15 Jun 2011

Belajar dari AKP untuk menang PRU-13

13 Rejab 1432H. [MOD] -

ISTANBUL, 15 Jun: Selepas tiga hari berada di Turki untuk melihat dari dekat perjalanan dan strategi kempen parti AK di Turki, rombongan hari ini berkemas-kemas untuk pulang.

Lima delegasi telah berlepas pulang 13 Jun, sehari selepas pilihan raya, manakala hari ini lima lagi anggota akan berlepas pulang ke Malaysia.

Banyak yang dapat dipelajari dari AK parti untuk membolehkan PAS, PKR dan DAP juga menempah kemenangan yang sama di Malaysia.

"Bagi saya, terlalu banyak perkara yang kita boleh pelajari dalam pilihan raya ini dan perlu kita laksanakan. Sebaik saja pulang ke Malaysia, saya akan pastikan perkara ini sampai kepada pimpinan PKR untuk dilaksanakan," kata Saifudin Nasution Ismail, Setiuasaha Agung PKR sebelum berlepas pulang 13 Jun.

Turut pulang bersama beliau adalah Dr Siti Mariah Mahmud, Nasir Mustafa, Datuk Johari Abdul dan juga Nurul Izzah Anwar.

"Saya akan membuat beberapa cadangan kepada PAS untuk dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang," kata Dr Mariah Mahmud. Sessi lepas, Dr Mariah adalah timbalan pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Selepas melihat dari dekat strategi dan pendekatan kempen AKP, ada beberapa perkara pokok yang perlu dipertimbangkan dan wajar dilaksanakan oleh PAS khasnya untuk memenangi hati rakyat Malaysia menjelang pilihan raya ke 13 nanti.

Pertama, kempen ini mesti inklusif atau memasukkan semua orang dalam sasaran. Benar PAS parti Islam tetapi Islam hendaklah dijelmakan untuk memimpin semua pihak, Islam dan bukan Islam. Di Turki, AK disenangi semua pihak. Yang mahukan Islam menyokong AKP, yang sudah jauh dari Islam juga menyokong AKP.

Kami berjumpa dengan seorang pemain bola sepak semi pro Turki ketika membeli CD lagu Turki untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kebetulan dikedai itu, dia yang boleh berbahasa Inggeris. Apabila diberitahu kami mencari lagu tema kempen AK yang dicipta khas untuk pilihan raya ini, beliau sibuk sekali cuba mendapatkannya. Perkenalan itu menjadi sangat mesra kerana mengetahui kami menyokong AKP.

Seorang penyokong Saadet, Hassan, juga menjangkakan AKP akan menang besar dalam pilihan raya ini. Ini kerana, beliau akui orang ramai suka dengan cara AK. Yang kuat Islamnya suka kerana AK sangat tegas mempertahankan nilai-nilai Islam manakala yang sudah terungkai Islamnya dek lamanya Turki dibawah sekular, senang dengan pendekatan terbuka AKP.

Yang kuat Islam sangat terpaku dengan ketegasan Raccip Toyyib Erdogan memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana isteri beliau hatta di universiti dan majlis rasmi kerajaan yang selama ini dihalang oleh undang-undang Turki.

Mereka juga terkesima dengan cara Erdogan melayan perdana menteri Israel, Simon Peres, dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos beberapa tahun lalu. Gambar Erdogan menunding jari kepada Peres dan video peristiwa itu menjadi bahan kempen utama AKP dalam pilihan raya ini.

Yang sudah jauh dari Islam juga menerima AKP. Ketika AKP memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai tudung, parti itu juga memberikan peluang kepada wanita yang tidak bertudung untuk menjadi calon mereka. Mungkin PAS tidak perlu melakukan hal ini di Malaysia namun keterbukaan mereka memberikan makna besar kepada rakyat Turki.

Cara kempen Turki juga berjaya membawa golongan muda dan seluruh keluarga untuk bersama mereka. Lebih 80 peratus pihak yang meraikan kemenangan AKP 12 Jun lalu adalah golongan muda yang datang bersama keluarga mereka.

Ketika berkempen begitu juga. Ramai sekali golongan ini bersama berarak di jalan raya (walk about) bersama calon-calon AKP. Ketika berkumpul di sebuah taman untuk mendengar ucapan, ia juga dipenuhi anak-anak muda.

Pemimpin AKP sendiri mendekati mereka bukannya diserahkan kepada pemimpin muda sahaja. Lagipun, suasana yang dihasilkan dalam kempen juga menggamit anak muda dan keluarga untuk turut bersama dalam kempen itu.

Pendekatan kempen mereka bukan pentas ceramah semata tetapi berkumpul di taman, berjalan di kawasan perumahan dengan diiringi muzik yang sesuai dan sebagainya.

Pendekatan kempen AKP juga bercorak 'lihat dan percaya'. Melalui pendekatan ini, bahan-bahan kempen AKP juga lebih bercorak gambar yang besar-besar. Gambar-gambar besar tanpa perkataan ini di pasang di merata-rata tempat khasnya di pejabat-pejabat AKP.

Jentera kempen utama AKP adalah van yang dibaluti dengan gambar bahan kempen parti mereka. Van-van ini disewa untuk tempoh kempen ini sahaja. Pendekatan ini menyebabkan AKP boleh dilihat di merata tempat. Untuk Istanbul sahaja, AKP mempunyai lebih 300 buah van. Setiap calon anggota Parlimen mereka akan mempunyai sekurang-kurangnya dua buah van semacam ini.

Van ini pula dipantau pergerakan mereka dengan GPRS. Hasilnya, pergerakan jentera mereka ini dapat dilihat dengan jelas di ibu pejabat mereka.

Selain gambar kempen membaluti van ini, ia juga dilengkapkan dengan pembesar suara yang memasangkan lagu-lagu AKP sepanjang kempen mereka.

Dalam kempen ini, AKP banyak memaparkan kejayaan yang dibuat oleh mereka sepanjang lapan tahun pentadbiran AKP bermula 2002 lalu. Mereka bandingkan setiap perkara dari pendidikan, kesihatan, pengangkutan, ekonomi dan sebagainya. Perbandingan dibuat antara 'Nereden' (dahulu) dan 'Nereye' (kini) dalam bentuk gambar, grafik dan angka yang besar, jelas dan terang.

Kami yakin, ini perkara utama yang perlu di buat oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Untuk peringkat nasional juga boleh dibuat iaitu dengan membanding Malaysia dahulu dan kini selepas 50 tahun di perintah oleh Umno dan Barisan Nasional.

Oleh kerana media di Turki adalah bebas tanpa kongkongan parti politik yang memerintah, semua parti boleh berkempen melalui media samada tv, akhbar atau dalam bentuk banner-banner besar.

Hasilnya, tidak banyak dirasai kehangatan kempen di jalan-jalan raya Turki tetapi ia sangat hangat di media. Memandangkan Malaysia tidak menikmati kebebasan sebegini, ia agak sukar dilakukan. Namun begitu, Pakatan perlu juga mengambil pendekatan ini dengan membeli ruang-ruang iklan di media yang agak bebas untuk menyampaikan mesejnya.

Pendekatan tulisan yang banyak sudah ketinggalan. Manifesto perlu dipaparkan dalam bentuk gambaran bukan tulisan yang banyak lagi. lihat dan percaya (Seing is beliving) perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam kempen era moden dan tanpa sempadan ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: