15 Jun 2011

Warga Singapura dituduh rasuah pemain bola sepak

13 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 15 Jun: Seorang bookie berhadapan dengan 11 pertuduhan di dua mahkamah yang berasingan hari ini selepas didakwa memberikan suapan wang rasuah kepada pemain bola sepak T Team, Piala Presiden Terengganu.

Rajendran a/l R.Kurusamy, 51, warga Singapura telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas 6 pertuduhan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut kenyataan SPRM, tertuduh didakwa kerana memberikan sejumlah suapan berbentuk wang tunai RM200 setiap seorang kepada enam pemain pasukan berkenaan sebagai upah bagi mengatur perlawanan bolasepak di antara pasukan T-Team (Terengganu) dengan Pasukan Selangor bagi Piala Presiden.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Hotel Grand BlueWave, Shah Alam, Selangor pada bulan Mac 2010, jam 7.00 malam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dan minta untuk dibicarakan.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh telah dijamin dengan seorang penjamin warga Malaysia, manakala pasport tertuduh turut diserah kepada mahkamah.

Hakim turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Terengganu memandangkan kesemua saksi berada di negeri itu dan satu kes membabitkan transaksi yang sama turut dibicarakan di sana.

Hakim menetapkan tarikh sebutan pada 20 Jun 2011.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Fadzillah Mahmud daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Bakri Abd Majid, manakala tertuduh diwakili oleh peguamnya, V. Shanmugam.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Tertuduh bakal berhadapan lima lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban petang ini.

Harakahdaily

Tiada ulasan: