13 Rejab 1432H. [MOD] -
IPOH – Seorang ‘bouncer’ ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Pasir selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menyamar sebagai anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di sini, awal pagi semalam.
Suspek, Lai Soon Siew, 29, dari Melaka ditahan selepas cuba melarikan diri daripada anggota peronda yang bertugas di Jalan Perhentian berhadapan stesen minyak Shell Medan Kidd.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 3.50 pagi, dua anggota polis dari Balai Polis Pusat membuat rondaan sebelum terlihat sebuah kereta jenis Naza Sutera dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, salah seorang anggota mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun gagal.
“Sebaliknya, suspek terus memecut ke arah Jalan Bendahara untuk menyelamatkan diri. Anggota itu meminta bantuan sokongan dari Balai Polis Pusat, dan suspek berjaya di tahan di Jalan Pasir Putih 15 minit kemudian.
“Difahamkan kereta yang dipandu adalah milik abang saudara suspek,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan antaranya sehelai baju pegawai Rela berpangkat Leftenan (bernama S S Lai), sehelai baju pegawai polis berpangkat Inspektor, beret berlambang polis, dua pucuk pistol mainan, jaket kalis peluru dan T baton bersarung kulit hitam.
Menurutnya, polis masih menyiasat motif sebenar suspek menyamar dan suspek direman empat hari sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.
sinarharian/-
1 ulasan:
apa lagi...mana tu loyar yg suka bela penjenayah tu....
Catat Ulasan