15 Jun 2011

10 sukarelawan sertai Flotila II

13 Rejab 1432H. [MOD] -

DR NOORAZAMAN pada sidang media mengenai misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II di ibu negara, semalam. Turut serta Ahmad Zaki (tengah) dan Mat Ariffin.
Dua Ahli Parlimen ikut serta belayar menerusi misi kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Sepuluh sukarelawan Malaysia, termasuk dua Ahli Parlimen, akan belayar ke Gaza akhir bulan ini menerusi misi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotila II bagi memecahkan kepungan haram rejim zionis Israel ke atas perairan Gaza.

Mereka akan menyertai lebih 1,000 sukarelawan daripada lebih 600 badan bukan kerajaan (NGO) dunia, yang akan belayar ke perairan Gaza dengan menaiki 13 kapal penumpang dengan tiga darinya adalah kapal kargo membawa pelbagai bantuan kemanusiaan berupa bekalan perubatan, peralatan sekolah dan bahan binaan seperti simen kepada 1.5 juta rakyat Palestin.

Semua sukarelawan yang bernaung di bawah pertubuhan Lifeline4Gaza (LL4G) itu akan menaiki kapal penumpang Scotland dan Jerman selain diwajibkan menjalani latihan persediaan mental dan fizikal untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan, termasuk kursus survival di lautan, bermula Ahad ini.

Presiden LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata pasukan sukarelawan Malaysia itu mendapat sokongan daripada kerajaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan identiti anggota sukarelawan terbabit pada 18 Jun depan pada majlis pelepasan diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sepuluh rakyat Malaysia, termasuk dua Ahli Parlimen masing-masing seorang dari BN (Barisan Nasional) dan pakatan pembangkang akan ikut serta, menaiki kapal (tajaan NGO) dari Jerman dan Scotland menggunakan bendera Scotland.

“Semua 13 kapal dijangka bertemu di satu titik pertemuan di Laut Mediterranean pada 27 atau 28 Jun depan sebelum belayar ke arah Gaza,” katanya pada sidang media LL4G mengenai penyertaan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan antarabangsa itu di Stesen KL Sentral, di sini semalam.
Hadir sama adalah Pengerusi Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia), Datuk Ahmad Zaki Zahid; Pengerusi Muslim Care Malaysia, Mat Ariffin Ismail; Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias; Pengerusi PC2P-Aman Palestin, Dr Isa Hamzah dan Pengarah Hubungan Luar Cakna Palestin, Zahari Mohd Sidik.

Noorazman yang juga pengasas kepada LL4G, iaitu gabungan 19 NGO pro-Palestin di negara ini berkata misi kemanusiaan itu adalah kesinambungan misi Freedom Flotila pada Mei tahun lalu yang menyaksikan sembilan aktivis kemanusiaan yang menaiki kapal penumpang Turki, MV Marvi Marmara ditembak mati komando Israel.

Katanya, misi kemanusiaan kali ini menggunakan tema ‘Pertahankan Kemanusiaan’ bagi mengingati pembunuhan aktivis kemanusiaan pro-Palestin, Vittorio Arrigoni di Gaza beberapa bulan lalu, di mana kesemua sukarelawan akan belayar ke Gaza bersandarkan prinsip menolak sebarang bentuk keganasan.

“Kami dijangka bergerak ke Gaza pada 30 Jun kecuali ada halangan. Kami sudah minta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memeriksa kapal termasuk penumpang. Kalau ada individu yang disenaraihitamkan, kita akan keluarkan mereka. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga boleh buat ‘sportcheck’ kecuali Israel,” katanya.

Noorazman berkata, pasukan itu masih kekurangan RM300,000 bagi menampung kos pembiayaan keseluruhan misi kemanusiaan itu dengan individu dan korporat yang berminat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan masing-masing kepada Muslim Care (Viva Palestin) melalui akaun Maybank bernombor: 564490211159.

beritaharian/-

Tiada ulasan: