14 Disember 2011

Cuaca baik, 1,000 mangsa banjir pulang

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Lapan pusat pemindahan di dua daerah ditutup

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini berkurangan kepada 1,735 orang dengan lapan pusat pemindahan di sini, ditutup berikutan cuaca panas sejak pagi semalam.

Keadaan cuaca baik itu juga membolehkan lebih 1,000 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sehingga lewat petang semalam.

Pusat pemindahan banjir yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Fakih Abu Samad, Dewan Orang Ramai Seri Damai, Pusat Bina Insan Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Indera Mahkota Jaya, SK Bukit Rangin, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Dewan Orang Ramai dan Tabika di Cenderawasih.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, berkata sehingga jam 6 petang, jumlah mangsa banjir di dua daerah iaitu Kuantan dan Rompin berkurangan, dengan 1,735 orang masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan berbanding 2,773 mangsa pada tengahari semalam.

Mangsa banjir di Kuantan kini berkurangan kepada 1,255 mangsa membabitkan 287 keluarga selepas lapan pusat pemindahan ditutup dan hanya lima saja masih dibuka.

Sehingga kini, mangsa banjir paling ramai ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar iaitu sejumlah 1,022 mangsa daripada 234 keluarga dari Kampung Batu 3 dan 4 dekat Kampung Belukar, di sini dan diikuti SMK Gudang Rasau membabitkan sejumlah 158 mangsa dari 38 keluarga dari Kampung Gudang Rasau.

Pusat penempatan banjir Balai Raya Kampung Pahang pula menempatkan 45 mangsa daripada sembilan keluarga, diikuti 26 mangsa membabitkan lima keluarga di Balai Raya Kampung Soi manakala Dewan Orang Ramai Panching seramai empat mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, sebahagian rumah papan didiami lima beranak, termasuk seorang warga tua berusia 70 tahun runtuh akibat runtuhan tanah di Kampung Sungai Charu, Jalan Sungai Lembing, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, sebahagian ruang tamu, bilik utama dan bilik air rumah terbabit menggelungsur kira-kira 10 meter akibat runtuhan tanah.

Menceritakan semula kejadian berkenaan berlaku, Taufik Mohd Shafie, 11, berkata beliau menyedari runtuhan ketika mahu ke tandas sebelum memaklumkan kepada neneknya, Wan Mah Wan Ali, 70, yang kebetulan tiba di rumah selepas menyelesaikan urusan di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, beliau terdengar bunyi bising dan menyangkakan ada monyet bergayut di tepi rumah sebelum menyedari hakisan tanah menyebabkan ruang tamu rumah runtuh perlahan-lahan.

berita harian/-

Coklat KitKat gergasi untuk pelajar

18 Muharram 1433H. [MOD] -

BEBERAPA pelajar Universiti Tokyo berdiri dekat dua batang coklat KitKat gergasi di Tokyo semalam.

TOKYO - Para pelajar Universiti Tokyo semalam mempamerkan dua batang coklat KitKat yang memiliki berat 80 kilogram (kg).

Coklat itu disediakan untuk menggalakkan pelajar-pelajar melakukan persediaan untuk peperiksaan kemasukan ke universiti.

KitKat dikenali sebagai satu makanan yang bertuah untuk peperiksaan kemasukan universiti di Jepun kerana sebutannya kitto katsu dalam bahasa Jepun bermakna saya pasti menang. - AFP

Fitnah II: Saya wajar dan wajib dibebaskan- Anwar

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 14 Dis: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau wajib dibebaskan dari tuduhan Fitnah II yang dihadapinya.

Menurut Anwar, kegagalan pendakwa raya mengemukakan bukti kukuh meskipun perbicaraan sudah memasuki peringkat penggulungan hujah, mewajarkan pembebasan beliau tanpa sebarang syarat.

“Bagi saya tidak ada fakta dan keterangan kukuh untuk mereka menghukum saya.

“Saya wajar dan wajib dibebaskan,” kata Anwar selepas mahkamah ditangguhkan petang semalam.

Anwar dalam pada itu mempertahankan tindakannya memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh sewaktu diperintahkan membela diri.

“Saya memilih untuk bercakap dari kandang tertuduh kerana itulah satu-satunya peluang saya untuk mengkritik sistem,” kata Anwar merujuk kepada sistem keadilan negara yang dilihat berat sebelah sepanjang perbicaraan Fitnah II berlangsung.

Bercakap lanjut, Anwar membidas pendakwa raya yang keupayaan saksi pakar pembelaan.

“Bagi saya kalau nak meremehkan keupayaan mereka (saksi pembelaan) tidak sukar.

“Itu sahaja yang mereka (pendakwa raya) lakukan,” kata Anwar.

Petang semalam pendakwa raya selesai membentangkan hujah penggulungan mereka selepas peguam bela Anwar selesai berbuat demikian.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Khamis, 15 Disember jam 930 pagi sebagai tarikh untuk peguam bela membentangkan bidasan kepada hujah penggulungan pendakwa raya.

Keadilan Daily

Laman lawak antarabangsa perlekeh Rosmah

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu berbuat sesuatu untuk menghentikan dirinya dari terus dipermainkan akibat dari karenah isteri beliau.

Terbaru, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor telah dipermainkan dalam laman lawak antarabangsa terkenal, 9gag.com dengan tajuk "Prime Minister's wife".

"Rosmah telah didakwa membelanjakan US$203,150 wang awam untuk membebeli bag tangan.

Tetapi menjelaskan telah menyimpan wang sejak berumur 5 tahun."

(Spent US$203,150 public funds on handbag, Claim to saved money since 5 years old).

Yang menariknya, selepas ia dinaikkan 21 jam, sudah 112 komen diberikan manakala 2,275 pelayar telah menandakan 'like' kepada gambar yang memalukan ini.

Kebanyakan komen pula bukannya datang dari Malaysia tetapi luar negara.

Komen pertama datangnya dari Chua Chem Fei, Nanyang Technological University yang berharap 'seluruh dunia tahu betapa teruknya 'this fat lady'.

Selain itu, ramai juga komen-komen yang dibuat oleh pelayar laman ini dari Malaysia.

"$9 a day since 5 years old. That's kinda like RM30 per day..i gues she really liked the bag..lol." tulis Faiz Mohamad Nor dari UTP.

Pendek kata, komen-komen yang diberikan dalam laman sangat memalukan Najib dan negara apatah lagi ia dibuat di peringkat antarabangsa dan oleh laman web antarabangsa.

Harakah Daily

Monorel Fasa 1 Rosak Tetapi Mahu Teruskan Fasa 2

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Sikap yang tidak bertanggungjawab Ketua Menteri Melaka yang mahu melaksanakan projek Monorel Fasa 2 tidak sedikit pun mengendahkan dengan apa yang berlaku pada monorel Fasa 1 yang telah mengalami kerosakan hampir RM16juta. Fasa 2 pembinaan Monorel ini dijangka siap pada Februari 2013 yang menelan kos RM21juta.

Alasan yang diberikan oleh Ketua Menteri adalah untuk meningkatkan bilangan pengunjung melihat keindahan Sungai Melaka. Apa yang kita tahu, monorel Fasa 1 sering kali rosak dan bilakah masa pengunjung akan menaiki Monorel tersebut.

Boleh dikatakan sebulan ada sahaja kerosakan yang dihadapi oleh Monorel. Sampai bila kerajaan negeri harus menipu rakyat atas nama pembangunan yang tidak menguntungkan rakyat sendiri sebaliknya pelancong pun tidak menaiki Monorel yang sering rosak itu.

Menurut kenyataan Ketua Menteri dalam sebuah akhbar, projek sejauh 1.3 kilometer itu adalah sambungan kepada projek monorel fasa 1 yang dilancarkan pada 20 Oktober tahun lepas yang menawarkan kepada pelancong untuk menyusuri dan melihat pemandangan Melaka dari monorel tersebut. Projek yang akan dilaksanakan ini menjadikan keseluruhan panjang trek monorel sejauh 2.9 kilometer dengan membuat satu pusingan lengkap.

Perjalanan monorel yang bermula dari Taman Rempah itu akan melalui Jalan Bunga Raya, Jalan Tun Ali dan Jalan Tun Mutahir sebelum kembali semula ke Taman Rempah. Projek yang mendapat peruntukan sebanyak RM13.2 juta daripada Kementerian Pelancongan Malaysia itu akan dibangunkan oleh Agibs Engineering & Construction Sdn. Bhd.

Blog Yusuf Wahab/-

PAS bimbang kebanjiran warga Afrika

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 14 Dis: PAS melahirkan rasa kebimbangan dengan ‘kebanjiran’ pelajar warga Afrika yang mutakhir ini mengundang pelbagai masalah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik berkata mutakhir ini terlalu banyak kes jenayah yang membabitkan para pelajar daripada negara-negara Afrika, terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Katanya, kes-kes tersebut tidak boleh dilihat sebagai kes biasa kerana turut membabitkan siri-siri jenayah yang berlaku di kalangan para pelajar dan belia di negara ini.

“Walau pun banyak operasi telah dilakukan tetapi jumlah kes yang disiarkan tidak pernah berkurangan malahan makin meningkat.

“Iaitu, sebanyak 89 warga Afrika termasuk lima wanita ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan penglibatan dalam sindiket penipuan Antarabangsa,” ujarnya melalui satu kenyataan akhbar kepada Harakah, hari ini.

Justeru itu, kata Dato’ Abu Bakar kerajaan perlu mengkaji punca dan sebab-sebab berlaku peningkatan jenayah tersebut.

Beliau mempersoal, apakah faktor-faktor di sebalik kelemahan yang ada sehingga kes jenayah di kalangan pelajar warga Afrika begitu membimbingkan.

Malah, katanya syarat-syarat kemasukan pelajar terbabit ke Pusat-pusat Pengajian Tinggi di negara ini wajar diperhalusi dengan baik oleh pihak berkuasa.

“Perkara paling utama ialah mengenai syarat-syarat penerimaan untuk kemasukan ke Pusat-pusat Pengajian Tinggi dan kesan daripada tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Harakah Daily

‘Pengundi hantu penentu kemenangan PRU13’

18 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Dalam nada bersahaja, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengundi hantu menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.


Beliau berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku sekiranya sistem pilihan raya masih tidak bersih, telus dan adil.

Selain pengundi hantu, katanya, undi rakyat Sabah dan Sarawak adalah kunci sebenar jika mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat (PR) berpeluang cerah untuk menjadi Kerajaan Pusat jika memperolehi satu per tiga kerusi Parlimen di dua negeri itu yang berjumlah 56 kerusi keseluruhan,” katanya pada Wacana Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, mengikut kiraan bilangan kerusi PR di Semenanjung dan keyakinan berjaya memperoleh beberapa lagi kerusi Parlimen, me­dan sebenar adalah di negeri berkenaan yang sering dianggap sebagai ‘deposit tetap BN’.

“Memang diakui undi dari Sabah dan Sarawak amat penting sekali bagi PR, memang untuk mendapatkan satu pertiga sukar tetapi kita boleh cuba. Ini hakikatnya. Oleh itu, saya berharap pe­ngundi di dua negeri berkenaan cukup berani dan bersedia menghadapi gelombang perubahan,” katanya.

Guan Eng berkata, selain dua negeri itu, PR turut menye­dari undi golo­ngan belia begitu penting sehingga­kan kesemua pihak bertanding sanggup melakukan apa sahaja bagi menarik golongan ini.

“PRU13 sebenarnya adalah masa depan golongan belia. Mereka yang menentukan sama ada mahu hidup di negara yang bebas, bersih dan adil atau sebaliknya,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa rak­yat negara ini sudah cukup matang bagi memilih kerajaan yang terbaik buat mereka dan menyaran segala sekatan terutama terhadap media dihentikan.

“Apa yang paling penting bagi orang muda adalah aspek kebebasan, bukannya membuatkan mereka takut seperti Akta Universiti Kolej Universiti (Auku). Ini memainkan peranan pada PRU13.

“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri menyediakan sudut pidato dan tiap-tiap minggu ada demonstrasi, ini hak mereka dan kami hormatinya,” katanya.

Pada PRU lalu, PR memperoleh 83 kerusi manakala BN, 139 kerusi daripada kese­luruhan 222 kerusi Parlimen.

Sinar Harian

PRU-13: Menteri akui BN lebih tertekan

18 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 14 Dis: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa BN lebih tertekan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun kedudukan BN dan Pakatan Rakyat dilihat seimbang pada waktu ini, namun beberapa isu semasa yang membelit Umno BN ketika ini menjadikan parti pemerintah itu dalam tekanan.

"Saya akui kedudukan sekarang seimbang antara kedua-dua parti politik yang bertanding.

"Walau bagaimanapun terdapat tekanan kepada Barisan Nasional dengan isu-isu semasa, dan sebab itulah saya datang untuk mendapatkan 'feedback' bukannya 'feedlot'," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian bertajuk PRU13 : Undi Siapa Jadi Penentu di sini semalam.

Pengundi realiti baru

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majilis Terttinggi Umno mendakwa rakyat khususnya golongan muda sebenarnya sudah menghukum kerajaan apabila menolak media arus perdana.

"Seperti saya katakan tadi rakyat sudah mula menghukum kerajaan melalui tekanan yang diberikan kepada media arus perdana dan kita lihat rakyat sekarang sebenarnya sudah mula muak dengan politik sempit," katanya.

Baginya, undi penentu pada PRU-13 nanti adalah golongan 'pengundi realiti baru' yang sudah tidak mempercayai lagi media arus perdana tersebut.

"Pengundi realiti baru adalah mereka yang mendapat maklumat serta menilai setiap apa jua maklumat tersebut.

"Mereka juga menolak setiap politik yang dilemparkan di dalam media-media arus perdana. Sebab itulah media tersebut telah dihukum sekarang," sambungnya.

Turut serta sebagai panel pada wacana itu adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sain Sosial Universiti Malaya(UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Kita Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Harakah Daily

PM wajar bertanding di kerusi pelbagai kaum

18 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digesa untuk bertanding di kerusi majoriti pelbagai kaum.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anuar berkata, selaraskan dengan slogan 1Malaysia yang dibawa oleh Najib, Nurul berharap agar Najib bertanding di kawasan selain Parlimen Pekan, Pahang.

“Saya ingin mencadangkan agar Najib bertanding di kerusi majmuk. Pada pengamatan saya, hampir 93 peratus penduduk Pekan adalah kaum Melayu."

"Selaras dengan kata-kata Najib, saya mencadangkan agar Najib bertanding di kawasan pelbagai masyarakat majmuk seperti di Lembah Pantai,” katanya ketika berucap di pusingan pergulungan Wacana Sinar Harian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya akan datang dilakukan dengan adil dan bersih,serta dengan tangan yang terbuka, beliau sanggup bertanding dengan Presiden Umno itu.

Sementara itu, Nurul turut mendesak agar kerajaan melaksanakan reformasi dalam pilihan raya akan datang.

“Saya turut menggesa agar kerajaan melaksanakan reformasi untuk pilihan raya. Saya pohon dan harap kerajaan dapat realisasikan harapan rakyat."

"Saya akan anggap mereka sebagai lanun politik jika mengadakan pilihan raya tanpa melaksanakan janji seperti disebut dalam dokumen yang dipersembahkan dalam parlimen tempoh hari,” katanya.

Sinar Harian

Polis temui pistol, 203 butir peluru

18 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Simpang Renggam, Kluang, susulan daripada penemuan 203 butir peluru .38 special, pada 11 Disember lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, turut ditahan bersama lelaki terbabit adalah pasangannya yang juga seorang wanita berusia 29 tahun.

Menurutnya, hasil daripada siasatan lanjut ke atas pasangan terbabit dan kenderaan dinaiki, pihaknya menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver .38 berserta tujuh butir peluru dan satu kelongsong peluru.

“Bertindak atas maklumat, polis menjumpai dua kotak mengandungi beberapa butir peluru di dalam sebuah bilik di Jalan Belibis, Taman Perling, di sini.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, polis menemui 203 butir peluru .38 special. Susulan daripada maklumat berkenaan, polis menahan seorang lelaki dan wanita di R&R Simpang Renggam.

“Polis menemui sepucuk pistol berserta peluru dan kelongsong peluru. Turut dirampas enam paket dadah seberat tiga gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pasangan terbabit juga didapati positif dadah jenis Syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, katanya, atas kesalahan memiliki pistol terbabit, suspek disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

“Hasil daripada pemeriksaan, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan akan ditahan reman sehingga 14 Disember ini (hari ini),” katanya.

Sinar Harian

Iran enggan serah pesawat kawalan jauh

18 Muharram 1433H. [MOD] -

HASSAN Nasrallah bertemu penyokongnya di Beirut, 6 Disember lalu.
Tehran, pergerakan Hizbullah dedah perisik Amerika, Israel

TEHRAN: Iran menolak permintaan Presiden Barack Obama supaya menyerahkan pesawat pengintip kawalan jauh Amerika Syarikat yang dirampas kerana ia kini hak miliknya.

Amerika juga mendapat tamparan hebat dari musuhnya selepas Tehran dan Hizbullah mendedahkan sekumpulan orang termasuk diplomat Washington yang melakukan perisikan di Iran dan Lubnan.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi memberitahu agensi berita ISNA dan Mehr: “Pesawat milik Amerika itu kini milik Iran dan kami akan menentukan apa perlu diambil berhubung perkara itu.

“Amerika sepatutnya meminta maaf kerana menceroboh ruang udara Iran tetapi mereka tidak berbuat demikian sebaliknya tanpa malu meminta pesawat itu dipulangkan,” katanya.

Ketika mengakui Iran memiliki pesawat Amerika dipanggil RQ-170, Obama turut berkata: “Kami meminta ia dipulangkan. Kami akan lihat bagaimana reaksi Iran.”

Tehran minggu lalu menyiarkan menerusi televisyen apa yang dikatakan pesawat pengintip berkenaan. Seorang ahli perundangan berkata, republik Islam itu berjaya membuka perisian pesawat berkenaan dan akan menelitinya.

Sementara itu, Iran mendakwa 15 orang atas tuduhan mengintip untuk Amerika dan Israel, kata ketua pendakwa raya Tehran, lapor agensi berita Fars.

“Satu pendakwaan dikeluarkan pejabat pendakwa raya ke atas 15 orang terbabit. Mereka mengintip untuk Amerika dan Israel,” kata Jafari Dolatabi yang tidak mendedahkan identiti suspek atau memberi sebarang perincian bila mereka ditahan dan sebab-sebabnya.

Pergerakan Hizbullah mendedahkan identiti pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Lubnan.

Hizbullah mendedahkan nama itu secara umum dalam satu siaran malam Jumaat lalu di stesen televisyen Lubnan, al-Manar. Menggunakan video animasi, stesen itu melakonkan semula pertemuan antara pegawai CIA dan pemberi maklumat berbayar di Starbucks dan Pizza Hut.

Pendedahan dibuat selepas Hizbullah membongkar rangkaian agensi perisikan di Lubnan selepas mengesan seorang ejen talam dua muka anti CIA, kata bekas perisik Amerika yang enggan dikenali.

Jun lalu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah mendakwa kumpulannya sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua perisik CIA. – AP/AFP


Banjir kilat di Jalan Tun Razak

18 Muharram 1433H. [MOD] -

RIBUAN kenderaan terperangkap dalam kesesakan teruk setelah Jalan Tun Razak berhadapan Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur ditenggelami banjir lilat.

KUALA LUMPUR – Ribuan kenderaan terperangkap dalam kesesakan teruk manakala berpuluh yang lain ‘tersangkut’ dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara di sini semalam.

Kejadian yang berlaku pada pukul 4.40 petang itu telah menyebabkan aliran trafik terhenti sepenuhnya di Bulatan Pahang menuju ke semua arah.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, julat hujan kira-kira 5 milimiter yang berlaku petang semalam menjadi punca utama berlakunya banjir kilat itu.

Katanya, kuantiti air hujan yang banyak menyebabkan sistem saliran air di kawasan berkenaan tidak mampu menampung jumlah air tersebut sehingga ia melimpah dan berlaku banjir kilat.

“Berikutan banjir kilat itu, orang ramai dari kedua-dua arah yang tersangkut akibat banjir itu diberi laluan alternatif iaitu Jalan Ipoh bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Tun Razak.

“Polis trafik dan petugas DBKL turut bekerjasama bagi mengawal lalu lintas yang sesak akibat banjir berkenaan,” katanya.

Kosmo

Kucing terkaya di dunia

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Si hitam Tommaso, kucing jalanan berusia empat tahun kini menjadi kucing terkaya di dunia. - AGENSI

Seekor kucing terbiar yang diselamatkan di sini mewarisi kekayaan berjumlah AS$13 juta (RM49 juta) daripada tuannya, seorang taikun hartanah Itali yang berstatus janda.

Maria Assunta meninggalkan kekayaan tersebut kepada kucing kesayangannya, Tommaso, selepas dia meninggal dua minggu lalu pada usia 94 tahun.

Kekayaan tersebut termasuk wang tunai dan harta di Rom, Milan serta tanah di Calabria.

Sejak kesihatannya merosot dua tahun lalu, Assunta yang tidak memiliki anak, mula mencari jalan agar Tommaso dijaga dengan sempurna selepas ketiadaannya.

Awalnya, Assunta mengarahkan peguamnya mengenal pasti pertubuhan kebajikan haiwan untuk mewariskan estet, sekali gus menjaga Tommaso.

Setelah gagal menemui pertubuhan yang sesuai, Assunta membuat keputusan meninggalkan semua harta tersebut kepada Tommaso melalui jururawatnya, Stefania, yang merawatnya sehingga dia meninggal dunia.

Seorang peguam Assunta, Anna Orecchioni percaya Stefania adalah individu terbaik untuk menunaikan segala hajat wanita tersebut kerana dia menyayangi haiwan dan menjaga Assunta sehingga ke akhir hayatnya.

"Wanita itu mengalami kesunyian sepanjang hayatnya. Dia menjaga kucing melebihi anak sendiri," kata Stefania kepada Telegraph.

Peguam Assunta berkata, mereka menerima banyak e-mel daripada individu yang ingin memelihara Tommaso.

Kekayaan Tommaso menjadikan ia berada di tempat ketiga senarai haiwan peliharaan terkaya di belakang anjing Sheperd, Gunther IV, yang memiliki harta berjumlah AS$372 juta (RM1.016 bilion) dan seekor cimpanzi, Kalu yang memiliki kekayaan berjumlah AS$80 juta (RM240 juta). - Agensi

Kanak-kanak hidup selepas dilanggar kereta

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Reuters
SEJUMLAH orang bertindak
mengangkat sebuah kereta yang
melanggar seorang kanak-kanak
perempuan di Wenzou, China dalam usaha untuk menyelamatkannya.

WENZOU, China - Sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan semalam di China menunjukkan usaha menyelamat seorang kanak-kanak perempuan yang dilanggar sebuah kereta.

Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak berusia lima tahun itu duduk di tengah sebatang jalan raya di sini.

Ibu kanak-kanak itu cuba untuk memaksanya berjalan ke sebuah tadika tetapi anaknya itu enggan dan duduk di tengah-tengah jalan raya.

Justeru, ibunya berjalan dengan meninggalkan kanak-kanak berkenaan.

Dia menganggap kanak-kanak itu akan mengikutinya.

Namun, sebuah kereta berwarna hitam membelok dan bergerak ke arah kanak-kanak itu.

Kereta tersebut kemudian melanggar kanak-kanak berkenaan.

Ibu kanak-kanak itu dan pemandu kereta berkenaan serta orang ramai bergegas untuk menyelamatkan si mangsa.

Seramai 16 orang membantu untuk mengangkat kereta berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang terperangkap di bawah kenderaan itu.

Kanak-kanak itu dihantar ke sebuah hospital dan dilaporkan hanya mengalami cedera ringan. - Agensi

5 maut, 122 cedera serangan di kawasan beli-belah di Belgium

18 Muharram 1433H. [MOD] -

LIEGE: Seorang lelaki bersenjata bom tangan dan senapang bertindak menyerang pelancong yang membeli-belah di tengah pusat Bandaraya Liege, semalam menyebabkan lima maut, termasuk penyerang terbabit selain 122 lagi cedera.

Setakat ini belum dapat disahkan motif serangan yang berlaku di kawasan yang sesak pengunjung di Dataran Place Saint-Lambert, di tengah kawasan membeli-belah di timur Belgium itu.

Tindakan penyerang terbabit menyebabkan ratusan pengunjung bersesak-sesak melarikan diri ke arah bandar lama yang bersebelahan.

Pegawai Belgium memberikan identiti penyerang sebagai Nordine Amrani, 33, yang turut terbunuh dalam kejadian itu.

Antara yang maut ialah dua remaja sekolah berusia 15 dan 17 tahun serta seorang wanita tua berusia 75 tahun.

Seorang bayi berusia 18 bulan pula meninggal dunia, lewat petang semalam di hospital. - AP