03 Januari 2012

Isu mahasiswa dibincang dalam Konvensyen Pakatan

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 Jan: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini melahirkan rasa kesal dengan insiden menimpa mahasiswa ketika mengadakan bantahan aman menuntut kebebasan akademik di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu.


Sehubungan itu juga, isu mahasiswa akan dijadikan satu agenda besar pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang akan diadakan di Kedah pada 13 dan 14 Januari ini.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat hari ini bersetuju ingin menjadikan isu mahasiswa sebagai agenda perbahasan pada konvensyen yang akan diadakah di Alor Setar Kedah nanti.

"Perkara ini akan menjadi keutamaan apabila kita melihat kepada insiden yang berlaku dua hari lepas terhadap mahasiswa," jelas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat Keadilan di Tropicana di sini.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Selain insiden di UPSI yang menyebabkan dua orang mahasiswa cedera teruk itu, Pakatan Rakyat juga kata Anwar kecewa melihat kepada beberapa buah universiti yang bertindak mengokong pemikiran mahasiswa serta menghalang wacana bebas ahli akademik.

Selain isu mahasiswa, konvensyen Pakatan Rakyat akan datang juga akan membincangkan soal menifesto bersama ketiga-tiga parti atas nama menifesto Pakatan Rakyat bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Agenda lain juga termasuklah isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) ke Bursa Malaysia dan isu Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: