03 Januari 2012

Kes Anwar: Pakatan himpun 100,000 ahli

9 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) dijangka menggerakkan 100,000 ahlinya bagi menyokong kempen Bebas Anwar 901 di pekarangan kompleks mahkamah Jalan Duta di sini Isnin depan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, sokongan padu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan diterjemahkan dalam pehimpunan besar-besaran itu nanti.

"Kita tidak takut untuk menggerakkan perhimpunan ini kerana ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membenarkan kita berhimpun secara aman.

"Pada perhimpunan itu nanti, kita sediakan garis panduan kepada nereka supaya mematuhi peraturan dengan tidak membawa senjata tajam dan seumpamanya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu akan tetap diteruskan walaupun berisiko berhadapan dengan tindakan undang-undang dan dihalang pihak berkuasa.

"Kita sudah lali dengan kenyataan berbentuk ancaman dari pihak berkuasa ini. Kenyataan polis begini sudah banyak kali kita dengar.

"Di mana-mana negara pun, kita diingatkan supaya berfikir di luar kotak pemikiran. Gaji mereka (polis) pun rakyat yang bayar," katanya.

Abd Rani berkata, semua ahli dan penyokong PR dijemput hadir pada perhimpunan besar-besaran itu nanti.

"Pas akan laksanakan mobilisasi terbesar. Sekiranya dijangka 100,000 orang, maka 100,000 yang akan turun pada 9 Januari nanti," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: