15 Jun 2011

PAS setuju Abu Dhabi ambil alih RHBCap

13 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersetuju mengenai kebenaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara terhadap pengambilalihan bank RHBCap oleh Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB).

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian semasa ditemui di lobi Parlimen hari ini mengalu-alukan ADCB untuk ambil alih RHBCap dan menyatakan hasrat Maybank dan CIMB untuk mengambil alih RHBCap perlu dilupakan apabila kebenaran itu telah dibuat oleh Bank Negara.

Menurut beliau lagi, Maybank dan CIMB perlu terus dan merancang memikirkan satu sektor lain yang lebih menguntungkan mereka.

"Bagi kita tidak perlu Mybank dan CIMB untuk ambil alih RHBCap kerana Mybank dan CIMB ini kepentingannya adalah merupakan pengumpulan besar wang dana rakyat.

"Jadi, kita nak selamatkan dana dalam bank Maybank dan CIMB supaya tidak menggugat kepentingan awam.

"Hal ini kerana Maybank di bawah Pemodalan Nasional Berhad dan CIMB pula di bawah Khazanah yang terdapat wang dana rakyat.

"Kita mengharapkan tidak berlaku pengambilan bank oleh Maybank dan CIMB yang berhasrat untuk mengambil alih RHBCap.

"Hal ini kerana kita merasakan pekara itu tidak ada satu keperluan yang mendesak bagi kedua-dua bank yang besar ini untuk mengambil alih RHBCap," jelas beliau lagi.

Sebelum ini beliau telah membangktkan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Larangan Kumpulan Wang Kutu 2011 di Dewan Rakyat.

Akhbar The Sun pada 13 Jun lalu melaporkan mengenai rancangan ADCB untuk mengambi alih bank RHBCap.

Harakahdaily