03 Januari 2012

Dakwa dinikah malaikat


9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Saya pernah disampaikan ajaran songsang oleh selebriti itu, tetapi terpaksa menolaknya kerana didapati melanggar hukum syarak dan syariat,” kata Sudin, 40-an, antara individu yang pernah disampaikan dakyah palsu oleh Selebriti Sesat (SS) yang mengakui dirinya sebagai rasul.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan, seorang SS mengakui dirinya diutuskan sebagai seorang rasul bagi merahmati sekalian alam, mendakwa wujud sebelum Nabi Adam a.s, selain berada di barisan depan di Padang Mahsyar untuk memberikan syafaat kepada pengikutnya.

Menurut Sudin, selama dua bulan bersama SS, artis terbabit berbual dengannya hal agama berkaitan hakikat dan syariat, malah pernah disuruhnya tidak berpuasa dan bersolat kerana perlu kembali kepada hakikat.

Kata Sudin, biarpun selebriti berkenaan sudah beristeri, dia juga didakwa ada menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain kononnya malaikat yang nikahkan mereka.

“Saya beranggapan SS ibarat baru lahir terus masuk ke universiti, sama juga seperti dia belajar agama seorang diri seterusnya mengakui dirinya Rasul,” katanya.

Harian Metro

Anwar mulakan siri jelajah di Johor malam ini

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 3 Januari: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan siri jelajahnya ke beberapa negeri di semenanjung, bermula di Johor malam ini, .

Siri jelajah itu dirangka bagi memberi peluang setiap lapisan rakyat memperoleh maklumat sebenar mengenai kes Fitnah II, menjelang keputusan perbicaraan itu pada 9 Januari.

Selain menangkis fitnah yang dilakukan Umno, ketua pembangkang itu juga dijangkan mengupas isu-isu terkini serta perkembangan politik tanah air.

Beliau akan berucap di Serom 3, Ledang, Muar kira-kira jam 9.00 malam, dan Parit Samsu, Jalan Temenggong Ahmad, Muar kira-kira jam 11 malam.

Manakala esok, Anwar akan berucap di perkarangan Pejabat KEADILAN, Jalan Rahang, Negeri Sembilan jam 9 Malam sebelum beredar untuk sesi ceramah yang seterusnya di Taman Sin Hoe, Bukit Katil, Melaka jam 11 malam.

Pada hari Khamis pula, Anwar akan berada di dua lokasi di Kelantan iaitu di Pondok Padang Kala, Melor, Ketereh pada jam 7 malam dan Padang Majlis Daerah Macang, jam 10 malam.

Manakala keesokannya Anwar akan kembali semula ke Lembah Kelang dengan mengadakan ceramah di Dewan Gasing Indah, Seksyen 5, Petaling Jaya jam 9 malam dan Kompleks Sukan 3K, Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, Kelana Jaya jam 11 malam.

Pada hari sabtu pula, ketua pembangkang itu akan berada di tiga buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Pahang dan terengganu.

Beliau akan berucap di Madrasah An Nahdoh, Kubang Semang, Permatang Pauh jam 9 pagi sebelum bertolak ke Markas Pas, kampung Balok, Kuantan jam 3.30 petang.

Pada sebelah malam pula, Anwar akan berada di Hulu Terengganu iaitu di Pejabat KEADILAN Kuala Terengganu, Gong Kapas pada jam 9 malam dan Kampong Gaung, Kuala Berang jam 9 malam.

Pada hari Ahad, beliau akan berucap di kediamannya di Bukit Segambut, jam 7 petang, sebelum ke Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung baru jam 9 malam. Beliau akan meneruskan pidato terakhirnya di dewan orang Ramai Kampung pandan, jam 11 malam.

Keadilan Daily

Saya bangga ada anak menantu yang begitu

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Jan: "Saya bangga ada anak dan menantu yang sebegini dan saya harap ramai lagi mahasiswa yang akan bangkit untuk memperjuangkan yang hak."

(Puan Mariam ketika bercakap kepada para pemberita)

Demikian kata Puan Mariam Abdul Rashid, ibu mertua kepada Muhammad Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Puan Mariam berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat menantunya Safwan yang baru keluar dari hospital.

Ketika bercakap kepada media, Safwan berkata, dia ditumbuk sekali di bahagian muka dan ditendang dengan lutut oleh anggota polis.

Kejadian itu berlaku apabila beliau cuba membebaskan rakannya yang sedang diheret oleh polis di malam tahun baru 2012 di Univerisiti Perguruan Sultan Idris.

"Bangga..." kata Puan Mariam sambil tersenyum kepada wartawan yang bertanya kepada beliau tentang Safwan yang terpaksa diusung ke hospital selepas dipukul.

"Dia menantulah dan anak saya juga seorang aktivis pelajar," kata Puan Mariam.

"Bangga..sebab mereka sangat berani untuk memperjuangkan yang hak dan juga untuk membela nasib yang lain.

"Walaupun kita rasa agak sedih dengan kejadian yang berlaku....menyebabkan kecederaan dan sebagainya.

"Kita sangat kesal dengan tindakan polis terhadap mahasiswa yang sepatutnya diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi sebaliknya berlaku begitu...itu sahaja," kata Puan Mariam.

Namun Puan Mariam sekali lagi menyambung dengan berkata, "Saya bangga ada anak dan menantu yang begitu....."

Harakah Daily

Guru Pasti P.Pinang dapat RM600 seorang

9 Safar 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 3 Jan: Seramai 214 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Pulau Pinang tersenyum lebar apabila pengurusan Pasti Negeri Pulau Pinang bersama Dewan Pemuda PAS Negeri bertindak menyalurkan bantuan kewangan RM600 seorang sebagai hadiah tahun baru 2012.

Pemberian itu diserahkan pada satu majlis khas yang diadakan di sini semalam.

Hadir sama menyampaikan sumbangan ialah Pengarah Pasti Negeri Nazarudin Awang Hamat, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Yusni Mat Piah, Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein, Pengerusi Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri, Hafiz Kasim dan Setiausaha Kerja Pasti Negeri, Shukri Mohd Tauzin.

Bagi Guru Pasti Sembilang, Permatang Pauh, Zurida Ismail, (gambar kanan) pemberian itu sekaligus menyemarakan semangat mereka untuk terus menyambung perjuangan mendidik anak bangsa mengenali agama Islam.

"Sebagai guru Pasti rasa syukur dengan keprihatinan yang ditunjukan oleh Pasti dan Dewan Pemuda PAS Negeri terhadap jasa dan pengorbanan guru yang selama ini mengajar tanpa rasa jemu," jelasnya.

Cikgu Jamilah Sharif dari Pasti Tasek Mutiara, Nibung Tebal pula menyifatkan pemberian tersebut sebagai 'ole-ole tahun baru' untuk memupuk semangat guru agar lebih menumpukan perhatian sebaik mungkin kepada proses pendidikan pelajar.

"Kerelaan guru Pasti samada yang masih menabur bakti atau bekas guru amat disanjung oleh semua pihak kerana dari sinilah kanak-kanak diajari dengan pengenalan Islam sebagai bekalan bila besar nanti, " katanya yang sudah 10 tahun bersama Pasti.

Noralyn Jamiri dari Pasti At Taqwa, Butterworth menambah, memang tidak dinafikan kanak kanak bukan sahaja memerlukan belaian kasih sayang dari ibubapa tetapi juga memerlukan makanan rohani daripada seorang guru.

Tanpa guru yang membimbing sambungnya, para pelajar yang membesar terutamanya di kawasan bandar mudah terpengaruh perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh agama.

Harakah Daily

Pemuda PAS persoal siswa cedera buat sendiri

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mengutus surat kepada Ketua Polis Negara sebagai menyatakan kekesalan terhadap insiden di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada malam ambang tahun baru lalu.

Dalam surat kepada Tan Sri Ismail Omar itu, Naib Ketua DPPP, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss turut menyatakan bantahan terhadap kenyataan Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mendakwa kecederaan beberapa Mahasiswa adalah disebabkan perbuatan mereka sendiri.

"Persoalan kami, mustahil kecederaan dengan sebelas jahitan berlaku dengan perbuatan sendiri?

"Mustahil juga kecederaan yang berlaku dirusuk Mahasiswa tersebut adalah perbuatan sendiri dan mustahil juga seorang Mahasiswa pecah mulutnya dengan perbuatan sendiri," soalnya sambil menambah sepatutnya Ketua Polis Perak mengemukakan bukti atas tuduhan tersebut.

Dalam insiden awal pagi 1 Januari lalu, dua mahasiswa dilaporkan cedera teruk ketika pihak polis cuba meleraikan Himpunan Kebebasan Akademik (Bebas) yang disertai kira-kira 70 mahasiswa si hadapan pintu masuk UPSI.

Mereka adalah Muhammad Safuwan Anang dan seorang lagi Amar Rasyidi.

Selain itu, 17 daripada mereka juga ditahan polis dan dibebaskan pada petang hari yang sama selepas diambil keterangan.

Bagaiamanapun, ketua polis Perak pada satu sidang media menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan apatah lagi mencederakan mahasiswa tersebut.

Menurutnya, kecederaan yang menimpa mahasiswa tersebut adalah akibat perbuatan mahasiswa itu sendiri.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad juga menasihatkan pihak polis agar jangan mengulangi insiden yang pernah berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mencederakan dirinya sendiri dalam insiden 'mata lebam' dan akhirnya terbongkar ianya dialkukan pihak lain.

"Kami berharap tiada unsur ‘menipu’ di dalam insiden ini dan Polis perlu jujur di dalam menjalakan tanggungjawab yang diberikan.

"Kami mendesak agar satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan di atas kenyataan penafian Ketua Polis Perak tersebut," katanya yang juga mahu Suruhanjaya Asasi Manusia (Suhakam) turut dilibatkan di dalam suruhanjaya itu.

Himpunan ambang tahun baru itu adalah anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Selain itu, mereka mendesak agar penuntut UPSI, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Disember lepas, tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan.

Harakah Daily

Tatatertib: Adam Adli bincang dengan peguam

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim belum memutuskan sama ada akan hadir atau tidak ke sesi pendengaran hukuman tatatertib terhadapnya, 9 Januari ini.

Adam sebaliknya berkata, beliau akan berbincang dengan pihak peguam sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan bincang dengan peguam dahulu, belum ada keputusan rasmi setakat ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) itu menerima notis tindakan tatatertib oleh UPSI berhubung tindakannya menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan bangunan Umno, 17 Disember lalu.

Adam menurunkan bendera muka Najib beberapa minit dengan menggantikannya dengan bendera Kebebasan Akademik selepas menyerahkan memorandum menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ditanya pendiriannya berhubung notis tindakan tatatertib tersebut, Adam berkata, beliau bersedia "berlawan" dengan pihak pentadbiran UPSI kerana yakin tindakannya itu bukan satu jenayah.

"Prinsip saya, saya akan terus lawan walau apa pun yang terjadi. Sama ada berdepan dengan HEP atau tidak, saya akan terus lawan," tegasnya yang turut ditahan polis bersama 16 yang lain selepas terlibat dengan demonstrasi di hadapan UPSI Sabtu lalu.

Demonstrasi itu bagi mendesak Adam dibebaskan daripada sebarang tindakan tatatertib dan menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata, notis tindakan tatatertib kepada Adam akibat penyertaannya dalam demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi.

Harakah Daily

5 hari Lajnah Penerangan PAS di Sabah dan Sarawak

9 Safar 1433H. [MOD] -

Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat telah mengadakan lawatan kerja ke Sarawak dan Sabah bermula 28 Disember 2011 sehingga 1 Januari 2012 yang lalu. Tujuan lawatan ini diadakan ialah sebagai persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang di kawasan-kawasan yang PAS bertanding.

Seramai 15 orang rombongan diketuai oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan turut disertai oleh Timbalan Pengerusi 1 Lajnah, YB Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Timbalan pengerusi 2 Lajnah, Ustazah Nuridah Salleh, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh-Ketua Penerangan Dewan Ulama' PAS Pusat, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki- Setiausaha Lajnah, YB Dr Mohamad Fadzli Hassan- Exco Penerangan Negeri Kelantan, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat, Ustazah Salbiah Wahab & Ustaz Solehin Mokhyi, AJk Lajnah, Mohd Shahir-Pegawai tadbir Penerangan dan lain2.

Di Sarawak,rombongan telah disambut oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak Tuan Hj Adam Ahid dan AJK beliau. Ahli-ahli rombongan telah berpecah kepada beberapa kumpulan iaitu Sebuyau, Batang Sadong, Kuching dan Miri, iaitu di kawasan yang mana PAS akan bertanding dalam pilihanraya umum nanti.

Di DUN Sebuyau yang diketuai Ustaz Tuan, acara yang diadakan ialah Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh di Surau Kg Masjid dan Jamuan bersama rakyat, dan program ziarah. Rombongan telah menziarahi dan beramah mesra dengan penduduk-penduduk di Pekan Sebuyau dengan bersarapan bersama mereka di sebuah kedai kopi yang menjadi tumpuan penduduk di situ.

Kemudian, rombongan telah menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur berumur 90 tahun yang juga ibu saudara kepada Pesuruhjaya PAS Sawarak Hj Adam Ahid, serta menziarahi rumah sebuah keluarga yang mana suaminya baru meninggal dunia sehari sebelum itu. Pada malamnya, semua ahli2 rombongan telah berkumpul kembali di Kuching kerana diadakan pertemuan antara pimpinan PAS dengan tenaga penggerak PAS Sarawak.

Di Sabah pula, rombongan telah berpecah juga kepada tiga kumpulan iaitu ke Kota Kinabalu, Tawau dan juga Sandakan.Di Sandakan rombongan telah disambut oleh YDP PAS Batu Sapi Tuan Haji Hamzah selaku YDP PAS Batu Sapi dan jawatankuasa kawasan.

Program pertama yang diadakan ialah program Hi-Tea di Kampung Lupak Meluas bersama penduduk-penduduk kampung. Dalam majlis itu kesemua pimpinan yang berucap telah berpesan kepada penduduk supaya berani membuat perubahan yang besar dalam PRU akan datang iaitu dengan mengundi PAS bagi memastikan nasib penduduk2 di Negeri Sabah ini terbela. Kemudian slot kuliah Maghrib diisi di beberapa buah masjid dan surau iaitu Masjid Lupak Meluas, Masjid Sundang Laut, Masjid Karamunting dan Surau Kampung Gas. Setelah selesai, diadakan pula ceramah kelompok di Kampung Gum Gum, 25 km dari bandar Sandakan.

Pada 31/12/2011, setelah mengisi slot kuliah Subuh di beberapa buah masjid di sekitar Sandakan, rombongan dibawa pula menziarahi Pulau Shanghai dan Pulau Tronglit. Walaupun cuaca tidak menentu kadangkala panas, kadangkala hujan lebat serta air laut pasang dan agak bergelora, namun ia tidak melemahkan semangat ahli rombongan yang diketuai oleh Ustaz Dato Tuan, Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Nik Zawawi.

Sayu terasa di hati melihat kedhaifan penduduk di kedua pulau tersebut. Mereka seolah2 dilupakan kebajikannya oleh Kerajaan Barisan Nasional. Para pimpinan telah berpesan kepada pnduduk kedua pulau tersebut supaya berani membuat perubahan dengan mengundi PAS. Apa sahaja yang akan BN bagi pada masa akan datang boleh diambil kerana ia adalah hak rakyat, namun hati perlu bertekad dan bulat untuk menyokong calon PAS.

Setelah itu pimpinan menyampaikan sedikit bantuan kepada pnduduk di kedua pulau tersebut yg disumbangkan oleh PAS batu Sapi dan PAS Sandakan. Di sebelah malamnya pula, sesi kuliah Maghrib terus diadakan di Masjid2 sekitar Sandakan, dan program edar risalah tahun baru di Bandar Sandakan.

Pada pagi tahun baru 2012, dimulakan dengan perasmian PASTI Sayydina Ali di Sim-Sim serta upacara tahnik dua orang bayi, anak kepada aktivis PAS di sana. Pada waktu petang diadakan perjumpaan dalaman bersama PAS Batu Sapi dan PAS Sandakan di Rumah Ustaz Mahdzir Bendahari PAS Kawasan, sebelum ke lapangan terbang Sandakan utuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Harakah Daily

Lajim Ukin mahu keluar Umno?

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 3 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin jika mahu keluar daripada Umno BN.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, jika benar dakwaan itu, tindakan yang dibuat oleh ahli parlimen itu sekaligus memberi petanda bahawa Umno BN juga ditolak oleh pemimpinnya sendiri.

“Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan beliau untuk keluar daripada Umno BN.

“Ini merupakan petanda bahawa, Umno BN tidak hanya ditolak oleh rakyat tetapi termasuklah pemimpinnya sudah meragui kewibawaan parti itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Lahirul, pihaknya turut mempelawa Datuk Seri Lajim untuk bersama-sama perjuangan Pakatan Rakyat bagi membela nasib dan taraf hidup rakyat Sabah.

“Kita pelawa beliau untuk sama-sama dengan Pakatan Rakyat. Beliau sudah sedar apabila bersama UMNO/ BN masih tidak berubah.

“Yang berubah ialah pemimpin-pemimpin Umno BN,” ujar Lahirul.

Lajim, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini diwar-warkan akan keluar dariUmno dan akan mengetuai satu front baru yang dikenali sebagai SPF sebagaimana yang telah dilaporkan di media massa perdana.

Desas desus mengatakan demikian semakin kuat apabila tindakan Lajim menghadiri majlis sambutan Krismas bekas wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk John Ghani yang turut dihadiri beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Naib Presiden PKR, N. Surendran dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tambah Lahirul, sifat pemimpin Umno BN yang tidak mengenang budi dengan jasa-jasa Lajim yang telah memberi kuasa kepada Umno BN untuk memegang tampuk pemerintahan Sabah sekitar tahun 1994 lalu juga menyaksikan bahawa parti itu dalam dilema dan perpecahan.

“Tindakan berani Lajim melompat daripada PBS kepada Umno bersama beberapa rakannya yang lain telah memberi laluan Umno mendapat majoriti mudah mentadbir negeri,” jelasnya.

Harakah Daily

Lima sekeluarga dibunuh kejam di Sibu

9 Safar 1433H. [MOD] -

SIBU - Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak ditemui dibunuh dengan kejam di rumah mereka di RTM Road Lane 13B1 di sini kira-kira 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga emas berusia 80 tahun, anak lelakinya yang merupakan ahli perniagaan berusia 36 tahun serta tiga anaknya iaitu seorang perempuan berumur 10 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun.

"Anak yang bongsu meninggal dunia dunia di Hospital Sibu sejurus selepas tiba untuk rawatan akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Shafie berkata polis percaya pelaku lebih daripada seorang dan mereka menggunakan objek tumpul dan objek tajam untuk membunuh mangsa.

Satu sidang media akan diadakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Law Hong Soon petang ini berhubung kes itu, katanya.

Sinar Harian

Suspek kes dera berjaya ditahan polis

9 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis, seorang pekerja barang lusuh yang dipercayai terbabit dengan kes penderaan, berjaya ditahan polis dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia (RELA).

Menurut jurucakap polis, suspek yang berumur 49 tahun itu berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri di Pasar Jelutong pada pukul 12.30 pagi tadi.

Katanya, suspek turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepalanya untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil dan lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal.

"Lelaki itu telah dibawa ke balai polis Jelutong untuk soal siasat dan dijangka dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan hari ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi di sini pagi tadi, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata kes itu akan di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung dalam sebuah rumah di Jalan Perak.

Budak itu disyaki mangsa dera oleh bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula pukul 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi.

Kanak-kanak itu kini masih mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya.

Sinar Harian

Pesan Anwar Kepada Rakyat

9 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 JAN : Mengira beberapa hari sahaja lagi menuju keputusan kes mahkamahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada rakyat walau apa pun berlaku jangan pernah berhenti desak perubahan.

Tegas Anwar, Barisan Nasional (BN) silap sekirannya berfikir bahawa mereka selamat dengan memenjarakan beliau.

"Teruskan perjuangan ini, teruskan membela rakyat yang dizalimi.

"Keutamaan adalah memenangkan Pakatan Rakyat (PR), perbincangan apa terjadi kepada Anwar adalah perkara kedua,"katanya.

Tambahnya persoalan samada beliau ada didalam penjara atau diluar tidak penting sekiranya rakyat dan Pakatan masih utuh memilih beliau mengalas jawatan perdana menteri.

Dalam pada itu, beliau penuh yakin bahawa gagasan Pakatan Rakyat akan menduduki Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata demikian dalam sesi Temubual Khas, Fokus Berita terbitan TVSelangor, di sini pagi tadi.

tv selangor/-

Kes Anwar: Pakatan himpun 100,000 ahli

9 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) dijangka menggerakkan 100,000 ahlinya bagi menyokong kempen Bebas Anwar 901 di pekarangan kompleks mahkamah Jalan Duta di sini Isnin depan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, sokongan padu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan diterjemahkan dalam pehimpunan besar-besaran itu nanti.

"Kita tidak takut untuk menggerakkan perhimpunan ini kerana ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membenarkan kita berhimpun secara aman.

"Pada perhimpunan itu nanti, kita sediakan garis panduan kepada nereka supaya mematuhi peraturan dengan tidak membawa senjata tajam dan seumpamanya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu akan tetap diteruskan walaupun berisiko berhadapan dengan tindakan undang-undang dan dihalang pihak berkuasa.

"Kita sudah lali dengan kenyataan berbentuk ancaman dari pihak berkuasa ini. Kenyataan polis begini sudah banyak kali kita dengar.

"Di mana-mana negara pun, kita diingatkan supaya berfikir di luar kotak pemikiran. Gaji mereka (polis) pun rakyat yang bayar," katanya.

Abd Rani berkata, semua ahli dan penyokong PR dijemput hadir pada perhimpunan besar-besaran itu nanti.

"Pas akan laksanakan mobilisasi terbesar. Sekiranya dijangka 100,000 orang, maka 100,000 yang akan turun pada 9 Januari nanti," katanya.

Sinar Harian

Guru Pasti P.Pinang dapat RM600 seorang

9 Safar 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 3 Jan: Seramai 214 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Pulau Pinang tersenyum lebar apabila pengurusan Pasti Negeri Pulau Pinang bersama Dewan Pemuda PAS Negeri bertindak menyalurkan bantuan kewangan RM600 seorang sebagai hadiah tahun baru 2012.

Pemberian itu diserahkan pada satu majlis khas yang diadakan di sini semalam.

Hadir sama menyampaikan sumbangan ialah Pengarah Pasti Negeri Nazarudin Awang Hamat, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Yusni Mat Piah, Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein, Pengerusi Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri, Hafiz Kasim dan Setiausaha Kerja Pasti Negeri, Shukri Mohd Tauzin.

Bagi Guru Pasti Sembilang, Permatang Pauh, Zurida Ismail, (gambar kanan) pemberian itu sekaligus menyemarakan semangat mereka untuk terus menyambung perjuangan mendidik anak bangsa mengenali agama Islam.

"Sebagai guru Pasti rasa syukur dengan keprihatinan yang ditunjukan oleh Pasti dan Dewan Pemuda PAS Negeri terhadap jasa dan pengorbanan guru yang selama ini mengajar tanpa rasa jemu," jelasnya.

Cikgu Jamilah Sharif dari Pasti Tasek Mutiara, Nibung Tebal pula menyifatkan pemberian tersebut sebagai 'ole-ole tahun baru' untuk memupuk semangat guru agar lebih menumpukan perhatian sebaik mungkin kepada proses pendidikan pelajar.

"Kerelaan guru Pasti samada yang masih menabur bakti atau bekas guru amat disanjung oleh semua pihak kerana dari sinilah kanak-kanak diajari dengan pengenalan Islam sebagai bekalan bila besar nanti, " katanya yang sudah 10 tahun bersama Pasti.

Noralyn Jamiri dari Pasti At Taqwa, Butterworth menambah, memang tidak dinafikan kanak kanak bukan sahaja memerlukan belaian kasih sayang dari ibubapa tetapi juga memerlukan makanan rohani daripada seorang guru.

Tanpa guru yang membimbing sambungnya, para pelajar yang membesar terutamanya di kawasan bandar mudah terpengaruh perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh agama.

harakahdaily/-

Wanita cari bapa kandung

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA TINGGI – Seorang wanita merayu orang ramai supaya membantunya mengesan bapa kandungnya, Dol Mohamad Amin, yang terpisah sejak dilahirkan.

Zulnaidah Dol, 37, berkata, dia mencari bapanya itu un­tuk menjadi wali per­­nikahan yang sepatutnya berlang­sung pada 11 Disember lalu.

Dia yang kini menetap di Kampung Gembut, Tanjung Sedili dekat sini berkata, sejak bercerai dengan ibunya, bapanya tidak pernah datang menjen­guk malah saudara maranya juga tidak tahu di mana ayahnya berada hingga kini.

“Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek, malah saya tidak pernah sekalipun melihat wajah ayah sejak dari kecil.

“Sebaik saya dilahirkan, kami terpisah kerana ibu dan bapa bercerai dan saya mengikut ibu tinggal bersama nenek di Kampung Gembut.

“Ketika saya berusia empat tahun, ibu pula berkahwin baru dan terus menghilangkan diri tanpa khabar berita sehinggalah hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, dia yang kini tinggal berdua bersama neneknya berusia 84 tahun begitu memerlukan kehadi­­ran bapanya untuk melangsungkan perkahwinan yang sebelum ini telah ditunda.

“Bagi melangsungkan per­­kahwinan bersama lelaki pilihan, saya memerlukan kehadi­ran ayah agar dapat mewalikan pernikahan kami. Jika ada sesiapa mengenalinya diharap segera menghubungi di talian 011-14797545,” katanya.

Zulnaidah berkata, perkahwinannya beberapa kali tertangguh berikutan gagal mengesan bapanya untuk menjadi wali.

“Jabatan agama menyarankan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar sebelum melantik wali hakim.

“Meskipun tidak pernah bertemu dengannya, saya berharap dia muncul dan menjadi wali pernikahan saya,” katanya.

Sinar Harian

Taktik sembunyi di hotel gagal

9 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – Tindakan licik seorang suspek kejadian pecah rumah bersembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini gagal apabila dia dicekup polis kurang daripada 12 jam selepas melakukan kegiatan itu.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu lalu di Taman Seri Unas, Parit Jawa, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 24 tahun dari Masai, dipercayai sudah lebih setahun bergiat aktif dalam jenayah berkenaan.

Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan aduan yang dibuat mangsa iai­tu seorang lelaki berusia 43 tahun yang menyedari rumahnya telah dipecah masuk setelah beberapa barangan terma­suk kereta jenis Honda City miliknya hilang.

“Mangsa yang membuat pe­meriksaan di rumahnya men­­dapati tiada kesan umpil pada pintu rumah, tetapi mangga pintu telah dilarikan dan segera membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran kira-kira jam 8.30 pagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohamad Nasir berkata, kepantasan polis akhirnya berjaya menjejaki suspek yang ber­­sembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini bersama kereta Honda City milik mangsa yang dilaporkan hilang.

Jelasnya, dalam tangkapan tersebut polis menjumpai dua telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, kamus elek­tronik, lima jam tangan pelbagai jenama, dua pendrive, dua telefon bimbit dan satu pemain cakera padat di­gital(DVD).

“Turut dijumpai tiga kunci kereta jenis proton, Perodua dan Honda, dua dompet yang mengandungi wang tunai dan alat memeriksa tekanan darah dipercayai milik mangsa-mangsa pecah rumah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan juga menjumpai sepana pelbagai sa­­iz, tukul besi, pemutar skru dan anak kunci yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah.

Bagaimanapun, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kereta yang dilaporkan.

“Polis percaya suspek bergerak secara kumpulan dan akan menjejaki saki baki kumpulan tersebut.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Lori terjunam

9 Safar 1433H. [MOD] -

PELABUHAN KLANG - Tindakan nekad seorang pemandu melompat keluar ketika lori kontena dipandunya menjunam ke bawah jejantas berjaya menyelamatkan dirinya daripada terbunuh.

Dalam kejadian di jejantas dari Lebuhraya Kesas ke Pelabuhan Klang di sini, petang semalam, Madhialogan, 38, parah selepas tercampak ke jalan raya sejurus melompat keluar kenderaannya itu.

Madhialogan disifatkan cukup bernasib baik kerana pada masa dia melompat tiada kenderaan melalui jalan berkenaan.

Dalam masa yang sama lori kontenanya membawa muatan yang belum diketahui kandungannya terus terhumban ke bawah jejantas yang berketinggian kira-kira 15 meter berkenaan.

Sebelum terhumban, tangki minyak lori kontena juga pecah menyebabkan diesel tumpah di atas jalan raya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Zaimi Samad berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan kejadian sekitar jam 3 petang.

“Kita menerima maklumat berkaitan tumpahan minyak dan sebaik tiba di lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan tujuh anggota, kami terkejut melihat sebuah lori kontena berada di bawah jejantas.

“Ketika kita tiba, pemandunya sudah dikejarkan ke hospital oleh orang awam berikutan kecederaan parah yang dialami mangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kenderaannya juga mengalami kerosakan teruk hingga tangki minyaknya pecah dan memenuhi jalan raya di situ.

“Justeru itu, kita bertungkus lumus untuk mengawal laluan dan mengambil masa kira-kira setengah bagi membersihkan laluan ini yang berbahaya kepada kenderaan ringan,” katanya.

Sinar Harian

14 remaja ditahan, tidur berpasangan dalam satu bilik

9 Safar 1433H. [MOD] -

BATU FERINGGHI - Sebuah hotel bajet di sini, menjadi sarang maksiat malam tahun baru berikutan penangkapan beberapa pasangan remaja di situ.

Ketua Operasi dan Penguatkuasaan Jaipp Tanjong, Muadz Md Nazan berkata, pihaknya menahan 14 remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun di hotel berkenaan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu berkhalwat.

“Dipercayai kesemua mereka ini datang berkonvoi ke Pulau Pinang sempena Tahun Baru 2012 kali ini, dan ada juga di antaranya ketika ditahan tidur secara berpasang-pasangan dalam sebuah bilik.

“Malah, dalam satu bilik yang kami tahan ada sehingga dua atau tiga pasangan kekasih, kalau yang tidur bilik lelaki dan perempuan asing-asing tidak mengapa, namun mereka tidur bersama-sama dalam satu bilik pula,” katanya.

Hotel bajet berkenaan boleh disewa dengan harga RM60 hingga RM100 semalam membuatkan mereka mampu untuk membayarnya dengan harga yang murah.

Bukan itu sahaja, dipercayai sebelum ini beberapa serbuan juga dilakukan di tempat berkenaan.

Muadz berkata, kebanyakan yang ditahan datang dari luar Pulau Pinang.

“Kebanyakan mereka ini tidak tahu penguatkuasaan yang dilakukan Jaipp atas kesalahan khalwat, kerana masing-masing bertanya kepada kami kenapa mereka ditangkap dan penguat kuasa kami memberikan penerangan dengan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi maksiat yang bermula jam 12 tengah malam itu kemudiannya berakhir pada jam 7 pagi dengan 11 penguat kuasa di bahagian Tanjong.

Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi dan kemudiannya diikat jamin oleh waris. Dalam tempoh seminggu semuanya perlu hadir ke pejabat Jaipp bersama ibu bapa bagi menjalani siasatan lanjut.

Jika disabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaipp, Jaafar Ismail berkata, penguat kuasa Jaipp berjaya menahan 36 pesalah mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 29 akibat kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Katanya, ia adalah tangkapan terbesar bagi tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

“Ini kerana kami membahagikan kumpulan penguat kuasa kepada dua iaitu di bahagian Seberang Perai dan juga di kawasan pulau ataupun Tanjong.

“Operasi bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi dengan 20 penguat kuasa Jaipp.

“Bagaimanapun penguat kuasa kami akan menjalankan operasi bagi dua-dua kesalahan ini setiap malam dan bukan sahaja memfokuskan hari-hari tertentu sahaja,” katanya.

Sinar Harian

PKR sasar 100, 000 turun himpunan 9 Jan

9 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 Jan: PKR hari ini menyatakan pendirian mereka untuk tetap mengadakan himpunan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, bagi mendengar keputusan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah dalam satu sidang media hari ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata seluruh pemimpin Pakatan akan hadir pada hari tersebut.

"Insya-Allah, saya, seluruh pimpinan (Pakatan) dan seluruh rakyat Malaysia akan hadir menyatakan sokongan dan bersama-sama Datuk Seri Anwar pada hari tersebut," katanya selepas memberi taklimat kepada Majlis Pimpinan Pusat.

Turut serta pada sidang media itu semua ahli parlimen dan Adun PKR termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman.

Menurut Azmin lagi, Pakatan akan menggerakkan sekurang-kurangnya 100,000 penyokong untuk hadir pada hari itu.

"Kerjasama juga akan diberikan oleh PAS yang akan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman yang mana beliau akan melaksanakan susun atur bagi ahli-ahli PAS Selangor dan seluruh Malaysia.

"Manakala untuk DAP, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mengadakan perbincangan dengan DAP," jelasnya lagi.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memberitahu walau apa pun keputusan yang diumumkan, Pakatan dan PKR telah bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat.

Katanya, Pakatan Rakyat akan terus istiqamah meneruskan perjuangan murni ini selaras dengan apa yang terkandung dalam Agenda Ekonomi Malaysia, Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat.

Sementara itu Dr Abd Rani berkata beliau berharap pihak keselamatan dapat mengawal keselamatan rakyat yang akan berhimpun secara aman pada hari tersebut.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang akan hadir agar tidak membawa sebarang benda tajam atau sebarang senjata lain pada hari tersebut.

harakahdaily/-

Pas Kelantan tetap pertahan hudud: Mohd Amar

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan pertahankan hukum hudud yang ingin dilaksanakan dengan menegaskan dasar perjuangan parti itu masih kekal walaupun bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari sudut agama terdapat dua pendapat mengenai hukum hudud sekiranya dijalankan melibatkan seluruh rakyat di sesebuah negeri.

“Terdapat pula pandangan orang bukan Islam mempunyai pilihan berdasarkan al-Quran dan amalan-amalan Nabi Muhammad SAW. Kelantan memilih pendapat kedua dan ketika penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dilakukan ia mengambil kira
pandangan semua pihak yang sebahagian besar adalah ulama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad bahawa mendakwa perjuangan Pas kini menyeleweng perjuangan asal parti itu termasuk sanggup bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Wan Ismail dilaporkan berkata akibat penyelewengan itu, Pas menggubal Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah dengan memberi pilihan kepada bukan Islam sama ada mahu menerima hudud atau tidak Mohd Amar yang Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan berkata, adalah jelas perlembagaan Pas kekal dan perlembagaan parti yang menentukan hala tuju sesebuah parti.

Katanya, walaupun pendekatan dan strategi parti mungkin berubah tetapi dasar dan matlamat perjuangan Pas kekal sehingga kini.

Sinar Harian

Kes kepala khinzir dekat masjid, empat lelaki ditahan

9 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BHARU - Polis menahan empat lelaki semalam bagi membantu siasatan berhubung penemuan tengkorak dan daging yang dipercayai khinzir di luar pagar Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang berumur 15 hingga 33 tahun itu ditahan awal pagi semalam di sekitar bandar raya ini oleh pasukan khas bagi menyiasat kes itu, yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.

"Polis dalam menjalankan siasatan kes berkenaan telah merakamkan percakapan

13 individu setakat ini. Polis juga ingin mengesan seorang lelaki berumur 40an bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Mohd Mokhtar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Beliau berkata berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan Pejabat Veterinar Sepang, Selangor bagi mengesahkan sama ada tengkorak dan cebisan daging itu adalah khinzir atau sebaliknya.

Jumaat lepas, jemaah Masjid Al-Falah berkenaan terkejut dengan penemuan tengkorak dan daging yang dipercayai khinzir itu yang diletakkan di dua lokasi di masjid berkenaan.

Dalam kejadian pertama, kira-kira pukul 4.45 petang, Khamis lepas, empat kepala dipercayai khinzir itu ditemui di pagar belakang masjid berkenaan manakala lima lagi kepala dipercayai haiwan yang sama ditemui kira-kira pukul 6.30 pagi esoknya, di perkarangan luar pintu masuk masjid oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

sinar harian/-

Tak sempat jamah sarapan

9 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pengurus pengebumian untuk menjamu selera tidak kesampaian apabila mati ditembak dari jarak dekat di sebuah kedai kopi di Jalan Nakhoda, Taman Ungku Tun Aminah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.13 pagi itu, Ong Chin Loo, 48, seorang lelaki yang memakai topi keledar menghampiri mangsa dan menembaknya dengan pistol jenis automatik ketika dia hendak bersarapan seorang diri.

Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, selepas menembak mangsa, suspek berlari ke arah motor yang diletakkan di belakang kedai.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, mangsa mati di tempat kejadian.

“Suspek yang memakai topi keledar melepaskan tembakan ke arah badan mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Kami turut menemui enam kelongsong peluru.

“Kami masih lagi menyiasat motif pembunuhan dari semua sudut. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan sedang diteliti.

“Buat masa ini, kami menahan dua lelaki untuk membantu siasa­tan. ­Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Sanggup ugut ibu kerana wang

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup mengugut akan mencederakan ibu kandungnya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau gara-gara permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.

Bagaimanapun, Mohd Arbain Mustafa, 29, menerima balasan apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh yang berasal dari Kampung Undang, Bukit Payong, Marang, itu mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Mohd Arbain, anak sulung daripada tiga beradik itu mengaku telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Maznah Ismail, 49, dengan mengugut bertujuan untuk menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah pisau.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu antara 26 Disember jam 9 pagi dan 30 Disember tahun lalu jam 10.27 pagi di kediaman mereka di Kampung Undang, Bukit Payong, Marang.

Dengan itu, Mohd Arbain didapati telah melakukan kesalahan yang memperuntukkan penjara sehingga sampai tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Arbain tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Disember tahun lalu kira-kira jam 5 pagi, mangsa iaitu ibu tertuduh pulang ke rumah mereka dan terkejut setelah mendapati keadaan di dalam rumah berselerak.

Mangsa telah diberitahu oleh adiknya yang turut tinggal serumah dengan mereka bahawa anak sulungnya iaitu tertuduh yang melakukan semua itu semasa ketiadaan mangsa di rumah.

Mangsa yakin tertuduh menga­muk disebabkan sebelum ini iaitu di antara 26 Disember jam 9 pagi dan 30 Disember tahun lalu, Mohd Arbain telah mengugut meminta wang dengan menggunakan sebilah pisau namun permintaan itu tidak diendahkan.

Bimbang perkara yang tidak diingini itu mungkin bakal berlaku lagi, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering dan pada 1 Januari lalu kira-kira jam 11.50 pagi, Mohd Arbain telah ditangkap polis di kediaman mereka.

Selain itu, polis turut merampas sebilah pisau yang diletakkan di atas rak di ruang tamu rumah, dipercayai telah digunakan untuk mengugut mangsa.

Sinar Harian

Tidak solat selepas gaduh dengan isteri

9 Safar 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang suami, mengaku tidak pernah mengerjakan solat selepas bergaduh dengan isterinya.

Ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Baling, Syeikh Muhamad Soleh Salim, Mohd Noor Izwan Esa berkata, dia memang tidak bersolat akibat masalah dalam rumah tangga.

“Pagi tadi kamu solat Subuh tak? tanya Syeikh Muhamad Soleh.

“Tidak,” jawab Mohd Noor Izwan ringkas.

Syeikh Muhamad Soleh berkata, solat tidak boleh ditinggalkan kerana ia adalah perintah ALLAH SWT dan menjadi tiang agama.

“Sekiranya solat ditinggalkan, kehidupan kita tidak akan diberkati Tuhan. Masalah keluarga perlu diselesaikan secara baik melalui perbincangan dan bukan dengan meninggal suruhan ALLAH,” katanya.

Sebelum itu, isterinya Norsaliriah Ashri yang memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 memberitahu mahkamah beliau bertindak demikian kerana suaminya meminum arak dan mempunyai wanita lain.

Bagaimanapun, pada perbicaraan semalam, Norsaliriah memohon menarik balik permohonan perceraian setelah berbincang dengan suaminya yang mengaku untuk berubah dan tidak mengulangi perbuatan lalu.

Mohd Noor Izwan, seorang tentera yang kini bertugas di Sarawak turut berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dan mahu membuat perubahan dalam kehidupannya.

Hakim itu turut menegur anggota tentera berkenaan pada permulaan sesi perbicaraan apabila tidak memakai songkok.

“Mana songkok kamu? sebagai anggota tentera, kamu sepatutnya tahu soal disiplin. Ini menunjukkan kamu tidak berdisiplin walaupun berada dalam tentera,” kata Syeikh Muhamad Soleh

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan perceraian itu ditarik balik.

Sinar Harian

Enam Nelayan Nyaris Maut, Dua Bot Berlanggar

9 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM: Sembilan nelayan nyaris maut apabila dua buah bot yang mereka naiki berlanggar di perairan Pulau Kendi, dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, sebuah bot yang dinaiki enam nelayan dalam perjalanan pulang ke Jeti Juru merempuh sebuah bot yang berlabuh dinaiki tiga lelaki lain.

Azlan Abdul Manaf, 29 yang mengemudi bot itu, berkata cuaca panas terik mengganggu penglihatannya menyebabkan botnya tersasar sebelum melanggar bot yang sedang berlabuh di hadapannya.

"Masa itu saya terlalu penat memandangkan kami mula keluar ke laut pada pukul 12 malam tadi. Kejadian ini berlaku secara mengejut dan saya sendiri tidak pasti bagaimana ia bermula," katanya ketika ditemui pemberita, di sini Isnin.

Azlan berkata kemalangan itu mengakibatkan tiga lelaki dari sebuah lagi bot tercampak ke dalam air dan hampir lemas, namun mereka sempat diselamatkan.

Sementara itu bapanya, Abdul Manaf Ahmad, 54, berkata semasa kejadian beliau sedang duduk dan terkejut apabila bot yang dinaiki bergegar diikuti bunyi dentuman yang kuat.

"Bunyinya seperti bom. Saya terkejut dan tergamam kerana bot hampir karam kerana dinaiki air mujurlah saya sempat melompat keluar ke bot yang satu lagi," katanya.

Abdul Manaf berkata bot miliknya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala bot yang dilanggar mereka terjejas sedikit di bahagian belakang. - BERNAMA

Duda empat anak didenda RM2,600

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang duda empat anak dikenakan denda RM2,600 atau lapan bulan penjara kerana menagih dadah metamphetamine ketika ditangkap dalam Ops Tapis di Binjai di sini, dua bulan lalu.

Mohd Azri Mohd Daud, 34, dari Kampung Gong Dermin, Kubang Kerian di sini, mengaku melakukan kesalahan itu di Balai Polis Binjai pada jam 10.05 malam, 1 November lalu.

Dia juga diperintah diletakkan di bawah pengawasan dua tahun dan perlu melaporkan diri di balai yang sama pada hari keempat setiap bulan dalam tempoh itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Mohd Ilyas Mohd Nor, peguam bela Mohd Azri, merayu supaya hukuman terhadap anak guamannya dikurangkan kerana mempunyai empat anak, berusia lapan, enam, lima dan tiga tahun.

Sinar Harian

Remaja mencuri mengaku bersalah

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Dua bersaudara dihukum dua hari penjara dan didenda RM5,300 selepas didapati bersalah mencuri beberapa barangan keperluan termasuk tiga selipar kanak-kanak di sebuah pasar raya di sini, 30 Disember lalu.

Hukuman terhadap Zaima Abidin, 24, dan pesalah juvenil, 17, dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan den­da atau sebatan.

Dua beradik itu mengaku mencuri tiga gel rambut Super Hard Sky, satu minyak rambut Gat Sby Water Gloss dan tiga seluar panjang.

Turut dicuri, tiga kasut kanak-kanak termasuk dua berjenama Disney dan sepasang kasut wanita yang keseluruhannya bernilai RM181.57 milik pasar raya Tesco di sini pada jam 8.40 malam pada tarikh berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, mereka meletakkan barangan tersebut di dalam beg masing-masing sebelum tindakan disedari pengadu yang kemudiannya menahan mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Pada prosiding semalam, kedua-duanya mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mengenakan denda RM3,500 atau lapan bulan penjara terhadap Zaima manakala, denda RM1,800 atau penjara lima bulan terhadap adiknya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Derma melalui potongan gaji

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Kakitangan kerajaan, badan berkanun dan swasta kini boleh menderma kepada anak yatim dengan membuat potongan gaji mereka serendah RM1.

Setiausaha Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim), Mohamad Yaakob berkata, sebelum ini terdapat permintaan kakitangan kerajaan yang mahu menderma tetapi dalam kadar yang tidak menentu.

“Bagi memenuhi permintaan berkenaan, pihak kami mengalu-alukan kira-kira 70,000 kakitangan kerajaan yang ada di Kelantan, pekerja pejabat badan berkanun dan swasta digalakkan menderma melalui potongan gaji mereka.

“Bagi kakitangan kerajaan, pihak kami memudahkan cara dengan berunding dengan Jabatan Akauntan Negara dan Bank Negara Malaysia membenarkan gaji yang akan didermakan dipotong melalui Biro Angkasa serendah RM1,” katanya selepas memberi taklimat kepada 15 Pegawai Lantikan Baru Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Yaatim, di sini.

Beliau berkata, derma melalui potongan gaji sudah dijalankan sejak 2005 dan sekarang ini, Yaatim memperoleh RM3,000 sebulan derma daripada kakitangan kerajaan di Kelantan melalui pemotongan gaji.

Menurutnya, setiap tahun, sebanyak RM1.52 juta peruntukan diperlukan bagi membiayai kos keperluan 200 anak yatim yang ada di yayasan berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami memperoleh geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM310,000 setahun dan kami masih memerlukan banyak kos bagi menanggung perbelanjaan makan minum, persekolahan, pakaian termasuk wang persekolahan mereka RM2 sehari,” katanya.

Katanya, bagi pendaftaran baru, sehingga semalam, terdapat seramai 24 anak yatim dan pertambahan tersebut memerlukan kos berganda, namun penyertaan mereka bukanlah tetap pada satu-satu masa.

“Yaatim menganggarkan terdapat 10,000 anak yatim di negeri ini dan tidak semua antara mereka tinggal di rumah anak yatim, sebaliknya sebagai anak angkat atau menumpang di rumah saudara-mara,” katanya.

Sinar Harian

Rumah keluarga jadi lokasi maksiat

9 Safar 1433H. [MOD] -

AMPANG - Seorang penghantar barang dan seorang model sambilan dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Taman Seraya, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 21 tahun dan pasangannya berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan pe­nguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Masjid Al-Azim, Pandan Indah, jam 1 pagi, berdasarkan maklumat dan aduan orang awam.

Rumah itu didiami keluarga gadis berkenaan, namun keluarganya pulang ke kampung di Perak sejak Jumaat lalu kerana melawat saudara yang terlantar sakit dan kesempatan itu digunakan pasa­ngan terbabit untuk memadu kasih.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, pihaknya terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah itu dibuka dan gadis terbabit membenarkan anggota penguat kuasa masuk membuat pemeriksaan.

“Kami mendapati seorang lelaki berpakaian lengkap keluar dari bilik air dan terkejut dengan kehadiran kami. Gadis itu memakai baju tidur dan menutup tubuhnya dengan tuala,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati pasangan itu telah terlanjur dan ibu bapa gadis berkenaan tidak tahu anak mereka membawa teman lelaki balik ke rumah dan melakukan perbuatan jijik itu.

“Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, berdasarkan rekod, pihaknya pernah menahan pasangan terbabit di Bukit Langat mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995.

“Pasangan itu juga telah hadir ke Masjid Al-Azim untuk sesi kaunseling baru-baru ini,” katanya.

Sinar Harian

Insafi kezaliman sebelum ‘melutut’ di depan Allah

9 Safar 1433H. [MOD] -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyeru semua pihak sama ada kerajaan, pegawai atau peringkat individu agar menginsafi terhadap kezaliman yang dilakukan.

Katanya, sebelum tiba saat manusia dituntut ‘melutut' dari Allah termasuk mereka yang dizalimi, tindakan sedemikian dihentikan segera.

“Saya tidak tuju pada siapa-siapa, tetapi setiap mereka yang melakukan kesalahan, sama ada individu, kerajaan, pihak berkuasa dan sebagainya perlu memohon maaf dari orang yang dikhianati,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pada masa yang sama Tuan Guru berkata, tidak kira pelajar, orang tua atau sesiapa sahaja sekiranya mereka menuntut hak masing-masing, golongan itu tetap berdosa sekiranya hukuman diberikan di luar batas keagamaan dan kemanusiaan.

Ini kerana, katanya menganiaya fizikal, spiritual adalah berdosa di sisi Allah kerana Islam itu sendiri telah meletakkan jalannya agar manusia itu mengikutnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung kecederaan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berhimpun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Katanya lagi, satu perkara yang perlu diingat, Allah adalah pencipta manusia sama ada mereka itu golongan yang berpangkat atau lemah.

“Bila buat aniaya pada manusia, taraf kita di sisi Allah sama sahaja, turut mendapat balasan pedih di akhirat nanti walaupun kita ni berpangkat dengan pelbagai bintang, berserban labuh semuanya akan dibalas,” ujarnya.

bancuh.blogspot.com

11 sekolah dua daerah diarah tutup akibat banjir

9 Safar 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Sebanyak 11 sekolah di dua daerah iaitu sembilan di Pasir Mas dan dua di Gua Musang diarahkan tutup seterusnya tidak dapat memulakan sesi baru persekolahan tahun 2012, berikutan terputus hubungan serta kawasan sekolah dinaiki air.

Berikutan itu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) terpaksa menutup sesi persekolahan baru 2012 yang bermula hari ini, bagi menjaga keselamatan pelajar sekolah terlibat.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, SK Balar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SK Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang Satu, SK Sri Rantau Panjang 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khay Boon, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh,
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Alfalah Siram dan SABK Diniah Bongor.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, dua sekolah di Gua Musang iaitu SK Balar dan SK Bihai terpaksa ditutup kerana terputus hubungan sementara sekolah lain ditutup kerana dinaiki air serta jalan menghubungkan sekolah dengan jalan utama dinaiki air.

“Penutupan 11 sekolah di dua daerah ini menyebabkan 4,042 murid dan pelajar tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2012.

“Permulaan untuk sesi persekolahan bagi sekolah terlibat akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu membuat tinjauan banjir sekitar Rantau Panjang, petang semalam.

Dalam pada itu, banjir di Pasir Puteh hampir pulih apabila hanya dua pusat penempatan dibuka melibatkan 73 mangsa dari 19 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kamil.

Sinar Harian

Pasangan kekasih positif dadah

9 Safar 1433H. [MOD] -

SIMPANG RENGGAM - Seorang ibu muda yang masih dalam tempoh berpantang dicekup bersama kekasihnya di sebuah rumah tumpangan berhampiran Pekan Simpang Renggam selepas kedua-duanya didapati positif dadah jenis syabu, lewat pagi kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam dua pagi itu, pemeriksaan lanjut ke atas pasangan tersebut oleh Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menemui peralatan lengkap menghisap syabu.

Hasil soal siasat mendapati wanita itu yang berusia 19 tahun mempunyai dua anak luar nikah masing-masing berusia setahun setengah dan satu setengah bulan adalah positif dadah ketika ujian saringan air kencing dilakukan.

Manakala, kekasihnya, 20, yang tidak bekerja itu turut didapati positif dadah sebelum kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut jurucakap AADK yang menyertai operasi bersepadu berkenaan, pasangan kekasih berkenaan memberi alasan untuk berehat sekejap di bilik berkenaan sementara menunggu rakan mereka.

“Kami menghubungi polis sebaik menemui peralatan menghisap syabu serta mendapati kedua-duanya positif dadah. Bagaimanapun AADK tidak menemui sebarang dadah termasuk syabu di dalam bilik berkenaan ketika pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Wanita berkenaan juga mengaku adalah ibu dua anak hasil perhubungan intim dengan kekasihnya itu. Dia turut mendakwa sudah dibuang keluarga sebaik kami meminta ibu bapanya hadir ke Balai Polis Simpang Renggam,” katanya ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Malam Tahun Baru, di sini, kelmarin.

Pasangan tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 31 Akta Menagih Dadah 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta yang sama, yang membawa hukuman diperintah menjalani pemulihan di pusat pemulihan dadah atau pengawasan selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

Operasi Cegah Maksiat Malam Tahun Baru selama enam jam itu turut disertai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) cawangan Kluang serta Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota.

Sinar Harian

Gara-gara tertidur, kediaman musnah

9 Safar 1433H. [MOD] -

CHENDERONG BALAI - Gara-gara tertidur, seorang pemuda tidak sedar ketulan daging (nuget) yang sedang digoreng di dapur mengakibatkan rumahnya Parit 11, Lorong Haji Sabran, di sini, terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Razali Baharuddin, 40, bekerja sebagai tukang rumah dikatakan tidur dalam biliknya di.

Dia tersedar daripada tidur dan menyedari rumahnya terbakar apabila terasa bahang panas dari arah dapur.

Ibu mangsa, Bastiah Khalid, 65, berkata, anaknya turut mengalami melecur kira-kira 40 peratus di bahagian muka, badan serta kaki akibat kebakaran itu.

Menurutnya, kini Mohd Razali mendapatkan rawatan di Unit Kawalan Rapi (ICU) di Hospital Teluk Intan.

“Ketika kejadian, makcik dan suami, Baharudin 0mar, 86, tiada di rumah kerana pergi menziarahi saudara di Sungai Besar, Selangor.

“Makcik mengetahui rumah itu terbakar apabila anak sulung makcik, Mohd Murad, 50, memberitahu kejadian berkenaan menerusi panggilan telefon,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ibu kepada lapan anak itu berkata,sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan, dia dan suami terus bergegas pulang ke Chenderong Balai.

Jelasnya, kini, mereka tiga beranak tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangan hangus dalam kebakaran yang berlaku kelmarin.

“Rumah yang kami duduki sejak 10 tahun lalu hangus dalam kebakaran dan kerugian dianggarkan sekitar RM58,000,” katanya.

Gagal padamkan api

Ketua kampung Tebuk lmam Subari/Pengkalan Daun, Mohd Ehsan Sadimo, 61, berkata, penduduk cuba membantu menyelamatkan barang dalam rumah mangsa tetapi gagal kerana api terlalu marak tambahan lagi angin bertiup kencang ketika itu.

Katanya, beliau turut bersimpati dengan musibah menimpa keluarga tersebut.

“Kejadian itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Hilir Perak.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memberikan bantuan secepat mungkin kepada mangsa yang kini tiada tempat berteduh,” katanya.

Punca kebakaran dalam siasatan

Pegawai Bomba Teluk Intan, Mohd Nazri Getam berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 3.26 petang dan tiba ke tempat kejadian jam 3.43 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik sahaja kami sampai, hampir 60 peratus rumah berkenaan sudah terbakar.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik bomba dari lpoh,” katanya.

Sinar Harian

Sayangi Selangor, tolak Umno BN

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Rakyat Selangor mesti bangkit menolak Umno BN untuk kesejahteraan rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas pembangkang Selangor, Umno BN selesai mengadakan Karnival Sayangi Selangor pada 28 hingga 31 Disember lalu dengan harapan untuk memberi motivasi kepada mereka untuk merampas itu.

Katanya, pemimpin Umno BN menyedari betapa peritnya menjadi pembangkang dan banyak lubuk emas sudah terkambus, maka mereka berusaha sedaya mungkin untuk merampas kembali Selangor

menurutnya, walaupun beberapa isu yang diputar di Selangor untuk menarik perhatian rakyat supaya menyebelahi Umno BN, namun masih lagi gagal.

“Dilemanya pembangkang di Selangor masih memainkan skrip lama dan pengarahnya otak sudah tamat tempoh,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, isu perkauman dan agama diputar dengan melalui televisyen dan media perdana masih tidak mampu merubah pemetaan politik di Selangor.

Ini, katanya kerana rakyat yang celik maklumat anggap itu berita yang layak dibakul sampah sahaja.

“Nekad BN, Selangor mesti dirampas kembali dengan apa cara sekali pun. Banyak program Kementerian dicurahkan ke Selangor, seolah-olah negeri Selangor satu-satu negeri di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, pemimpin BN menganggap tidak ada makna Kerajaan Pusat diperintah oleh BN, kalau mereka masih menjadi pembangkang di negeri Selangor di dalam pilihan raya akan datang.

Maklumlah, katanya hampir 40% penyumbang ekonomi Malaysia datang daripada negeri Selangor.

“Insya Allah, oleh kerana BN menumpukan di Selangor, maka Putrajaya pula akan ditawan oleh PR, ibarat untung segantang rugi seguni,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya rakyat Selangor pula memang sayang kepada negeri mereka dan mesti bangkit menolak BN.

Beliau mengambil contoh hasil pasir Selangor meningkat sejak PR memerintah Selangor, tahun 2005 (BN) RM 3.54 Juta, tahun 2006 (BN) RM 4.37 Juta, tahun 2007 (BN) RM 4.39 Juta, tahun 2008 ( PR) RM 8.17 Juta, tahun 2009 ( PR) RM 13.76 Juta tahun 2010-sehingga JUN ( PR ) RM 15.3 Juta.

Katanya, ketika pemimpin Umno, Datuk Seri Khir Toyo disabitkan rasuah dan dijatuh hukuman satu tahun penjara oleh mahkamah, maka kerajaan PR Selangor menunjukkan kesungguhan dengan memperuntukkan RM12 juta dalam bajet 2012 untuk memerangi rasuah.

“Asas inilah rakyat sayangi Selangor mereka tidak akan biarkan pemimpin rasuah dan parti rasuah berkuasa kembali di Selangor,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Hantu Kak Limah dibakar

9 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG – “Kita dah bakar kesemua jin yang berjaya diperangkap. Kesemua enam jin yang diperangkap dalam botol plastik itu dibakar de­ngan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, semalam. Insya-Allah mereka tidak akan diganggu lagi oleh hantu Kak Limah.

Demikian kata Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari pusat Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpengkalan di Serendah Selangor, ketika diminta mengulas perkembangan mengenai jin yang berjaya diperangkap olehnya di rumah keluarga Mazlan Ali, 55, di Kampung Temiang, Marang di sini, pada malam tahun baru lalu.

Ustaz Nor Hasrul berkata, walaupun kemungkinan gangguan itu berlaku semula pada masa akan datang, beliau berharap keluarga berkenaan sentiasa membaca ayat suci al-Quran di rumah mereka selain kerap solat dan membaca Yasin.

“Ini bagi memastikan makhluk halus dan jin (hantu Kak Limah) itu tidak lagi mengganggu keluarga Mazlan. Walaupun (hantu Kak Limah) berjaya diperangkap pada malam tahun baru lalu, masih ada lagi makhluk lain (halus) yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Ini kerana, keadaan persekitaran rumah mereka yang jauh di pedalaman dan menjadi pilihan jin untuk tinggal. Saya harap mereka sentiasa mendekatkan diri dengan ALLAH, Insya-Allah gangguan itu dapat dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ustaz Nor Hasrul berkata, tiada rawatan susulan dilakukan ke atas keluarga berke­naan kerana ia sudah berakhir sepenuhnya selepas jin itu berjaya diperangkap, sebelum kesemuanya dibakar menggunakan ayat suci al-Quran.

Keluarga Mazlan lega

Lega dan bersyukur. Itulah perasaan keluarga Mazlan terutamanya anak-anaknya apabila mereka dimaklumkan mengenai perkara itu ketika Sinar Harian berkunjung ke rumah mereka di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan, Marang di sini semalam.

Selepas proses pemulihan dilakukan Ustaz Nor Hasrul pada malam tahun baru lalu, keluarga berkenaan dapat menarik nafas lega susulan tiada lagi gangguan berlaku terhadap mereka.

Sinar Harian semalam, turut menyiarkan liputan penuh usaha menghalau makhluk halus di rumah anak Mazlan, Syawal, 22, yang bermula kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Sinar Harian turut mengalami detik mencemaskan sebaik tiba ke rumah papan dibina semula daripada kayu rumah pusaka keluarga berkenaan, apabila dikejutkan de­ngan situasi tegang melibatkan adik Syawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis.

Malah remaja terbabit juga tidak sedarkan diri dipercayai dirasuk.

Keadaan bertambah cemas apabila selang beberapa minit kemu­dian, kakaknya, Masliana, 31, pula tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Bagaimanapun, bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu diperangkap Ustaz Hasrul.

Masliana berjaya dipulihkan selepas bertindak agresif kerana tidak sedarkan diri, dipercayai selepas terpandang hantu Kak Limah.

Rawatan hanya guna air penawar

Jin yang berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas itu dimasukkan ke dalam botol plastik. Difahamkan sebanyak enam jin berjaya dipenjarakan di dalam empat botol plastik, yang kemudiannya dibakar menggunakan ayat suci al-Quran, semalam.

Ustaz Hasrul juga menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku menimpa keluarga malang ini.

Malah keluarga itu juga dipandang serong masyarakat setempat yang tidak mempercayai wujudnya gangguan seumpama itu. Detik mencemaskan itu bagaimanapun berakhir setelah melalui proses rawatan yang tidak menggunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional, kecuali air penawar pada kira-kira jam 11.15 malam.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga itu tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmo­nian hidup keluarga Syawal dan penduduk kampung yang bersimpati terhadap mereka.

Ketua keluarga terbabit, Mazlan ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, berkata, hanya ALLAH dapat membalas jasa baik semua pihak yang terlibat khususnya dengan usaha ikhlas Ustaz Nor Hasrul dan Sinar Harian sendiri.

“Selepas malam tahun baru lalu, saya tidur lena. Syukur kerana belum pernah saya dapat menikmati tidur tanpa mengalami gangguan seperti ini sejak November lalu, selepas me­ngambil peralatan dan kayu dari rumah pusaka ayah di Jerangau,” katanya.

Sinar Harian

Henti punggah harta negara untuk kenduri kroni

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Kerakusan kerajaan bodoh memunggah harta negara untuk dikendurikan kepada kroni-kroni bodoh mesti dihentikan segera, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz.

Merujuk kepada tindakan pengurusan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dengan mudah memberikan sehingga RM1.76 juta kepada seorang tauke teksi kononnya untuk mendapatkan khidmat nasihat, beliau berkata tindakan itu kian diejek sebagai tindakan yang amat bodoh oleh orang ramai.

"Tetapi yang lebih penting untuk disedari oleh rakyat ialah pemunggahan harta negara sehingga RM250 juta untuk diberikan kepada kroni yang hari ini semakin dituduh bodoh tidak akan dilakukan melainkan oleh kerajaan yang bodoh sahaja.

"Hanya kerajaan bodoh sahaja yang menaburkan wang sebegitu banyak kepada orang yang dituduh bodoh," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Di sisi yang lain pula, Mahfuz mempersoalkan, adakah RM1.76 juta itu mungkin sengaja diberikan kepada tauke teksi yang dilihat umum penuh dengan aksi yang menggelikan hati ketika didakwa di mahkamah itu dengan perkiraan untuk memperlihatkan kepada umum bahawa NFC menjadi mangsa penipuan dan bukannya pihak yang menyelewengkan wang rakyat.

"Jika benar itulah perkiraannya, kerajaan yang dengan begitu mudah memberikan sehingga RM250 juta kepada NFC tetap merupakan kerajaan yang bodoh," katanya.

Kerajaan yang cerdik, kata Mahfuz , tidak akan "memfaraidkan" wang negara sehingga RM250 juta untuk digunakan sesuka hati bagi memuaskan keinginan pihak yang mendapat wang itu seperti membeli kondominium di Kuala Lumpur dan Singapura kononnya untuk mendapatkan pulangan cepat sambil menghabiskan RM1.76 juta dan kemudiannya diberitakan pula telah menjadi mangsa penipuan.

"Lebih penting dari semua itu, kerajaan bodoh yang memberikan sebesar RM250 juta kepada NFC itu turut melibatkan Perdana Menteri kini yang pada waktu itu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kini yang pada waktu itu menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang kementeriannya terlibat secara langsung dengan pemberian projek NFC.

"Dan, mereka jugalah yang bersungguh-sungguh membela (Menteri Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) dan keluarganya yang memiliki NFC itu ketika cara penggunaan dana oleh NFC didedahkan sebagai kucar kacir oleh laporan Ketua Audit Negara dulu.

"Nampak benar kerajaan bodoh berusaha untuk menyembunyikan kebodohannya," kata beliau.

Mengambilkira bencana yang akan menimpa mereka dengan tindakan sebodoh itu, Mahfuz menyeru rakyat segera merebut apa sahaja peluang yang ada untuk menghentikan penganiayaan ke atas mereka dengan perbelanjaan bodoh harta mereka itu.

Jumaat lalu, Seorang tauke teksi Datuk Shamsubahrain Ismail yang dilaporkan cuba memberi rasuah kepada pegawai kanan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil ketika siasatan ke atas NFC dijalankan telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menipu.

Shamsubahrain dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran kononnya untuk mendapatkan khidmat penasihat.

Mohamad Salleh ialah suami Shahrizat.

Harakah Daily

Kordial bertukar warna

9 Safar 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seorang kakitangan awam terkejut apabila mendapati kordial berperisa ros yang dibelinya di sebuah pasar raya besar sekitar bandar ini berubah daripada warna asalnya, kelmarin.

Salim Sulaiman, 33, dari Taman Satria di Senawang, berkata, kordial dengan isi padu dua liter dan berharga RM4.80 itu dibelinya pada 22 Oktober lalu di pasar raya besar terbabit.

“Pada penutup botol, ada dicatatkan tarikh pengilangan pada 7 Oktober 2011 manakala tarikh luput pada 6 Oktober 2013.

“Warna kordial yang tiba-tiba berubah ini amat mengejutkan dan saya sekeluarga tidak berani untuk menggunakannya walaupun masih belum mencapai tarikh luput lagi,” katanya di pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, selain pe­rubahan warna, kordial yang dibungkus dan diedarkan oleh sebuah syarikat beralamat di Kuala Lumpur itu mengeluarkan bau yang pelik.

Katanya, kordial berperisa ros itu telah digunakan separuh sejak ia dibeli namun setakat ini, belum ada kesan sampingan terhadapnya dan ahli keluarga yang lain.

“Bagaimanapun, kami tidak lagi menggunakannya sebaik sahaja menyedari warna kordial berubah semalam, untuk mengelakkan kemungki­nan berlaku kemudaratan terhadap kesihatan kami,

“Selepas pengalaman kurang menyenangkan ini, saya agak berat hati untuk membeli kordial jenama berkenaan pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Salim berkata, pihak berkuasa berkaitan diminta segera menyiasat kualiti dan tahap keselamatan kordial berkenaan bagi me­mas­tikan kejadian serupa tidak berulang.

“Saya pernah membeli kordial berjenama lain sebelum ini tetapi tidak pernah mengalami kejadian sebegini,” katanya.

Sinar Harian