam negara kita Malaysia ialah tindakan mereka yang mahu menghalang hak rakyat berhimpun secara aman seperti Himpunan BERSIH 02. Setelah mendengar janji daripada penganjur BERSIH 02 bahawa ia akan dilangsungkan secara aman, mereka masih mengugut rakyat agar tidak menyertai himpunan tersebut. Selayaknya pihak berkuasa mengambil langkah mengawal himpunan BERSIH 02 sebagaimana mereka boleh mengawal himpunan dan perarakan puluhan ribu manusia pada hari sambutan kemerdekaan, malam citrawarna dan sebagainya.

7. Pihak berkuasa juga sayugianya menghalang hasrat pihak - pihak lain selain BERSIH 02 yang terlebih dahulu telah mengisytiharkan hasrat menganjurkan himpunan pada hari yang sama dan di tempat yang sama, kerana ia adalah satu bentuk provokasi yang boleh mencetus ketidaktenteraman suasana himpunan tersebut. Saya hairan kenapa Perkasa atau lainnya mahu mengadakan himpunan pada hari yang sama dan tempat yang sama ? Ertinya merekalah yang mahu mencetus provokasi dan suasana tidak aman bukan pihak BERSIH 02.

8. Andai mereka mahu menduga pengaruh, mereka boleh menganjurkan himpunan serupa pada 10 hb Julai iaitu sehari selepas BERSIH 02 atau pada 8 hb Julai iaitu sehari sebelumnya. Kenapa mereka begitu terdesak mahu mengadakan himpunan mereka pada hari yang sama ? mereka marah rakyat mahu sertai BERSIH 02 kerana himpunan itu kononnya demontrasi jalanan yang sia - sia, tetapi mereka juga mahu menganjurkan himpunan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap BERSIH 02 ! Alangkah dangkalnya mereka berfikir !

9. Benarkan dahulu rakyat menyertai BERSIH 02 pada 9 hb Julai untuk membantah sistem pengendalian demokrasi dan pilihanraya yang pincang dalam negara ini. Maka keesokkan harinya, bolehlah mereka pula berhimpun untuk membantah himpunan BERSIH 02 jika mereka tidak berpuas hati atau kiranya mereka kurang sabar, boleh sahaja mereka berhimpun pada 8 hb Julai untuk melahirkan bantahan mereka dan benarkan BERSIH 02 berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi pada 9 hb Julai 2011. Apakah kerajaan UMNO dan BN perlu diajar sedemikian rupa erti demokrasi ?

10. Saya mengharapkan anak - anak muda tidak terpengaruh dengan taktik kerajaan Barisan Nasional dan proksi - proksi mereka yang cuba mengugut untuk membatalkan BERSIH 02 justeru itulah yang akan meletakkan Barisan Nasional terus selesa menghadapi pilihanraya umum ke 13 secara berat sebelah dan tidak telus. Insyaallah, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya akan terus berada di saf hadapan memimpin kebangkitan anak muda bersama rakan - rakan dari Angkatan Muda Keadilan dan DAPsy.Memimpin Kebangkitan Anak Muda

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Gempa bumi kuat landa Papua New Guinea

14 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa kuat bermagnitud 6.6 pada skala Richter melanda Papua New Guinea (PNG), pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa bumi jam 8.03 pagi di PNG New Britian Region itu berlaku di 605km timur laut Port Moresby dan 3,863km barat daya Kunak Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan jabatan itu di sini. - BERNAMA

15 Jun 2011

RON 97 turun 10 sen.

13 Rejab 1432H. [MOD] -

Mulai tengah malam ini harga minyak petrol RON97 turun sebanyak 10 sen kepada RM 2.80 setiap liter.Harga sebelum ini ialah RM 2.90 seliter.

Penurunan ini adalah kali pertama berlaku sejak minyak jenis itu didakwa telah diapung dan kenaikannya berdasarkan harga pasaran minyak dunia.

Perubahan harga ini dilihat tidak memberi banyak kesan dan boleh menggembirakan rakyat. Mungkin mereka lebih seronok dan mengharapkan harga minyak petrol R0N 95 diturunkan.

Gaji minimum sebelum hujung tahun

13 Rejab 1432H. [MOD] -

SUBANG - Pelaksanaan gaji minimum kepada seluruh pekerja di seluruh negara bakal dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Konsultansi Gaji Negara yang akan dibuat pada sesi Parlimen ini.

“Kita berharap dengan pelaksanaan gaji minimum akan menguntungkan semua pihak supaya negara mampu mencapai negara maju dengan pendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan Makan Malam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), malam tadi.

Selain itu, beliau turut memberi nasihat supaya pekerja, majikan dan kerajaan mampu menjadi satu pasukan yang ampuh serta mampu menjalin perkongsian bersama.

“Perkongsian ini bukan bererti kita tidak boleh berbeza pendapat, ia adalah lumrah alam, tetapi yang paling penting perbezaan ini positif mencari titik persamaan yang sama.

“Apa yang paling penting adalah semua pihak kena untung kerana hubungan ini adalah yang paling ideal sekali,” katanya.

sinarharian/-

Berlusconi hilang sokongan rakyat

13 Rejab 1432H. [MOD] -

ROM - Pungutan suara di Itali, kelmarin membuktikan rancangan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi untuk membina loji nuklear ditentang hebat penduduk negara itu.

Lebih 90 peratus pengundi dalam pungutan suara itu menentang rancangan kerajaan dalam empat isu utama termasuk pembangunan tenaga nuklear, undang-undang yang bakal memberikan kekebalan kepada Berlusconi dan dua lagi berkaitan isu penswastaan air.

Tentangan terhadap pemberian kekebalan undang-undang kepada Berlusconi dilihat membuktikan perasaan tidak senang rakyat dengan masalah perilaku pemimpin itu.

Berlusconi, 74, sedang dibicarakan dalam tiga kes berasingan melibatkan dakwaan rasuah dan penipuan, penyalahgunaan kuasa dan mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur.

SINARHARIAN/-

Khasiat rawatan madu

13 Rejab 1432H. [MOD] -

KHASIAT madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya sudah diketahui umum. Secara semula jadi, madu sangat berkhasiat dan mengandungi gula seperti fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat.Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.

Hari ini, madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Malah, dalam al-Quran sendiri turut menyatakan kelebihan madu seperti firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 68 dan 69 yang bermaksud: Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.

Sehubungan itu, syarikat pengeluar produk makanan kesihatan tempatan, Tasbih Emas Resources (Tasbih Emas) telah mengorak langkah dengan mengembangkan produk kesihatan berasaskan madu lebah.

Dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera, rangkaian produk keluaran Tasbih Emas yang diberi nama Aulia juga merupakan alternatif dan sebahagian pakej lengkap khususnya untuk mereka yang ingin memelihara kecantikan dalaman dan luaran dengan baik.

Menurut Perunding Produknya, Dr. Rosli Senafi, produk Aulia dihasilkan dengan pengawalan yang ketat bagi memastikan mutu dan kualiti produk mencapai piawai yang tinggi.

Katanya lagi, semua produk Aulia dihasilkan daripada campuran herba terbaik dan terpilih tanpa mengandungi bahan kimia.

Ia didaftarkan di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Dengan menggunakan formula daripada kitab karangan Imam Sayuti, akhirnya kami berjaya mengeluarkan enam produk kesihatan yang berasaskan madu lebah.

"Insya-Allah, produk yang menggunakan formula daripada kitab berkenaan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kerana ia diambil berdasarkan al-Quran dan Hadis bagaimanapun sebelum itu pelbagai kajian telah pun dilakukan.

"Seperti umum ketahui, madu lebah mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran," ujarnya ketika ditemui di premisnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Produk kesihatan Aulia yang terdapat di pasaran hari ini terdiri daripada madu asli, madu sawda, madu minta, madu langsing, madu yogurt dan kismis IQ.

Apa yang menarik mengenai produk-produk tersebut, jelas Dr. Rosli, terdapat dua produk baru yang diperkenalkan di pasaran iaitu madu slim dan madu yogurt.

Kedua-dua produk itu bukan sahaja mampu membantu menurunkan berat badan dan tekanan darah tetapi ia juga mampu membantu mengempiskan perut, membantu memecah dan menghilangkan lemak-lemak, menghilangkan lendir-lendir dalam badan, melancarkan perjalanan darah serta menambahkan tenaga tubuh badan.

Tambah Dr. Rosli lagi, kesemua produk keluaran Tasbih Emas diproses di kilang yang terletak di Jempol, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Tasbih Emas turut giat mencari rakan niaga di seluruh negara sama ada pengedar atau stokis.

"Buat masa sekarang kami akan memberi tumpuan terhadap pasaran dalam negeri tetapi dalam masa yang sama kami menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi bidang perniagaan sama ada sebagai pengedar atau stokis.

"Kami juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan lagi produk kesihatan pada masa hadapan.

"Produk Aulia dijual bermula dari harga RM2.50 untuk kismis sehingga RM99.00 untuk produk berasaskan madu," katanya.

oleh mariatul qatiah zakaria

Pemuda PAS kutuk Utusan hina hukum Allah

13 Rejab 1432H. [MOD] -

MELAKA, 15 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk Utusan Malaysia kerana dengan terang-terang menghina dan mempersenda hukum Islam.

Ruangan kartun yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Aizat Baharuddin berkata, tindakan akhbar tersebut jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya daripada Allah.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam di tuduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan 4 orang saksi yang tidak fasiq,” katanya.

Namun, katanya dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

Tambahnya, ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa 4 orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

Katanya lagi, kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis.

Aizat berkata tidak hairanlah apabila khutbah Jumaat di Selangor mengenai tentang qazaf dan fitnah, pemuda Umno pula buat laporan, kononnya agama politikkan.

“Mereka sebenarnya mahu membiarkan orang menjadi jahil dan buta agama seperti mereka.

"Inilah akibatnya apabila akhbar menjadi alat Umno. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda,” katanya.

Tegasnya, Utusan Malaysia perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

“Janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri," katanya.

HARAKAHDAILY/-
Ahmad Danial

Anwar saman KJ mungkin selesai luar mahkamah

13 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pihak-dalam saman fitnah dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menimbangkan kemungkinan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Peguam yang mewakili Khairy, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad meminta pihak berkenaan berbuat demikian semasa berjumpa dengan mereka di dalam: kamarnya semalam.

Khairy turut diwakili peguam Sarah Abishegam manakala Anwar diwakili peguam Mohd Haijan Omar.

Muhammad Shafee berkata beliau akan berbincang dengan Khairy mengenai sama ada anak guamnya itu bersetuju dengan penyelesaian itu.

Mahkamah menetapkan 24 Jun bagi pengurusan kes bagi mereka memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan mereka.

Anwar memfailkan saman, 7 September 2007, mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO telah memfitnahnya dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar, pada Ogos 2007.

Beliau berkata kenyataan memfitnah itu disiarkan oleh media di negara ini pada 3 Ogos, 2007.

Anwar mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai ahli politik tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, tidak mengutamakan perjuangan orang Melayu serta hak dan beliau berkeupayaan untuk mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu demi mendapatkan sokongan bukan Melayu dalam negara.

Beliau berkata Khairy membuat kenyataan itu untuk menyindirnya sebagai seorang ejen politik Amerika Syarikat dan Yahudi, bertujuan memusnahkan erjaya :politiknya.- Bernama.

Diusir keluar pesawat kerana cakap lucah

13 Rejab 1432H. [MOD] -

NEW YORK: Seorang penulis buku kanak-kanak diusir keluar dari pesawat kerana menggunakan perkataan lucah ketika merungut mengenai kelewatan penerbangan yang dinaikinya.

Robert Sayegh, 37, berkata syarikat penerbangan Atlantic Southeast Airlines bertindak melampau apabila memanggil polis untuk mengusir beliau keluar dari pesawat itu yang berada di lapangan terbang Detroit Metro petang Ahad lalu.
“Perkataan F yang saya gunakan itu tidaklah baik digunakan tetapi saya hanya menggunakannya untuk melepaskan geram dan tidak ditujukan kepada sesiapa,” katanya semalam.

“Saya tidak rasa saya menengking ketika itu.”

Sayegh yang juga seorang penerbit rancangan televisyen berkata beliau sedang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Kansas City, Missouri. – Reuters

Warga Singapura dituduh rasuah pemain bola sepak

13 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 15 Jun: Seorang bookie berhadapan dengan 11 pertuduhan di dua mahkamah yang berasingan hari ini selepas didakwa memberikan suapan wang rasuah kepada pemain bola sepak T Team, Piala Presiden Terengganu.

Rajendran a/l R.Kurusamy, 51, warga Singapura telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas 6 pertuduhan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut kenyataan SPRM, tertuduh didakwa kerana memberikan sejumlah suapan berbentuk wang tunai RM200 setiap seorang kepada enam pemain pasukan berkenaan sebagai upah bagi mengatur perlawanan bolasepak di antara pasukan T-Team (Terengganu) dengan Pasukan Selangor bagi Piala Presiden.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Hotel Grand BlueWave, Shah Alam, Selangor pada bulan Mac 2010, jam 7.00 malam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dan minta untuk dibicarakan.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh telah dijamin dengan seorang penjamin warga Malaysia, manakala pasport tertuduh turut diserah kepada mahkamah.

Hakim turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Terengganu memandangkan kesemua saksi berada di negeri itu dan satu kes membabitkan transaksi yang sama turut dibicarakan di sana.

Hakim menetapkan tarikh sebutan pada 20 Jun 2011.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Fadzillah Mahmud daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Bakri Abd Majid, manakala tertuduh diwakili oleh peguamnya, V. Shanmugam.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Tertuduh bakal berhadapan lima lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban petang ini.

Harakahdaily

Menyamar Polis, Rela

13 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH – Seorang ‘bouncer’ ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Pasir selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menyamar sebagai anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di sini, awal pagi semalam.

Suspek, Lai Soon Siew, 29, dari Melaka ditahan selepas cuba melarikan diri daripada anggota peronda yang bertugas di Jalan Perhentian berhadapan stesen minyak Shell Medan Kidd.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 3.50 pagi, dua anggota polis dari Balai Polis Pusat membuat rondaan sebelum terlihat sebuah kereta jenis Naza Sutera dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, salah seorang anggota mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun gagal.

“Sebaliknya, suspek terus memecut ke arah Jalan Bendahara untuk menyelamatkan diri. Anggota itu meminta bantuan sokongan dari Balai Polis Pusat, dan suspek berjaya di tahan di Jalan Pasir Putih 15 minit kemudian.

“Difahamkan kereta yang dipandu adalah milik abang saudara suspek,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan antaranya sehelai baju pegawai Rela berpangkat Leftenan (bernama S S Lai), sehelai baju pegawai polis berpangkat Inspektor, beret berlambang polis, dua pucuk pistol mainan, jaket kalis peluru dan T baton bersarung kulit hitam.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif sebenar suspek menyamar dan suspek direman empat hari sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan.

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

sinarharian/-

Mangsa culik sakit

13 Rejab 1432H. [MOD] -

SAIDIN dan ibu Mohd Nazarrudin, Siti Hamdan Ahmad sedih dengan nasib yang menimpa anak mereka.

Nazarrudin dilapor enggan makan, rindu anak

SUNGAI BULUH: Mohd Nazarrudin Saidin yang ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, dilaporkan tenat selepas dikatakan tidak lalu makan seminggu lalu.
Berita Harian yang menghubungi kumpulan penculik untuk memberi peluang kepada bekas isterinya, Mazlina Mohammad serta enam anaknya bercakap dengannya, semalam, dimaklumkan keadaan tidak mengizinkan untuk mangsa bercakap.

“Ya, ada di sini,” kata jurucakap penculik ketika ditanya di mana Nazarrudin.

beritaharian/-

UMNO tiada makna

13 Rejab 1432H. [MOD] -

Sejak Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang menambah wadah perjuangan kearah Negara Berkebajikan UMNO dikatakan mula bersuara supaya Pas menggugurkan nama Islam dari partinya.

Mohd Shoberi Shafei dalam entri terbarunya menulis, ini buka pertama kali pemimpin-pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan yang rapat dengan parti tersebut mahu Pas mengugurkan nama Islam, ia pernah ditimbulkan buat kali terakhir selepas pilihanraya 1999 dulu.

"Yang peliknya UMNO sendiri masih mengunakan bahasa Inggeris dalam menjenamakan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu itu. Cakap pasal Melayu tapi nak sebut Pertubuhan Kebangsaan Melayu pun tak mahu dan masih berselindung disebalik nama bahasa Inggeris iaitu United Malays Nasional Organisation (UMNO).

"Semuanya itu adalah kerana takut, cakap orang yang tak ada fokus dalam perjuangan, cakap nak mengampu kerana berbahas mengenai nama sesebuah parti di Malaysia ini tidak dapat mengubah minda rakyat yang cerdik. Nama Pas sudah lama ujud.

"Sekiranya orang UMNO tidak mahu nama Islam digunakan dalam pilihanraya umum ke 13 nanti, senang saja, minta kerajaan BN melalui Suruhanjaya Piliharaya supaya menetapkan bahawa PRU 13 hanya dua parti kompenan saja yang layak bertanding iaitu BN dan PR selain dari calon bebas dan pendaftar pertubuhan hendaklah meluluskan permohonan yang diminta oleh Pas, PKR dan DAP untuk menggunkan lambang PR, habis cerita dan nama Islam boleh dihapuskan.

"Itulah semolek-moleknya untuk mengelak nama Islam diguna pakai dalam poster pilihanraya sekiranya orang UMNO takut sangat kepada nama Islam yang dipelopori oleh parti Pas. Jadi nama UMNO untuk melayu pun tak ada dan nama Pas untuk Islam pun tak ada," katanya.

sianrharian/-

Rakyat dicandui mimpi muluk Umno-BN lagi

13 Rejab 1432H. [MOD] -

Dalam lawatan saya ke India baru-baru ini, saban hari saya membaca iklan-iklan berbayar oleh kerajaan-kerajaan negeri di rantau itu mengenai projek-projek yang mereka telah mulakan untuk kebaikan rakyat.

Iklan itu dihiasi dengan pelbagai slogan, semuanya untuk memberikan mesej bagaimana rakyat bakal menerima manfaat begitu besar hasil pemerintahan kerajaan berkenaan.

Peliknya kerajaan-kerajaan negeri yang membuat janji-janji sedemikian sudah pun lama memerintah. Jadi jika rakyat baru dijanjikan manafaat “yang bakal” dinikmati mereka, tentunya ada sesuatu yang tidak kena.

Di sebalik iklan-iklan yang penuh dengan janji-janji sedemikian, saya hanya perlu melangkah ke luar hotel untuk berdepan dengan realiti hidup di India.

Memang diakui New Dehli, Jaipur dan bandaraya-bandaraya lain seperti Amritsar mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuh raya sibuk dengan kereta mewah, namun ia juga penuh dengan pengemis tua, muda dan kanak-kanak.
Menyayat hati

Amat menyayat hati bila melihat ibu mendokong bayi belasan bulan yang berpakaian nipis di musim sejuk dengan suhu 10 darjah Celsius di celah-celah kotaraya, mencari makanan di tong-tong sampah.

Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan iklan-iklan di India itu dengan muka depan akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia semalam mengenai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.

Utusan Malaysia melaporkan gabungan semua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan pendapatan negara kasar sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang pekerjaan.

Berdasarkan laporan media itu semata-mata, nampaknya Malaysia kini memasuki era keemasan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mungkinkah ini satu hakikat? Atau, ia sebenarnya sama seperti apa yang berlaku di India?

Kita bersyukur kerana pengemis-pengemis jalanan yang berkeliaran di negara kita kini kebanyakan mereka adalah rakyat asing; buat masa ini.

Namun siapa yang sanggup menafikan hakikat kita semua semakin merasakan kesempitan hidup.

Kos sara hidup yang melambung, tanpa kenaikan gaji yang selari, penarikan balik subsidi, kenaikan harga hampir semua barangan perlu, dari secawan kopi di gerai kepada bil elektrik – semuanya semakin mencengkam kita.

Bajet tambahan

Sehari selepas Najib mendabik dada memberitahu dunia mengenai manfaat yang bakal dikecapi rakyat daripada NKRA dan ETP tajaannya, timbalan beliau terpaksa berdiri di Parlimen memohon Belanjawan tambahan sebanyak RM13 bilion.

“Ini untuk menampung keperluan perbelanjaan menguruskan negara,” kata Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussain (kiri).

Bermakna Belanjawan sebelum ini yang dibentangkan oleh Najib iaitu sebanyak RM162.8 bilion tidak mencukupi.

Ini juga bermakna belanjawan Najib hanya bertahan untuk tempoh begitu singkat, dan segala unjuran oleh pakar-pakar beliau tidak menepati sasaran!

Adakah kita sanggup dibuai dengan janji-janji indah NKRA, ETP dan sebagainya atau berpegang kepada realiti hidup semasa untuk merumuskan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan ekonomi negara kita.

Kenapa subsidi untuk rakyat ditarik balik, manakala subsidi untuk Penjana Eletrik Bebas di kekalkan?

Kenapa perlu diadakan projek mega 100 tingkat Menara Warisan bernilai RM5 bilion atau membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri?

Apakah keperluan untuk kerajaan bergabung dengan sektor swasta membelanjakan RM27 juta ringgit untuk mengumpul sejuta pemuda bagi beramah mesra dengan Perdana Menteri, baru-baru ini?

Keperitan hidup

Bagaimanakah Kementerian Perlancongan boleh diberi kelulusan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman Facebooknya, sesuatu yang boleh dilakukan dengan belanja jauh lebih murah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini tidak mungkin akan dikupas oleh media arus perdana milik kerajaan, namun ini tidak bererti rakyat tidak boleh memikirkan mengenainya.

Dalam mengharungi keperitan hidup akibat pemotongan subsidi, rakyat kini menyaksikan kerajaan yang sama memohon kepada Parlimen untuk diberikan tambahan RM13 bilion bagi pengurusan negara.

Sudah tentu ia akan memburukkan lagi defisit negara, dan jika defisit negara bertambah meruncing, apakah ini tidak bermakna rakyat akan dijadikan mangsa menerusi pemotongan subsidi yang lebih dahsyat?

Pembaziran, ketirisan dan rasuah mewarnai setiap kerajaan yang memerintah di India sejak kemerdekaan. Prinsip-prinsip yang dijulang oleh Bapa India – Mahatma Gandhi sudah lama diabaikan oleh kebanyakan ahli poltik negara itu dalam mengejar kemewahan untuk diri dan kroni.

Segelintir daripada rakyatnya adalah antara yang terkaya di dunia, namun sebilangan besar masih lagi terperangkap dalam kancah kemiskinan tegar yang amat memeritkan.

Di Malaysia, janji-janji NKRA-ETP ialah pusingan mimpi baru yang dijual oleh kerajaan Umno-BN kepada rakyat negara ini.

Ungkapan kroni, kronisme

Kita sudahpun menyaksikan bagaimana pengswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ungkapan kroni dan kronisme.

Duit rakyat beratus billion ringgit disalur untuk membayar syarikat-syarikat konsesi air, elektrik, dan sistem aliran transit ringan dan sebagainya.

Hasil jelas pemerintahan beliau, rakyat terpaksa membayar tol tinggi untuk menggunakan lebuhraya, bil elektrik dan air juga meningkatkan manakala kemudahan pengangkutan awam negara ini jauh daripada memuaskan.

Selepas Mahathir, rakyat disajikan pula rancangan-rancangan seperti Koridor Ekonomi wawasan Tun Abdullah Badawi.

Belum pun Koridor itu menjadi realiti, rakyat diminta menerima keindahan NKRA dan ETA oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak.

Maaf jika rasa sinis saya membaca iklan-iklan akhbar berbayar kerajaan di India menyerlah sekali lagi apabila membaca “kebesaran ETP dan NKRA” di muka depan akhbar-akhbar arus perdana semalam.

Saya cuma memikirkan nasib rakyat yang terperangkap dengan segala sara hidup semakin melambung yang cuba dibuai dengan mimpi-mimpi seorang lagi Perdana Menteri Umno-BN.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.