17 Jun 2009

Liu Bang, Maharaja Yang Berasal Daripada Rakyat Jelata

"Alif H'ng"

Pada tahun 202 sebelum Masihi, Liu Bang menubuhkan pemerintahan Dinasti Han selepas Dinasti Qin ditumbangkan. Liu Bang menjadi maharaja pertama Dinasti Han dan juga merupakan maharaja pertama yang berasal daripada rakyat jelata.

Pada akhir abad ke-3 sebelum Masihi, pemerintahan zalim Dinasti Qin telah menimbulkan kemarahan rakyat dan banyak tentera pemberontak petani ditubuhkan di pelbagai tempat di China, Liu Bang ialah ketua salah satu tentera pemberontak petani itu. Antara pelbagai tentera pemberontak petani itu, tentera yang paling kuat ialah tentera yang diketuai oleh Xiang Yu.

Dalam peperangan menumbangkan pemerintahan Dinasti Qin, Liu Bang dan Xiang Yu menjalinkan kerjasama dan saling membantu dalam peperangan sehingga berjaya menumbangkan pemerintahan Dinasti Qin. Pada masa itu, tentera yang diketuai Xiang Yu berjumlah 400 ribu orang askar, manakala tentera yang diketuai Liu Bang hanya berjumlah 100 ribu orang.

Selepas Dinasti Qin ditumbangkan, gabungan kerjasama antara Xiang Yu dan Liu Bang telah dibatalkan disebabkan kedua-dua mereka berebut kuasa dan berperang antara satu sama lain. Peperangan antara tentera Xiang Yu dan Liu Bang berlangsung selama 4 tahun. Pada tahun 202 sebelum Masihi, tentera yang diketuai Liu Bang mengalahkan tentera Xiang Yu, Xiang Yu membunuh diri. Liu Bang menubuhkan pemerintahan Dinasti Han dan melantik dirinya sebagai Maharaja Gaozu.

Kebanyakan ketua pelbagai tentera pemberontak petani adalah keturunan raja, pegawai dan hulubalang terkenal, hanya Liu Bang rakyat biasa dan seorang petani, tetapi beliau berjaya memerintah China, kejayaan beliau terutamanya disebabkan watak beliau yang istimewa.

Liu Bang pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan. Liu Bang yang berasal dari kampung suka bergaul dan bersahabat dengan tokoh pelbagai lapisan masyarakat baik pegawai atau penyembelih binatang. Sebagai sahabat, mereka memberi bantuan kepada Liu Bang apabila beliau mengalami kesukaran.

Ketika beliau terlibat dalam kes perbicaraan, pegawai penjara membebaskan beliau dan apabila beliau memerlukan wang, ada orang memberi wang kepadanya. Lantaran itu, sahabat-sahabatnya menjadi pengikut setia beliau dalam tentera pemberontak pimpinannya dan membuat jasa baik dalam peperangan menumbangkan pemerintahan Dinasti Qin dan menubuhkan pemerintahan Dinasti Han. Setelah Dinasti Han ditubuhkan, mereka dilantik oleh Liu Bang menjawat jawatan pegawai kanan.

Liu Bang mementingkan orang yang berkebolehan dan melantik mereka menjawat jawatan tinggi. Han Xin yang berasal daripada keluarga miskin adalah pengawal Xiang Yu. Han Xin banyak kali memberi nasihat yang baik kepada Xiang Yu tetapi Xiang Yu tidak menghiraukannya. Ini menyebabkan Han Xin menganggotai tentera yang diketuai Liu Bang. Berdasarkan maklumat pengikut Liu Bang tentang Han Xin, Liu Bang telah mengadakan upacara meriah melantik Han Xin sebagai panglima tenteranya. Han Xin memang berkebolehan dan membuat jasa yang cemerlang terhadap Liu Bang untuk menumbangkan pemerintahan Dinasti Qin dan menubuhkan pemerintahan Dinasti Han. Pegawai kanan terkenal dalam tentera Liu Bang seperti Zhang Liang dan Chen Ping menumpukan usaha membantu Liu Bang kerana mereka mengetahui bahawa Liu Bang mementingkan orang yang berkebolehan. Mereka juga memainkan peranan penting dalam kemenangan Liu Bang.

Kebanyakan ketua tentera pemberontak petani hidup leka dan hanya menikmati kehidupan mewah selepas mencapai kemenangan dalam peperangan, tetapi Liu Bang berpandangan jauh dan berusaha mewujudkan matlamat yang lebih tinggi. Kebanyakan keturunan raja dan pegawai tinggi sangat sombong dan memandang rendah orang yang mempunyai kepakaran, manakala Liu Bang tidak iri hati terhadap orang yang mempunyai kepakaran, melainkan melantik mereka menjawat jawatan tinggi sehingga mereka memainkan peranan penting dan membuat jasa cemerlang dalam usaha Liu Bang menyatupadukan pelbagai tentera pemberontak petani lain dan menumbangkan pemerintahan Dinasti Qin.

1 ulasan:

david ahmad muniandy berkata...

kalau ada seorang pemimpin dalam Malaysia macam liu bang, rakyat tak perlu lagi kesusahan...

lihatlah pemimpin-pemimpin PAS melawat sana melawat sini setiap rumah ke setiap rumah tak habis-habis inilah dipanggilkan jiwa rakyat seperti Liu Bang.