15 Jun 2011

Angkara lelaki bertatu

13 Rejab 1432H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang penjenayah menaiki kereta jenis Perodua Kancil menjadikan seorang suri rumah sebagai mangsa samunnya selepas terserempak dengan wanita itu sedang berjalan kaki bersama anaknya di satu laluan agak sunyi di Jalan Kuantan-Maran kira-kira 300 meter dari Masjid Kampung Paya Bongor dekat sini, petang kelmarin.

Penjenayah berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 30-an itu menggunakan modus operandi mendekati mangsa dengan kenderaan dipandu sebelum berpura-pura bertanyakan arah jalan ke Bukit Gambang Resort, Gambang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 33 tahun tidak mengendahkan suspek sebaliknya dia segera menarik tangan anak lelakinya berusia empat tahun untuk beredar dan cuba mengelak daripada lelaki tidak dikenali itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, tidak puas hati dengan tindakan wanita itu, suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat dan mengacukan ke arah mangsa.

Menurutnya, penjenayah terbabit mengancam akan mencederakan mangsa sebelum mengarahkan wanita itu menyerahkan rantai leher emas yang dipakai bernilai kira-kira RM4,000.

“Selepas mendapatkan habuannya, lelaki terbabit segera melarikan diri dengan kereta Kancil berwarna perak.

“Mangsa sempat mengecam suspek termasuk gambar tatu di bahagian lengan sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Jaya Gading dekat sini.

“Polis akan memanggil mangsa untuk tujuan pengecaman bagi mendapatkan lakaran wajah penjenayah dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

sinarharian/-

Tiada ulasan: