03 Januari 2012

Taktik sembunyi di hotel gagal

9 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR – Tindakan licik seorang suspek kejadian pecah rumah bersembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini gagal apabila dia dicekup polis kurang daripada 12 jam selepas melakukan kegiatan itu.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu lalu di Taman Seri Unas, Parit Jawa, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 24 tahun dari Masai, dipercayai sudah lebih setahun bergiat aktif dalam jenayah berkenaan.

Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan aduan yang dibuat mangsa iai­tu seorang lelaki berusia 43 tahun yang menyedari rumahnya telah dipecah masuk setelah beberapa barangan terma­suk kereta jenis Honda City miliknya hilang.

“Mangsa yang membuat pe­meriksaan di rumahnya men­­dapati tiada kesan umpil pada pintu rumah, tetapi mangga pintu telah dilarikan dan segera membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran kira-kira jam 8.30 pagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohamad Nasir berkata, kepantasan polis akhirnya berjaya menjejaki suspek yang ber­­sembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini bersama kereta Honda City milik mangsa yang dilaporkan hilang.

Jelasnya, dalam tangkapan tersebut polis menjumpai dua telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, kamus elek­tronik, lima jam tangan pelbagai jenama, dua pendrive, dua telefon bimbit dan satu pemain cakera padat di­gital(DVD).

“Turut dijumpai tiga kunci kereta jenis proton, Perodua dan Honda, dua dompet yang mengandungi wang tunai dan alat memeriksa tekanan darah dipercayai milik mangsa-mangsa pecah rumah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan juga menjumpai sepana pelbagai sa­­iz, tukul besi, pemutar skru dan anak kunci yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah.

Bagaimanapun, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kereta yang dilaporkan.

“Polis percaya suspek bergerak secara kumpulan dan akan menjejaki saki baki kumpulan tersebut.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: