15 Jun 2011

Pemuda PAS kutuk Utusan hina hukum Allah

13 Rejab 1432H. [MOD] -

MELAKA, 15 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk Utusan Malaysia kerana dengan terang-terang menghina dan mempersenda hukum Islam.

Ruangan kartun yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Aizat Baharuddin berkata, tindakan akhbar tersebut jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya daripada Allah.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam di tuduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan 4 orang saksi yang tidak fasiq,” katanya.

Namun, katanya dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

Tambahnya, ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa 4 orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

Katanya lagi, kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis.

Aizat berkata tidak hairanlah apabila khutbah Jumaat di Selangor mengenai tentang qazaf dan fitnah, pemuda Umno pula buat laporan, kononnya agama politikkan.

“Mereka sebenarnya mahu membiarkan orang menjadi jahil dan buta agama seperti mereka.

"Inilah akibatnya apabila akhbar menjadi alat Umno. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda,” katanya.

Tegasnya, Utusan Malaysia perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

“Janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri," katanya.

HARAKAHDAILY/-
Ahmad Danial

Tiada ulasan: