04 Februari 2011

PAS cabar Najib kutuk Hosni Mubarak

1 Rabiul Awal 1432H.
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Feb: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian terhadap Presiden Mesir Hosni Mubarak dan kerajaannya yang kini sedang berdepan penolakan rakyat di negara teluk itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini Najib dilihat mengambil sikap berkecuali biarpun keangkuhan Hosni Mubarak berundur telah membangkitkan penentangan rakyat negara itu sehingga negara lain termasuk Malaysia terpaksa bersusah membawa pulang rakyat masing-masing.

"Kita menuntut Najib menyatakan sikap yang jelas sama ada mahu mempertahankan Hosni Mubarak dan kerajaannya atau sebaliknya.

"Kita kecewa sehingga kini Najib tidak berani memberi tekanan kepada Hosni Mubarak," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, Perdana Menteri sepatutnya malu apabila Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2009, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi dengan begitu tegas menggesa Hosni Mubarak berundur dengan segera.

"Orang yang kita bagi anugerah pun boleh buat macam tu sedangkan dia tidak ada apa-apa kepentingan politik pun, malu la kita," ujarnya lagi.

Sebelum ini, al-Qaradawi yang juga Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, turut meminta Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau pergi secara paksaan.

Katanya, presiden Mesir itu perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali.

"Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak," katanya.

"Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, PAS dan seluruh rakyat negara ini ujar Mahfuz sedang menanti pendirian Najib dalam isu ini.

"Rakyat sedang menunggu Najib untuk mengutuk Mubarak yang enggan tunduk kepada tuntutan rakyat sendiri," katanya

Harakahdaily/-

MAS Dibenarkan Berlepas/Mendarat Di Lapangan Terbang Mesir dan Arab Saudi

1 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Malaysia Airlines (MAS) mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi untuk berlepas dan mendarat di lapangan terbang kedua-dua negara itu sehingga Isnin depan untuk misi memindahkan pelajar dan warga Malaysia dari Mesir yang sedang bergolak.

"Kebenaran ini penting bagi melicinkan proses pemindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Kaherah, Mesir ke Jeddah," kata Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang.

Chef de Mission MAS itu berkata hubungan akrab MAS dengan pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi dan Mesir adalah antara faktor penyumbang kepada kelancaran proses membawa keluar warga Malaysia di Kaherah.

"MAS memang mempunyai perjalanan ke Jeddah dan kita mempunyai sistem di situ.

Bagaimanapun di Kaherah, kita menjalin hubungan baik dengan EgyptAir yang turut membantu kita memperoleh kebenaran untuk mendarat dan berlepas.

"Sememangnya MAS boleh melakukan penerbangan ke mana sahaja tetapi apa yang penting ialah kebenaran untuk mendarat dan berlepas perlu ada," katanya kepada wartawan Malaysia yang meliputi misi tersebut di sini, Jumaat.

Mengakui misi ini agak mencabar, Mohd Nawawi bagaimanapun berkata MAS kerap berhubung dengan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini di Kaherah.

Kumpulan pertama 365 rakyat Malaysia termasuk seorang bayi berjaya dibawa keluar dari Kaherah dan tiba di Jeddah dengan pesawat Boeing 747 milik MAS.

Mohd Nawawi berkata penerbangan MAS membawa kumpulan pelajar dan warga Malaysia untuk hari ini bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) manakala penerbangan kedua pula bermula pada pukul 4 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Dalam pada itu, beliau berkata MAS dan pihak berkuasa Malaysia sedang berbincang tentang urusan membawa pelajar dan warga Malaysia pulang terus ke tanah air dari Jeddah.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada keputusan dibuat mengenainya.

"Apa yang penting sekarang, kita akan sedaya upaya membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah," katanya.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di Mesir mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah negara itu selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura. -BERNAMA

Kumpulan Pertama 356 Pelajar Malaysia Di Mesir Selamat Tiba Di Jeddah

Sebahagian pelajar Malaysia kumpulan pertama seramai 356 yang di bawa dari Mesir dengan pesawat Malaysia Arilines (MAS) dan AirAsia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah pada Jumaat. Foto BERNAMA

1 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di sini.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 orang pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang berkata MAS menggunakan pesawat itu bagi memaksimumkan jumlah pelajar dan rakyat Malaysia untuk dibawa keluar dari Kaherah ke Jeddah.

"Pesawat ini mampu ulang alik sebanyak tiga kali dalam sehari. Pun begitu, hari pertama kita tidaklah terlalu sukar (untuk mendarat di Kaherah) dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, suasana ceria jelas terpancar di wajah pelajar-pelajar yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah.

Ada antara mereka yang menangis, tertawa dan ada juga yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan keadaan terkini mereka.

Haslisah Khalil, 19, pelajar ijazah jurusan perubatan di Universiti Ainshams berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan kerajaan Malaysia yang mengambil inisiatif membawa mereka pulang.

"Gembiralah...sebab keadaan amat menakutkan saya walaupun telah diberikan perintah berkurung oleh pengurusan Rumah Negeri Selangor. Kami hanya boleh keluar selepas pukul 1 tengah hari. Itu pun dengan secepat mungkin.

"Perintah berkurung yang dikenakan ke atas kami bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Waktu itu kami manfaatkan membeli barangan asas seperti roti dan gula. Waktu itu juga, kami terpaksa berebut-rebut dengan wanita Arab," katanya yang kini berada di tahun satu jurusan tersebut.

Mohd Shauqi Ismail, 26, yang berasal dari Melaka berkata tindakan kerajaan membantu warganya dalam kesusahan termasuk di luar negara membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dan bertanggungjawab.

"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini. Sama ada bantuan tiba menerusi kapal terbang ke, kapal ke, apa yang penting ialah keselamatan kita. Jadi kita tak kira apa pun yang datang selamatkan kita," katanya.

Pelajar tahun satu jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar itu turut ditemani isteri yang juga menuntut di univerisiti itu dan anaknya berusia dua tahun.

Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di sini.

Pemindahan pelajar selain mengunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - BERNAMA

Ribuan berdemonstrasi kecam Mubarak, 8 ditangkap

1 Rabiul Awal 1432H.

Lapan orang dikatakan ditangkap selepas ribuan orang berkumpul hari ini di Kuala Lumpur, memprotes tindakan ganas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi pro-demokrasi di Mesir.

Wajuk-wakil kumpulan tersebut meminta peguam datang ke balai polis Dang Wangi, untuk membantu pembebasan mereka.
Laporan tidak jelas, tetapi Malaysiakini difahamkan Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Shakireen Masjid di taman KLCC dan masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, para jemaah berarak membawa kain rentang yang mengecam Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Dengan memanggilnya "Yasqut Mubarak" (Mubarak turun!) Dan "Yahya al-Sha`ab! "(hidup rakyat!), kedua-dua kumpulan tersebut berarak menuju ke Jalan Tun Razak.

Mereka menuju ke arah Kedutaan Amerika beberapa ratus meter dari masjid Tabung Haji di mana mereka berusaha untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai kedutaan tersebut.

Menurut satu laporan, ketua polis Dang Wangi, ACP Mohd Zulkarnian Abdul Rahman berkata, kelapan-lapan mereka ditahan selepas gagal bersurai apabila diarahkan berbuat demikian.

Ada yang ditahan di dalam kompleks Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tiga orang ditahan sewaktu mereka berarak dari Masjid Syakireen menuju ke kedutaan Amerika

Antara mereka yang berarak ke kedutaan Amerika ialah exco Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor, yang menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika yang menyokong kerajaan Mubarak.

Pemimpin lainnya termasuk ahli parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub; ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu dan ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Malaysiakini/-

Krisis Mesir : AS campurtangan , bincang pelan pengunduran Mubarak

1 Rabiul Awal 1432H.

WASHINGTON: Amerika Syarikat nampaknya tidak capat berselindung dengan campur tangan dalam krisis politik di Mesir. Menurut suber dari AFT, pegawai-pegawai Amerika sedang berbicang dengan pegawai Mesir satu rancangan untuk Presiden Hosni Mubarak berundur serta merta dan melepaskan jawatan kepada kerajaan peralihan yang diterajui Naib Presiden, Omar Suleiman, lapor The New York Times.

Solat hajat di Masjid Negeri malam ini !


1 Rabiul Awal 1432H. MOD. Harakahdaily

SHAH ALAM, 4 Feb: Sekretariat isu pelajar Mesir kerajaan negeri Selangor akan mengadakan solat hajat malam ini di Masjid Negeri, Shah Alam.

Di samping itu, satu dialog juga akan diadakan bagi membincangkan isu ini sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

Majlis ini bertujuan untuk memberikan penjelasan perkembangan yang berlaku di negara berkenaan dan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu pelajar negeri ini di sana.

Sehubungan itu, ibu bapa dan saudara mara pelajar Selangor di sana dijemput untuk menyertai majlis ini.

Semalam dua pegawai Pusat Zakat Selangor telah dihantar ke sana dengan menaiki kapal TUDM.

Pakatan: Najib perlu respons isu ‘Tanah Melayu’ Mahathir

1 Rabiul Awal 1432H.MOD
KUALA LUMPUR, 4 Feb — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Datuk Seri Najib Razak agar respons kepada kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini.

Malah mereka juga mahu perdana menteri menyatakan pendiriannnya mengenai isu itu sama ada beliau turut menerima kenyataan Dr Mahathir atau berpandangan sebaliknya.

Wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang yang dihubungi The Malaysian Insider berpendirian tegas kenyataan Dr Mahathir bercanggah dengan konsep 1 Malaysia sama sekali.

Pada satu wacana anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Selasa lalu, Dr Mahathir (gambar) berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Selain itu, Dr Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu Dr Mahathir menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.

Oleh itu tegas Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS Datuk Mahfuz Omar, Najib tidak boleh berdiam diri dalam hal ini.

“Najib tidak boleh kekal berdiam diri dalam perkara, beliau perlu memberi respons kepada kenyataan Dr Mahathir.

“Penting untuk melihat apa pendirian yang hendak diambil oleh Najib, dan sama ada beliau bimbang dengan kesan sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir itu,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Naib presiden PAS itu menarik perhatian, pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan bekas perdana menteri itu berakhir dengan kerjaya politik singkat memandangkan Dr Mahathir tidak boleh menerima kritikan.

Merujuk kepada serangan Dr Mahathir terhadap penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahfuz mendakwa ahli politik veteran itu secara konsisten memperlihatkan bahawa beliau menentang dasar-dasar dibawa Najib seperti konsep 1 Malaysia.

Najib menggantikan Abdullah pada April 2009.

“Kita dengan jelas boleh melihat bahawa Dr Mahathir tidak gembira dengan Najib. Najib di sebelah lain telah gagal untuk memahamkan rakyat tentang konsep 1 Malaysia.

“Jika Dr Mahathir sendiri tidak boleh menerima atau memahaminya, bagaimana rakyat jelata boleh memahami perkara itu?” kata Mahfuz.

Oleh itu kata beliau, PR tidak mengiktiraf atau menyokong sebarang pandangan yang tidak menghormati hak kaum-kaum lain dan yang tidak menyumbang kepada proses pembinaan negara.

Setiausaha publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula melabelkan Dr Mahathir sebagai ‘supremacist’ dengan berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong pandangan bekas presiden Umno itu.

“Kemungkinan Najib dan Mahathir harus menunjukkan kepada rakyat Malaysia di mana adanya konsep ‘supremacist’ dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh nenek moyang kita.

“Najib perlu menjelaskan bagaimana konsep 1 Malaysia beliau secocok dengan pandangan dibawa Dr Mahathir,” kata ahli Parlimen ini.

Dalam pada itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Dr Mahathir memperlihatkan “percanggahan” memandangkan beliau bukan sahaja bertindak bertentangan dengan konsep 1 Malaysia, tetapi juga gagasan “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan ketika era kepimpinannya.

“Apa yang beliau katakan itu penuh dengan percanggahan... ia bercanggah dengan gagasan Bangsa Malaysia (dibawa Dr Mahathir sendiri) dan juga 1 Malaysia,” kata ahli Parlimen veteran ini.

Kata beliau, Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan rakyat yang komited kepada negara, kesemua negara bekerja menerusi platform yang sama.

Malah pada wacana itu, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.

“Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

“Bagi orang Cina dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu,” kata beliau.(MInsider)

Pelantikan Rektor KISDAR : Kerajaan Negeri hilang kredibiliti

1 Rabiul Awal 1432N.
Anak Watan Perak

Kerajaan Negeri Perak dilihat telah semakin hilang kredibiliti apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohamed Yusuf Hussain sebagai Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. Penyambung kontrak tersebut merupakan kali ketiga selepas kontrak tersebut tamat pada bulan Oktober 2010.

Kali pertama kontrak itu disambung adalah selama 2 bulan iaitu sehingga 31 Disember 2010, selepas itu kontrak tersebut disambung lagi selama 1 bulan iaitu sehingga 31 Januari 2011. Maklumat terbaru menyebut bahawa kontrak tersebut disambung lagi bermula 1 Februari 2011 sehingga tempoh 6 bulan ke 1 tahun.

Kerajaan Negeri Perak dikatakan masih gagal untuk mencari Rektor baru yang dapat diterima oleh semua pihak yang tertentu. Perbalahan dan perbezaan pandangan diantara pihak-pihak tertentu di dalam Kerajaan Negeri dalam memilih Rektor baru menyebabkan khidmat Rektor lama diteruskan.

Beberapa orang calon Rektor telah dikemukakan tetapi Kerajaan Negeri masih gagal dan tiada kata sepakat untuk memilih seorang Rektor yang benar-benar layak dan mampu untuk menerajui Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan tersebut menggambarkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah hilang kredibiliti dan keupayaan untuk mentadbir negeri.

Kerajaan Negeri Perak dilihat seolah-olah hilang pedoman apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain yang mengalami masalah kesihatan yang serius. Masalah kesihatan Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain difahamkan bermula sejak tahun 2008 dan amat ketara sejak akhir-akhir ini.

Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain telah tidak hadir ke Kolej selama 3 bulan iaitu sejak bulam November 2010 kerana menjalani rawatan di beberapa pusat rawatan termasuk di IJN. Menurut sumber-sumber tertentu keadaan fizikal Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain semakin kurus, tidak bermaya, sentiasa kelihatan letih, berjalan perlu dipimpin dan mengalami masalah jantung yang serius menggambarkan bahawa beliau tidak berupaya lagi untuk menjalankan tugas sebagai Rektor dengan baik dan berkesan.

Bagaimana mungkin seorang yang sedang sakit dan lemah mampu untuk berfikir secara proaktif, merancang dan menjalankan tugas dengan baik. Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai kepincangan di dalam pengurusan dan pentadbiran Kolej. Situasi ini juga dikhuatiri akan memberi kesan dan melambatkan usaha yang sedang giat dilaksanakan untuk menaikkan taraf kolej ke Kolej Universiti.

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil sikap memandang ringan terhadap isu Kolej Islam Darul Ridzuan. Sekiranya Kerajaan Negeri benar-benar serius ingin melihat Kolej Islam Darul Ridzuan terus maju dan membangun maka isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan perlu diselesaikan segera. Kerajaan Negeri perlu segera melantik Rektor baru yang benar-benar berkelayakan dan mampu memimpin dan mentadbir Kolej dengan bijaksana, professional dan agresif.

Rektor merupakan individu utama untuk menggerak dan membangunkan Kolej. Kegagalan Kerajaan Negeri melantik Rektor baru yang lebih berkeupayaan fizikal, mental dan intelektual boleh menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan dan masalah dalaman Kolej seterusnya membantutkan usaha menaik taraf Kolej. Sebagai satu-satunya institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri maka amat wajar Kerajaan Negeri memberi perhatian yang serius dan lebih terhadap Kolej Islam Darul Ridzuan. Dengan ini segala matlamat, visi dan misi Kolej dapat dicapai.

Kerajaan Negeri Perak juga dilihat telah hilang keupayaan untuk mentadbir negeri apabila gagal mendapat kata sepakat berhubung isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan memilih seorang calon Rektor di antara beberapa calon yang ada membukti bahawa wujud pihak-pihak yang berkepentingan di dalam isu tersebut. Kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan telah berlarutan beberapa bulan.

YB Dato’ Hj Mohd Zaim Abu Hassan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan langsung tidak berperanan dalam kemelut ini dan beliau lebih selesa bertindak sebagai boneka semata-mata. YAB Menteri Besar Perak seolah-olah telah hilang kuasa untuk membuat keputusan dan menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. YAB Menteri Besar Perak amat lemah sehingga tidak berupaya untuk menyelesaikan kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan yang berlarutan sehingga beberapa bulan.

Bagaimana mungkin YAB Menteri Besar Perak dapat mentadbir Negeri Perak dengan baik sedangkan kemelut sekecil itupun tidak mampu untuk diselesaikan. Apakah benar YAB Menteri Besar Perak telah hilang kuasa ? Apakah benar wujud pihak lain yang lebih berkuasa di dalam Kerajaan Negeri Perak ? atau apakah benar wujud ‘de-facto leader’ di dalam Kerajaan Negeri Perak ? Jika benar, siapakah yang lebih berkuasa itu ? dan siapakah ‘de-facto leader itu ? YB Dato’ Seri Dr Abd Rahman Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mungkin tahu jawapannya ?

Mahathir sekular, Rakyat tidak faham Islam sebenar.



1 Rabiul Awal 1432H,
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 3 Februari :-Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyebut bahawa kenyataan Dr Mahathir ( Bekas Presiden UMNO ) baru-baru ini bahawa Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( Mursyidul AM PAS ) lebih teruk daripada Islam nasionalis, merupakan bukti jelas perjalanan yang ditempuh PAS sama seperti perjalanan Rasulullah SAW.

Tindakbalas yang diterima Tuan Guru Nik Abdul Aziz oleh seorang yang membenci dakwah beliau merupakan suatu perkara biasa dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW.

Beliau menegaskan ayat :

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin" (Surah Al-An'am: 112)

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata bahawa "Orang Melayu di sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Lee Kuan Yew cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan". Kata-kata Tuan Guru ini kemudian membuatkan Dr Mahathir terasa bagaikan cacing kepanasan, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Memetik kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak itu, “ Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Tuan Guru menyerang orang di dalam Malaysia dan bukannya Lee Kuan Yew. Padahal benarlah kata Tuan Guru itu kerana ancaman dari dalam negara sendiri adalah jauh lebih merbahaya daripada ancaman luaran”.

“ Adakah Dr Mahathir lupa bahawa sirah Rasulullah SAW membuktikan ancaman daripada puak munafiq lebih berbahaya berbanding ancaman daripada puak kafir? Hinggalah Allah SWT menyebut bahawa orang yang berpura-pura islam lebih teruk azabnya berbanding orang yang terus terang islam” soal beliau.

Ustaz Abu Bakar juga menasihatkan agar pemimpin UMNO dan Dr Mahathir khususnya melihat kembali ayat Al Quran berkenaan orang munafik dalam surah an-nisa’ ayat 145

"sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka" (surah an-nisa': 145)

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyanggah kata-katanya, Dr Mahathir apabila mantan presiden umno itu mengatakan bahawa islam telah banyak berkembang di bawah pemerintahan nasionalis.Kononnya kemajuan islam dikaitkan dengan kehebatan semangat kebangsaan Barisan Nasional.

“ Mahathir lupa yang bukan jasa UMNO islam semakin berkembang di Malaysia tetapi jasa orang yang menentang UMNO seperti Dr Burhanuddin Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka inilah yang menjadi pengimbang, "check and balance" kepada kerajaan sehingga kerajaan BN terpaksa mengamalkan islam” Tegas beliau

Menurut beliau, Inilah kewajipan yang mereka lakukan walaupun nyawa mereka diancam. Kalau hendak diikutkan nafsu BN, sudah lama islam dianggap kuno, tidak sesuai dan merugikan Negara.

Menurut Ustaz Abu Bakar Hussain lagi, Allah SWT telah menetapkan bahawa sejak dahulu lagi dunia ini menjadi medan pertempuran di antara yang hak dan yang batil. Pertempuran antara iman dan kufur. Rasulullah SAW. dahulu dituduh oleh puak Quraisy sebagai pemisah suami dan isteri, saudara mara dan bangsa qurasiy sendiri, hanya kerana baginda mengajak orang kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT dan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Hari ini orang menganggap PAS sebegitu pula. Padahal kita menyeru supaya bumi ini diperintah dengan adil utk kesalamatan dunia dan akhirat. Menjadi keyakinan kami bahawa jika rakyat Malaysia beriman dan bertaqwa, Allah SWT akan membantu kita

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menegaskan bahawa kini terbukti kebenaran perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang sebenar bukannya seperti umno yang bertopengkan Islam. Sebelum ini ada pemimpin PAS yang telah dipenjara, ada yang dihalau, ada yang dipanggil gila, ada yang dipanggil pemecah-belah masyarakat. Padalah semua ini adalah ujian sama yang dilalui Rasulullah SAW. Dari sini wujudlah rasa perjalanan yang gerakan islam PAS tempuhi, sama dengan perjalanan Rasulullah SAW.




Krisis Mesir: Sekurang-kurangnya 5 Terkorban


Pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Hosni Mubarak dan kumpulan anti kerajaan di Dataran Tahrir awal pagi Khamis. Foto AP
1 Rabiul Awal 1432H.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lima terkorban apabila penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti kerajaan yang berkumpul di Dataran Tahrir, di sini Khamis.

Dilaporkan ratusan penunjuk perasaan anti kerajaan mengalami kecederaan dalam pertembungan dengan kumpulan pro kerajaan sedang menunggu giliran untuk menerima rawatan kecemasan di Dataran Tahrir.

Dalam pertembungan semalam, tembakan senjata api berlarutan sehingga lebih daripada satu jam di sekitar kawasan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan pengumuman Mubarak yang hanya akan berundur pada September depan.

"Kami tidak akan meninggalkan tempat ini selagi Mubarak tidak berundur," kata seorang wanita yang dikenalpasti oleh Al Jazeera sebagai Mona Seif.

Menteri Kesihatan Mesir, Ahmad Samih Farid memberitahu televisyen kerajaan bahawa lima orang penunjuk perasaan disahkan terbunuh manakala 836 yang lain mengalami kecederaan.

Katanya kebanyakan korban adalah akibat daripada membaling batu dan serangan menggunakan besi dan kayu. Reuters

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

1 Rabiul Awal 1432H.

KUCHING: Kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memberi laporan terperinci berhubung kawasan masing-masing, termasuk masalah dihadapi, semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini.

Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengakui setiap kawasan DUN di Sarawak ada cabaran tersendiri namun ia telah diselesaikan dan akan dicari jalan penyelesaian memandangkan bukan semua masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata ADUN terbabit telah cuba memperoleh maklum balas mengenai pelbagai isu di kawasan masing-masing sejak setahun lalu melalui perbincangan dengan pemimpin peringkat akar umbi.

Taib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti tersebut di sini Khamis.

Sementara itu, Perdana Menteri dijadual tiba di Miri pada Ahad ini dengan aturcara pertama beliau ialah mengadakan sesi perjumpaan dengan Adun Sarawak, manakala pada sebelah malam pula, beliau akan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Dataran Kipas, Miri.

Ramai penganalis politik di sini meramalkan pertemuan dengan ADUN itu sebagai langkah terakhir Perdana Menteri untuk mengumpul maklumat bagi membuat keputusan sama ada mengadakan pilihan raya umum serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Sebelum ini, Taib dipetik berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-13.

Tempoh penggal kerajaan negeri sekarang akan berakhir pada Julai tahun ini.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak menang 63 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. mStar/-

Padam Hansard: Maruah DUN S'wak tergugat

1 Rabiul Awal 1432H.

Jika ada bahagian-bahagian dalam Hansard yang dipadamkan secara sengaja, ia akan mengaibkan reputasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Hansard adalah cetakan transkrip persidangan Parlimen dan DUN.

Menegaskan demikian, Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang
Khim berkata sejak penubuhan institusi Parlimen dan dewan undangan negeri di negara ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku .

Teng (kanan) mengulas insiden di DUN Sarawak di mana ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui mendakwa sebahagian daripada ucapannya dalam persidangan dewan November lalu, tidak termasuk di dalam Hansard.

Yong telah menulis kepada Speaker DUN Sarawak, Datuk Awang Asfia Nasar mengenai perkara itu, tetapi beliau belum lagi menerima sebarang jawapan.

Menurut Yong, sebahagian daripada ucapannya menyentuh tentang keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, telah dikeluarkan dari hansard.

Malaysiakini/-

03 Februari 2011

Domino Revolusi Timur Tengah dan Afrika Utara ke Malaysia.

29 Safar 1432H.
Muhammad Nuruddin Bashah

Rusuhan di Mesir menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun supaya berundur. Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir menjadi pemangkin kepada beberapa rusuhan di Syria, Yemen dan Jordan.

Presiden Tunisia melarikan diri ke Jeddah (istana tetamu Raja Saudi). Tempat yang sama pernah melindungi Nawaz Sharif (Pakistan), Idi Amin (Diktator Uganda).

Apa kaitan dengan senario politik Malaysia?

1.Hosni rombak kabinet diktatornya dengan melantik agen prisikan tentera sebagai timbalan. Malaysia pernah kitar semula Menteri bila rakyat tolak pemerintahan BN. Kekalkan menteri rasuah contoh: Pak Lah ambil balik Rafidah Aziz yang telah kalah.
2.Kebangkitan revolusi Tunisia, Yaman, Mesir, Jordan dan Algeria disebabkan kebangkitan IT, facebook, blog dan Twitter. Jihan Ibrahim, seorang aktivis media dan pembaharuan politik di Mesir, dengan sepenuh hati mengikuti peristiwa-peristiwa di Tunisia. Kerajaan Mesir kini mengharamkan blog, Twiter, facebook malah telefon bimbit. Mesir menutup rangkaian sosial (twitter, facebook) melalui penutupan internet dan sistem telekomunikasi. Semua telefon, internet, mesin ATM langsung tidak boleh digunakan. Cawangan Al jazeera ditutup dan dihalau dari Mesir. Malaysia pindaan memperluas skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) kepada internet. BN sudah tidak mampu membayar penulis blog pro BN yang meminta bayaran tinggi untuk menaikkan nama mereka.
3.Isu rasuah dan isu boros.
4.Kenaikan harga tol di negara Arab , minyak, beras, gula dan penarikan subsidi. Tetapi walaupun Malaysia naik harga minyak lebih tinggi dari negara Arab, tetapi orang Melayu masih pasrah dan redha.
5.Pengangguran meningkat (contoh :13% Tunisia)
6.Tutup hak bersuara rakyat. Indeks Demokrasi Malaysia jatuh ke tangga 71. (Economist Intelligence Unit). Malaysia antara 36 negara yang kongkong rakyat dengan Akta Mesin Cetak, ISA san OSA. Antara negara Asia yang sama seperti malaysia ialah Thailand, Sri Langka, Fiji.
7.Media siarkan kejayaan ekonomi, KDNK dan anugerah ekonomi peringkat dunia sebaliknya harga barang naik, rakyat susah, dll. Sama seperti Malaysia yang bentang Bajet tahunan defesit.
8.Kerajaan Arab (Jordan) terpaksaa gula-gulakan rakyat untuk hentikan kemarahan. Raja Abdullah II cuba mengawal api kemarahan rakyat dengan menjanjikan reformasi sementara Perdana Menteri mengumumkan pakej $550 juta subsidi baru untuk bahan api dan bahan asas makanan seperti beras, gula, ternakan dan gas cecair untuk memasak dan memanaskan kediaman. Malaysia, PM isytihar tol tidak akan naik 5 tahun.

Yaman

· Sejarah Yaman : Yaman ialah salah satu daripada pusat-pusat peradaban yang tertua di dunia. Dari abad ke-9 SM hingga abad ke-6 Masihi, Yaman merupakan sebahagian kemaharajaan-kemaharajaan Minaean, Sabaean, Himyarit, Qataban, Hadhramawt, dan Awsan yang menguasai perdagangan rempah yang menguntungkan. Yaman berturut-turut dikuasai oleh empayar Habsyah dan Sassanid Parsi. Pada abad ke-7, khalifah Islam mula menguasai kawasan ini. Selepas kekhalifahan itu dihancurkan, bekas Yaman Utara dikuasai oleh Imam-Imam daripada berbagai-bagai wangsa, biasanya dari mazhab Zaidiyah, yang mengasaskan struktur politik teokratik yang kekal sehingga zaman moden. Khalifah-khalifah Sunah Waljamaah Mesir menduduki kebanyakan Yaman Utara pada sepanjang abad ke-11. Menjelang abad ke-16 dan sekali lagi pada abad ke-19, Yaman Utara menjadi sebahagian Empayar Turki Uthmaniyyah dan pada sesetengah tempoh, Imam-Imannya juga menguasai Yaman Selatan. Yaman Utara mencapai kemerdekaan daripada Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1918 dan menjadi sebuah republik pada tahun 1962. Yaman Selatan (bekas jajahan British) menjadi Komunis dan 2 Yaman bergabung pada 1990.

· Sistem Kerajaan : Republik; Presiden Ali Abdullah Saleh (Syiah Zaidiyah) Perdana Menteri Abdul Qadir Bajamal. Parti menang : General Peaople’s Congress.

· Di Yaman iaitu negara termiskin di semenanjung Arab, rusuhan memaksa Presiden Ali Abdullah Saleh (selapas 33 tahun perintah) untuk melakukan pemulihan ekonomi segera. Ini termasuk mengurangkan cukai pendapatan sehingga separuh dan mengarahkan kawalan harga ke atas makanan dan barangan keperluan asas.

· Beribu-ribu rakyat Yemen mengadakan tunjuk perasaan mendesak Ali meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978. Mogok berterusan hingga kini.

· Yaman antara negara termiskin Timur Tengah.

Algeria

· Sejarah : Orang-orang Phoenicia (1000 SM) dan Empayar Rom (200 SM) adalah yang paling penting diantara kuasa-kuasa asing di sini sehinggalah kedatangan kuasa Islam pada kurun kelapan masihi. Pada zaman pertengahan Dinasti Fatimiyyah (Syiah) yang bermula di Algeria menakluki. Algeria dikuasai Empayar Uthmaniyyah. Perancis kemudian menakluki Algeria pada 1830. 25 tahun di bawah sistem satu parti sosial Boumedienne dan pengganti-penggantinya.

· Sistem Kerajaan : Republik dengan moto "Revolusi oleh rakyat dan untuk rakyat",Parti pemerintah sekular : Font Pembebasan Nasional.

· 10000 rakyat protes harga makanan tinggi.

· Rakyat mahu bubar undang-undang darurat yang perintah selama 19 tahun!

· Mahu tukar kerajaan. Kebangkitan Pemikiran Islam.

· Rakyat bakar diri tanda protes.

Tunisia

· Sejarah negara: bangsa asal adalah Barbar (sama seperti Algeria). Ia ditaklukkan oleh puak Vandal pada abad ke-5 dan ditaklukkan semula oleh komander Belisarius pada abad ke-6 semasa pemerintahan Justinian, maharaja Empayar Rom Timur. Pada abad ke-7, kawasan ini ditaklukkan pula oleh kaum Muslim Arab yang mengasaskan kota Qairawan. Dinasti-dinasti Muslim yang berturut-turut memerintah, digendalakan sekali-sekala oleh pemberontakan-pemberontakan Barbar. Pemerintahan Dinasti Aghlabiyah (abad ke-9) dan Dinasti Zirid (sejak 972. Fatimiyah (Syiah) di Kaherah jajah Tunisia pada 1050 M. Pada abad ke-12, pantai-pantai Tunisia ditakluk oleh kaum Norman dari Sicily buat tempoh yang singkat. Tunisia kemudian ditakluk oleh para khalifah Al-Muwahhidun pada tahun 1159 (Zaman Ibnu Khaldun). Diperinta oleh Uthmnaiyah Turki dan dijajah oleh Perancis.

· Sistem pemerintahan : Republik, Presiden Zine El Abidine Ben Ali Parti Destour Sosialis (hingga 1988), Himpunan Demokratik Perlembagaan (sejak 1988). Fahaman Sosialis.

· Presiden digulingkan pada 14 Januari 2011. Korupsi, rasuah dan pembaziran.

· Seorang menteri Perancis mengatakan pada Isnin (17/1/2011), pemerintah akan membekukan seluruh aset yang mempunyai kaitan dengan rejim Ben Ali.
· Revolusi digelar Revolusi Orang Bakar Diri (burn man), Revolusi Twiter, Revolusi Jasmin.

Mesir

· Sejarah negara: Pernah diperintah oleh kerajaan Islam sahabat nabi, kerajaan Umayyah, Abbasiyyah, fatimiyah (Syiah), Turki mamluk dan Turki Uthmaniyah. Dijajah British dan Mesir diwariskan kepada raja-raja monarki yang melawan Uthmaniyah. Akibat gerakan nasionalisme yang hebat, British mengiytiharkan kemerdekaan Mesir pada 22 Februari 1922. Kerajaan baru ditubuhkan dan bersifat raja berperlembagaan. Pada 1948, Mesir terlibat dalam serangan oleh negara-negara Arab terhadap Israel tetapi kalah dalam perang tersebut. Golongan nasionalis yang tidak puas hati telah menggulingkan institusi beraja pada 1952 dalam Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953.

· Sistem pemerintahan: Arab Sosialis (kuasa Tentera). Parti Demokratik Nasional Mesir.

· Rakyat protes dan desak Hosni turun selepas lama memerintah 30 tahun.

· Mohamad Al Baradei ingin tandingi Hosni jika Pilihanraya adil.

· Media Mesir selalu siar kenaikan KDNK negara, pujian banyak Anugerah Ekonomi yang Mesir dapat serta peningkata ekonomi tetapi rakyat semakin susah.

· Hosni kambing hitamkan Ikhwanul Muslimin sepertimana tindakan Gamal Abd Naseer dahulu. 8 Pemimpin Ikhwan ditahan.

Bagaimana dengan negara sosialis Syria?

Syria, Presidennya, Bashar Assad menyifatkan demonstasi di Mesir, Tunisia dan Yemen sebagai kebangkitan era baru di Asia Barat di mana pemimpin Arab perlu melakukan reformasi demokrasi.

Assad turut berikrar untuk melakukan reformasi politik di Syria ekoran kebangkitan tunjuk perasaan di Mesir dan Tunisia baru-baru ini. Syria antara negara yang banyak menindas dan membunuh ulama’.

2 rakan karib Rosmah mansur sudah jatuh!

1. Laila

Leila Ben Ali seperti mana Rosmah Mansor turut aktif dalam aktiviti yang dilihat berunsur 'amal' dan bersifat 'manusiawi'. Jika Rosmah menjawat Pengerusi BAKTI, Leila pula memegang jawatan selaku Presiden Organisasi Wanita Arab (AWO). Leila juga merupakan Pengerusi Basma iaitu organisasi kebajikan yang berperanan untuk membantu golongan kurang upaya mendapatkan pekerjaan. Pada Julai 2010, Leila Ben Ali menubuhkan SAIDA dengan tujuan membantu dan menyokong pesakit-pesakit barah di Tunisia. Dalam tempoh menjawat pelbagai posisi istimewa ini, Leila kerap hadir menyampaikan ucapan dalam acara-acara rasmi kerajaan. Selain mengiringi suami dalam lawatan rasmi ke luar negara, Leila juga kerap mewakili suaminya serta berucap dengan membaca teks ucapan suami. Sosok seperti Leila Ben Ali kini sedang meningkat naik di Malaysia dan muncul dengan nama Rosmah Mansor. Minat, sikap dan perwatakan mereka hampir sama.

Leila Ben Ali (53), si ibu negara, digelar ‘Imelda Marcos dari dunia Arab.’ Imelda Marcos adalah mantan ibu negara Filipina isteri kepada Ferdinand Marcos yang digulingkan oleh people power. Selain menyukai pakaian mewah rekaan pereka ternama dunia, Leila dan keluarganya telah mengumpulkan lebih dari 50 buah kereta mewah. Tidak terhitung pula rumah mewah yang mereka beli dan bina. Dalam kemelut politik sehingga penggulingan Ben Ali, Leila dilaporkan melarikan 1.5 ton emas yang diambil dari bank sentral ke luar negeri.

2. Suzanne

Suzanne Mubarak suka dihargai di khalayak ramai. Selain aktif dalam pelbagai program kebajikan demi rakyat Mesir tercinta, Suzanne juga suka mendandan diri, suka dihargai, berfesyen sakan dan seperti wanita-wanita pertama yang lain. Suzanne Mubarak, isteri Presiden Hosni Mubarak, dipastikan telah berada di London. Dia terbang dengan menggunakan jet pribadi, pada hari yang sama dengan Menteri Pertahanan Mesir ke Amerika Syarikat untuk menyelamatkan diri. Suzanne kelihatan bersama anak perempuannya dan lebih 100 buah beg. Mereka tiba di London untuk bersama dengan Gamal, anak lelaki yang disebut-sebut sebagai “putra mahkota” yang persiapkan untuk menjadi presiden Mesir.

Apa bezanya Rosmah?

Cuba mengambil alih peranan Ketua Pergerakan Wanita Umno dan Menteri Wanita, Pembangunan dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai tokoh wanita di negara ini.Rosmah menjadi jemputan utama untuk berucap dalam forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) bertajuk "Memodalkan Potensi Wanita Dalam Perniagaan"

Media : sehingga kini hampir setiap hari akan ada iklan atau berita kegiatan Rosmah. Kebaikan dan kebajikan beliau akan dihebahkan secara maksima melebihi menteri kabinet lain.

Kebajikan : mengambil juzuk kerja kebajikan untuk kelihatan keibuan dan penaung kepada rakyat.

Bajet : mendapat banyak bajet negara serta mampu memiliki kuasa pembiayaan dari pihak kerajaan. Walaupun pembiayaannya ditanya dalam Parlimen, imunisasi PM kuat dan sukar untuk diaudit.

Festival Busana Muslim yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu yang dinaungi ‘Wanita Pertama’, Datin Seri Rosmah Mansor jelas menghina Islam kerana pakaian model yang terlibat tidak menutup aurat.

Sertai WIF pada bulan April dan ingin anjurkan pula oleh Malaysia. Rosmah First Ladies Speak - bertajuk “Pelaburan Untuk Kanak-Kanak Untuk Masa Depan yang Lebih Baik” di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. Pada konvensyen khas yang dipengerusikan oleh Presiden forum itu, Datin Amy Hamidon, Rosmah disertai oleh isteri Perdana Menteri Jamaica, Lorna Golding untuk berkongsi pandangan mereka dalam perkara itu.

Isteri Perdana Menteri Malaysia yang pandai menyanyi dan menari di depan orang ramai serta berani membuat show di depan orang ramai ialah Rosmah. Isteri bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 (Siti Hasmah) selama 22 tahun lebih pun malu beraksi seperti Rosmah Mansor. "Artikel 32 (2) menyatakan bahawa pemimpin utama negara adalah Yang Di Pertuan Agung. Tidak ada ungkapan wanita pertama dalam perlembagaan, yang ada hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,“ Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai ‘tidak sopan’ dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Rosmah membazir duit Malaysia untuk masukkan iklan mengalu-aluka kehadiran beliau ke luar negara. Pengarah Eksekutif New York Times Dianne McNulty sendiri mengesahkan bahawa iklan itu ditempah oleh sebuah agensi pengiklanan bagi pihak Kerajaan Malaysia. Dan bukannya oleh individu-individu seperti yang dinamakan dalam iklan tersebut. RM111 juta untuk projek Permata Pintar melebihi bajet untuk orang asli di Malaysia!

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

29 Safar 1432.

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :


وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H

Kenyataan Media : 21 NGO menolak sekatan internet

29 Safar 1432H.

Kami merupakan kumpulan masyarakat madani yang amat bimbang mengenai niat kerajaan persekutuan untuk menyekat Internet, mengikut laporan akhbar baru-baru ini yang mengungkap pegawai kanan kementerian berkenaan "peraturan hasutan siber" dan perluasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk meliputi media dalam talian

Kami membantah sekeras-kerasnya sebarang percubaan untuk memperluaskan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan sekali lagi menggesa kerajaan supaya memansuhkan akta ini berserta Akta Hasutan dan undang-undang lain yang terlalu menyekat dan yang tiada tempatnya dalam masyarakat moden dan demokratik yang menjadi cita-cita negara kita.

Keberkesanan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dalam membelenggui akhbar selama berdekad-dekad begitu nyata, amat mengerikan jika peruntukan drastiknya dikenakan terhadap penerbitan dalam talian, justeru menyebarkan kesan "seram" yang sama kepada ruang Internet. Tidak mustahil bahawa permit disyaratkan untuk laman sesawang berita, seperti yang berlaku di negara China. Dan melihat kepada jumlah buku yang diharamkan setiap tahun di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, besar kemungkinan penulisan dan bahan multimedia yang tertentu dalam Internet dicop "penerbitan yang tidak diingini", manakala pengguna Facebook dan Twitter pula dituduh menyebarkan "berita palsu".

Ciri Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang paling membimbangkan ialah kekurangan sekatan dan imbangan - terutamanya peruntukan yang menyatakan keputusan Menteri adalah muktamad, berbanding dengan Akta Komunikasi dan Multimedia yang sekurang-kurangnya mengandungi rujukan penghakiman.

Jika Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dikenakan kepada Internet, ruang siber kita akan menjadi lembab dan ia mungkin meradikalkan pendapat yang berbeza.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein (gambar kiri) berkata pindaan tersebut masih di tahap perbincangan dan masih "terlalu awal" untuk dipersoal oleh pihak media dan orang awam. Namun bagi kami, kekurangan ketelusan dan rundingan awam juga merupakan sebahagian daripada masalahnya. Kami membantah sekeras-kerasnya pendekatan kerajaan yang tidak telus dalam memperkenalkan undang-undang dan pindaan dengan mendedahkan sedikit sahaja maklumat mengenai intipatinya, justeru menimbulkan kerunsingan orang awam. Ketiadaan rundingan awam dalam perkara-perkara yang memberi kesan yang besar terhadap masyarakat menunjukkan bahawa hal-hal ini besar kemungkinannya bermasalah, namun kerajaan masih berkeras mahu meneruskannya tanpa mengendahkan pendapat orang awam.

Justeru, kami percaya bahawa ancaman kawalan Internet memang wujud, seperti yang nyata dengan tertubuhnya kumpulan merentasi kementerian - yang terdiri daripada Menteri Dalam Negeri; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim; Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz; and Peguam Negara Abdul Gani Patail - yang menumpu kepada sekatan kebebasan ekspresi dalam talian.

Tujuannya ketara - untuk mengawal media bebas yang terakhir.

Kebangkitan isu ini ketika seluruh negara menanti-nanti pilihanraya umum yang dijangka pada tahun ini menunjukkan motivasi politik wujud di sebaliknya kerana Internet dikatakan faktor penyumbang kepada keputusan pilihanraya kerajaan persekutuan yang paling teruk dalam empat dekad pada tahun 2008. Malah, kerajaan persekutuan nampaknya mencontohi negera jiran seberang selat, di mana kerajaan yang dipimpini Parti Tindakan Rakyat meningkatkan gangguan dan kawalan terhadap media dalam talian menjelang pilihanraya.

Kami ingin memperingatkan kerajaan bahawa sebarang pelanggaran jaminan "tiada sekatan Internet", yang diwar-warkan kepada pelabur asing supaya mereka menyertai projek Koridor Raya Multimedia sejak ia dilancarkan pada tahun 1996, akan memburukkan nama Malaysia dan memudaratkan pelaburan.

Sebarang percubaan untuk menyekat kebebasan Internet akan mendesak kumpulan masyarakat madani dan orang awam untuk membawa isu ini ke pilihanraya. Kami menyeru masyarakat, yang sudah lama dikekang dari segi kebebasan akhbar, berpersatuan dan berhimpun, untuk bangkit dan mempertahankan sempadan terakhir untuk kebebasan ekspresi - pastikan suara anda didengari dalam ruang bebas yang masih ada atau tunjukkan bantahan anda di peti undi.

Kenyataan bersama ini diusahakan oleh:
Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (Centre for Independent Journalism)
Charter 2000-Aliran
Writers Alliance for Media Independence
1 Muted Malaysia

Dan disokong oleh:
All Women's Action Society (AWAM)
Civil Rights Committe of KL-Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH)
Civil Society Committee of Lim Lian Giok Cultural Development Centre
Coalition of Anti-Genetically Modified Mosquitoes
Community Action Network
Community Development Centre (CDC)
Gabungan NGO Kelantan(Coalition Of NGOs Of Kelantan)
Health Equity Initiatives
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
Lawyers for Liberty
Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA)
Pekan Frinjan
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan (PERMAS)
Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS)
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM
Women's Aid Organisation (WAO)

--

Syeikh al-Qaradawi seru Mubarak lepas jawatan

29 Safar 1432H.

Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan.

Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir.Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, "Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir".

Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya.

Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wangberbilion-bilion.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak".

Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, "Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup."

Al-Qaradawi menambah, "Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki", untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, "yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim", di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya "bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. "

Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi.

Dia berada "dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka," dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes PENCURIAN ATAU PENJARAHAN.

Beliau menasihati mereka, "Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah HARAM."

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan.

Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera/Harakahdaily

02 Februari 2011

Lebih 43,000 mangsa banjir masih di pusat pemindahan di Johor

28 Safar 1432H.

JOHOR BAHARU: Bencana banjir yang melanda Johor masih tidak banyak berubah dengan jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan ialah seramai 43,283 orang daripada 10,281 keluarga.

Laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my menyebut sehingga pukul 8 pagi ini daerah Segamat mencatatkan mangsa teramai dengan 21,128 orang membabitkan 5,194 keluarga.

Ini diikuti Ledang dengan 5,822 orang (1,308 keluarga), Batu Pahat dengan 5,090 mangsa (1,109 keluarga), Muar (4,759 orang daripada 1,074 keluarga) dan Kluang dengan 4,135 mangsa membabitkan 1,029 keluarga.

Portal itu juga melaporkan di Kota Tinggi seramai 1,523 orang daripada 353 keluarga dipindahkan, Pontian (740 orang membabitkan 180 keluarga), Mersing (47 orang daripada 31 keluarga) dan Johor Baharu (39 orang daripada sembilan keluarga).

Kesemua mangsa di Kulaijaya sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Portal itu berkata, sehingga kini sebanyak 232 pusat pemindahan dibuka iaitu 84 di Segamat, Batu Pahat (34), Ledang (30), Kluang (29), Muar (23), Kota Tinggi (18), Pontian (12), Mersing dan Johor Baharu masing-masing satu.

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian banjir di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lalu.

Sinar/-

Mangsa banjir di Melaka bertambah

28 Safar 1432H.

MELAKA: Jumlah mangsa banjir di 19 pusat pemindahan membabitkan tiga daerah di Melaka kini meningkat kepada 4,555 orang berbanding 4,110 orang malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka, berkata daerah Melaka Tengah mencatatkan mangsa teramai dengan 2,264 orang, iaitu meningkat berbanding 2,114 orang pada pukul 7 malam tadi.

Di Alor Gajah, jumlah mangsa yang dipindahkan juga meningkat kepada 1,748 orang berbanding 1,568 orang, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, keadaan banjir di Jasin kini bertambah baik dan jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan ialah seramai 543 orang.

Beliau berkata, keadaan paras air di sungai-sungai utama juga dilapor semakin menyusut berikutan cuaca baik tanpa hujan di seluruh negeri.

Sinar/-

Tiga pesawat TUDM berlepas ke Mesir 12 tengah hari ini

28 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR: Tiga pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berda di negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata pesawat terbabit akan turut membawa bekalan makanan bersama mereka.
"Jam 12 tengah hari ini tiga pesawat milik TUDM akan berlepas dari Kuala Lumpur.

"Macam-macam makanan mereka akan bawa sekali dalam pesawat itu seperti beras, sardin, minyak masak, rempah kari dan tepung," kataya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, kerajaan juga berusaha mendapatkan visa sementara khas daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan pelajar yang berada di Mesir dipindahkan ke Jeddah sebelum dibawa pulang.

"...sebab kita nak keluarkan pelajar kita ramai sangat. Jadi kita nak bawa mereka ini ke Jeddah dulu," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi jalan laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.

Dilaporkan terdapat kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di negara itu dan daripada jumlah terbabit 7,000 adalah pelajar.

Sinar/-

Chelsea kembali menyengat

28 Safar 1432H.

LONDON: Chelsea bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sunderland 4-2 pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Of Light, sebentar tadi.

Sunderland seperti mengulangi kejutannya di Stamford Bridge November lalu apabila mendahului Chelsea pada minit keempat menerusi jaringan pemain pertahanan, Phil Bardsley.

Bagaimanapun pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-15 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Frank Lampard.

Salomon Kalou kemudian meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-23 namun Kieran Richardson menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

John Terry memastikan Chelsea di depan semula pada minit ke-60 sebelum Nicolas Anelka menyudahkan gol keempat Chelsea pada minit terakhir permainan.

Sinar/-

Mubarak umum berundur selepas pilihan raya

28 Safar 1432H.

KAHERAH: Presiden Hosni Mubarak malam tadi mengumumkan beliau akan berundur dalam masa beberapa bulan lagi sebaik penggantinya dipilih, tindakan yang disifatkan boleh meredakan ketegangan yang semakin memuncak memintanya meletakkan jawatan sekarang.

Pengumuman itu dibuat pemimpin yang sudah berkuasa lebih 30 tahun itu di tengah ketegangan yang menyaksikan lebih satu juta rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah itu, awal semalam.

Di ibu negara, Kaherah iaitu di Dataran Tahrir, penunjuk perasaan yang berkumpul dan menguasai dataran itu sejak seminggu lalu bersorak meraikan pengumuman Mubarak yang disiarkan stesen televisyen.

Namun sebaik ucapan pemimpin yang berusia 82 tahun itu selesai, ramai yang sangsi sama ada peralihan kuasa itu berlarutan berbulan-bulan lagi sedangkan pembangkang mahu Mubarak segera meninggalkan jawatannya bagi mengelak Mesir dilanda krisis penentangan lebih buruk.

"Keluar, keluar", demikian teriakan sebahagaian penunjuk perasaan yang mahu Mubarak yang kini memasuki pemerintahan penggal kelimanya supaya segera berundur.
Tampil dengan tenang dengan memakai kot dan bertali leher, Mubarak berkata: "Saya berkata dengan ikhlas dan prihatin dengan keadaan yang berlaku sekarang bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden.

"Masanya sudah cukup untuk saya berkhidmat untuk negara dan rakyat.

"Saya kini berhasrat untuk menyelesaikan tugas saya untuk negara dengan memastikan proses peralihan ini berlangsung dalam keadaan aman dan lancar," katanya.

Sinar/-

Idham Care bantu mangsa kebakaran di Kerian

28 Safar 1432H [MOD]
PARIT BUNTAR,1 Feb : Kebakaran yang berlaku dengan pantas menyebabkan sebahagian rumah seorang petani di Parit Haji Yusof hangus dijilat Api. Mangsa yang ditemui Hj. Aini bin Awang, 72 Tahun memberitahu kebakaran itu berlaku pada jam 7.45 malam dan ketika kejadian itu berlaku beliau bersama 3 lagi ahli keluarganya sedang berehat dirumah.

Pihak Idham Care telah menerima makluman berhubung kebakaran itu pada jam 9.30 malam daripada seorang penduduk yang memaklumkan menerusi telefon. Dan pada pagi kelmarin, Pengerusi Idham Care talah membuat lawatan mengejut ke rumah mangsa kebakaran, seterusnya menyampaikan sumbangan khusus daripada Tabung Dana Idham Care. (Foto diatas) Pengerusi Idham Care, Drs. Khalil Idham Lim ketika menyampaikan sumbangan tersebut pagi kelmarin di kediaman mangsa kebakaran yang hangus dijilat api.

Hj. Aini bin Awang dengan wajah sugul menceritakan detik-detik cemas beliau kepada Pengerusi Idham Care bagaimana kejadian rumahnya yg hangus dijilat api. Beliau sekeluarga masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Pengerusi Idham Care turut meninjau tahap kemusnahan rumah mangsa yang terbakar kelmarin. Seluruh bahan binaan daripada kayu hangus dijilat api. Hampir satu jam lebih, Pengerusi Idham Care telah meluangkan masa bersama keluarga mangsa di sana.


Pihak Idham Care juga turut mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota Bomba Sukarela yang tiba awal bagi membantu mangsa ketika kejadian kebakaran berlaku.

Anda lelaki yang tidak layak berpoligami

28 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Baei Jaafar.

Kalau sebelum ini saya menyatakan berita baik untuk lelaki tetapi kali ini saya hendak perluaskan lagi skop ini kepada siapa sebenarnya yang layak berpoligami dan siapa pula yang tidak layak. Dengan tulisan ini, diharapkan anda yang disenaraikan boleh membuat persiapan sama ada untuk meneruskannya atau menarik diri daripada poligami.

Tidak layak

1 Takut kepada isteri
2 Kurang komunikasi lalu menyalahkan isteri
3 Tidak sayang isteri lalu suka memukulnya
4 Isteri lebih kaya lalu hidupnya dikawal isteri
5 Putus hubungan dengan Allah

Layak

1.Takut kepada Allah
2.Selalu komunikasi dan mendidik iman isteri
3.Cintakan isteri kerana Allah
4.Suami kaya dan kehidupan isteri ditentukannya
5.Selalu berhubung dengan Allah apatah lagi waktu susah

Anda boleh nilai diri sendiri di mana kedudukan anda. Terpulanglah kepada anda sama mahu buat perubahan atau tidak. Untuk lebih jelas, saya perpanjangkan dua bahagian tersebut supaya alasannya dapat diterima oleh semua pihak.

Takut kepada Isteri, ini penyakit kebanyakan suami sama ada suaminya kaya atau miskin. Dia tidak berani berterus terang dengan isterinya tentang dia mahu berkahwin lagi. Akhirnya dia buat keputusan untuk kahwin di luar negara.

Memang lelaki ini tidak layak berkahwin kerana lazimnya suami ini akan menipu isterinya atau berlaku zalim terhadap isterinya sama ada isteri pertama atau isteri baru.

Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang apabila menyatakan hasrat hendak berkahwin lain kepada isterinya, lalu ditentang oleh isterinya itu. Dengan tentangan itu dia jadi kecut lalu tidak berani untuk meneruskan hasratnya lagi.

Dengan hati yang sedih bakal isteri barunya akan mendesak. Maka untuk memuaskan desakan dia berkahwin di luar negara. Dengan perkahwinan ini dia sekali lagi akan menipu isterinya. Bukan itu sahaja, kehidupannya juga tidak selesa kerana asyik dengan penipuan sepanjang hidup.

Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang tidak mampu buat keputasan untuk kebaikan dirinya dan isterinya. Setelah dia memberitahu isterinya tentang hasrat berkahwin lagi, isterinya meminta dia menceraikannya atau mengugut untuk bunuh diri.

Kerana sayangkan isteri dia batalkan perkahwinan keduanya. Suami ini memang tidak layak berkahwin lagi kerana tidak pandai mendidik isteri ke arah takut kepada Allah.

Kurang komunikasi dengan isteri secara baik, tidak melayakkannya berkahwin lain kerana keadaan yang sama akan berlaku kepada isteri yang baru. Suami ini akan selalu menyalahkan isterinya atas kegagalan rumah tangganya. Dia tidak ada masa untuk mendidik isterinya supaya takut dan bertaqwa kepada Allah. Atau isterinya tiada peluang untuk berbincang dengannya apa yang terbaik untuk rumah tangga mereka.

Kalau begitulah sikapnya, berapa ramai isterinya sekali pun, amalan yang sama akan berlaku. Salahnya bukan pada isteri tetapi kepadanya yang tidak pandai berkomunikasi yang terbaik. Dia mungkin boleh berkumunikasi dengan orang ramai apatah lagi wanita yang dia inginkan, tetapi itu sekadar lakonan. Nanti setelah menjadi isteri, semuanya akan terbongkar.

Tidak sayangkan isterinya mungkin berlaku setelah lama berkahwin apatah lagi setelah bertemu orang lain yang boleh dijadikan mangsanya. Lelakilah yang diibaratkan “habis madu sepah dibuang”. Kesan daripada tidak sayangkan isteri dia suka mendera isterinya. Padahal dia tidak pernah memberitahu isteri apa yang dia mahu kepada isteri untuk mengembalikan kasih sayang kepada isterinya.

Kalau dia tidak sayangkan isteri dalam keadaan itu, tidak mustahil setelah dia berkahwin dengan isteri baru, perkara yang sama akan berlaku. Dia juga akan rasa jemu kepada isterinya lalu tidak sayang kepadanaya. Penderaan juga akan dilakukan jika dia mahu. Oleh sebab itu dia tidak layak berpoligami. Jadi, mana-mana wanita yang mahu menerima tawaran poligami harus melihat sejarah bakal suaminya itu.

Isteri yang lebih kaya daripada suami malah isteri yang membiayai kehidupannya sememangnya tidak layak untuknya berkahwin lagi. Logiknya, kalau dia berkahwin lain, dengan apa pula dia boleh memberi nafakah kepada isteri barunya?

Putus hubungan dengan Allah merujuk kepada agama suaminya. Kalau si suami tidak pernah sujud kepada Allah atau sesekali sahaja sujud kepada Allah, bagaimana dia boleh berhubung dengan Allah. Mereka yang putus hubungan dengan Allah, dia akan putus hubungan dengan manusia.

Mereka ini akan gelap masa depannya kerana tidak dapat bantuan Allah. Jelas, lelaki ini tidak layak berpoligami kerana orang yang berpoligami adalah orang hampir dengan Allah.

Adakah anda layak?

Jika anda tersenarai sebagai tidak layak dan boleh membuat perubahan seperti yang dijelaskan di atas, tidak mustahil anda layak untuk berpoligami. Tapi ingat, bukan senang untuk berubah, kalau anda tidak benar-benar memiliki ciri-ciri orang yang layak seperti yang disenaraikan di atas.

Secara mudahnya saya nyatakan di sini, mereka yang layak ialah orang yang ada iman dan taqwa yang mendalam terhadap Allah. Oleh sebab itulah kalau anda lihat realiti pada hari ini, siapa yang berjaya dalam poligami. Kita boleh lihat di kampung-kampung pak lebai yang sering ke masjid ada empat isteri atau sekurang-kurangnya dua isteri.

Kalau kita pergi ke pondok-pondok pengajian, kita lihat tok-tok gurunya ada dua atau tiga isteri. Begitu juga ustaz-ustaz yang merata di dunia ini, boleh memiliki dua isteri atau lebih. Mereka ini sudah pasti memiliki ciri-ciri di atas. Yang pasti isteri mereka bahagia dengan suami mereka.

Mahukah anda jadi seperti mereka? Jika mahu tingkatkan iman dan taqwa. Untuk itu belajarlah dengan mereka yang berjaya. Wallahu aklam.

Pensyarah wanita kena tipu, rugi RM30,000

28 Safar 1432H.

KUANTAN - Angan-angan seorang pensyarah wanita sebuah kolej di sini untuk bertemu bakal pasangan hidupnya, Dr Bruce Burn dari Amerika Syarikat yang dikenali melalui laman sosial facebook lebur apabila lelaki itu sebenarnya watak yang sengaja dicipta penipu untuk memperdaya mangsanya. Lebih menyedihkan, wanita berusia 47 tahun dari Raub itu bukan sahaja tidak dapat menemui ‘pakar ortopedik’ itu, malah dia juga kerugian RM30,000.

Mangsa dihubungi pegawai Kastam bernama Baharum memberitahu warga Amerika itu ditahan pihak kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa wang RM25,000 selepas tiba ke negara ini 26 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Zaini Jass berkata, mangsa yang masih bujang itu diminta membayar wang tersebut bagi melepaskan ‘kekasihnya’ yang sebelum ini berjanji untuk menikahinya.

Menurutnya, mangsa membuat bayaran kepada melalui satu akaun bank milik seorang individu bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila pegawai kastam tersebut memaklumkan Bruce tidak dapat dibebaskan selagi dia tidak menjelaskan wang insuran sebanyak RM57,500.

“Mangsa mula curiga lalu menghubungi pejabat Kastam KLIA untuk penjelasan lanjut bagaimanapun dia terkejut apabila dimaklumkan tiada pegawai bernama Baharum di situ dan tiada sebarang penahanan warga asing dilakukan.

“Menyedari dia sudah tertipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub 27 Januari lalu,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam. Zaini berkata, mangsa mula berhubung dengan kekasih maya itu sejak 7 Januari lalu.

“Perkenalan mereka bertambah serius apabila ‘lelaki’ itu memberitahu sedang mencari pasangan untuk berkahwin selepas perkhidmatannya tamat 20 Januari lepas. “Malah Dr Bruce juga berjanji akan menetap di negara ini selepas berkahwin dengan mangsa sebelum memberitahu akan datang menemui wanita itu enam hari kemudian,” katanya.

Sinar/-

Sejuta suara gegarkan Mesir

28 Safar 1432H.

KAHERAH - Pemerintahan selama 30 tahun Presiden Mesir, Hosni Mubarak hampir pasti musnah selepas sejuta penduduk Mesir keluar menyertai protes terbesar menuntut beliau meletak jawatan, semalam.

Percubaan terdesak Mubarak bagi menyelamatkan jawatannya dengan melantik Kabinet baru hanya sia-sia selepas pemimpin angkatan tentera mengumumkan enggan menghalang penunjuk perasaan.

Penduduk Mesir mula berkumpul sejak awal pagi di Dataran Tahrir yang menjadi pusat utama protes yang masuk hari kelapan, semalam.

Demonstrasi besar-besaran bermula 25 Januari lalu dilaporkan telah meragut kira-kira 150 nyawa setakat ini.

Perkhidmatan kereta api antara bandar di negara itu turut dibatalkan dalam percubaan untuk menghalang orang ramai menuju ke pusat protes.

Keadaan di Dataran Tahrir sehingga petang semalam (waktu Mesir) terkawal dan tentera dilaporkan membuat rantaian manusia bagi melindungi penunjuk perasaan serta membuat pemeriksaan bagi menghalang senjata dibawa masuk ke dataran itu.

Tindakan kerajaan Mubarak memutuskan talian internet di seluruh negara juga tidak berjaya menghalang penunjuk perasaan daripada terus berjuang untuk menumbangkan pemerintahannya.

Sinar/-

Kenyataan Media : Jangan ada unsur balas dendam, segera bawa pulang semua rakyat Malaysia di Mesir.


28 Safar 1432H.
Kenyataan Media.

Berhubung dengan pergolakan politik yang berlaku di Negara Mesir yang telah mencecah tempoh hampir sebulan saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitannya:-

1. Saya sangat kesal dan masih tertanya-tanya apakah tindakan yang sebenarnya yang akan dilakukan oleh Kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan warga malaysia yang berada disana yang kebanyakannnya dari kalangan penuntut Malaysia yang belajar dalam berbagai jurusan.

2. Segala langkah yang diumumkan oleh PM Malaysia adalah sangat dihargai antaranya pengumuman membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara, namun saya rasa tindakan kepada pengumuman itu sangat lambat dan telah menimbulkan kebimbangan dan rasa kesal dari kebanyakan ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka dibawa keluar dari bumi Mesir secepat mungkin.

3. Umumnya mereka bercakap dan ingin melihat tindakan drastik dari pihak kerajaan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Taiwan dan China serta beberapa negara lain.

4. Keadaan keselamatan di Mesir yang bertambah buruk dan mendedahkan semua warga Malaysia yang berada di sana merupakan alasan yang sangat kuat kepada Kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan tindakan untuk membawa keluar warga Malaysia.

5. Saya yakin Kerajaan Malaysia mempunyai kewangan yang cukup serta wajar untuk membiayai usaha membawa pulang rakyat Malaysia.

6. Disamping itu kita mempunyai kementerian, agensi dan perwakilan yang cukup untuk menguruskan berbagai urusan yang berkaitan dengan usaha menyelamatkan warga Malaysia .

7. Akhirnya saya sangat berharap tidak ada apa-apa unsur balas dendam dan membiarkan segolongan rakyat Malaysia yang sedang menuntut ilmu di Mesir yang tidak menyokong UMNO dan BN kerana mereka telah memahami ajaran Islam yang sebenar. Sehinggakan segala usaha untuk membawa mereka semacam dilambatkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kenyataan Media , 2 Feb. 2011

Pengerusi Idham Care/
ADUN Titi Serong