19 Julai 2009

Kabinet akan bincang penubuhan s'jaya diraja

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kabinet akan membincangkan kewajaran penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes kematian setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock dalam mesyuaratnya akan datang.

Katanya pandangan pelbagai pihak mengenai perkara itu akan diteliti dari segi kewajarannya, dan ia akan diputuskan oleh kabinet nanti.

Beliau berkata demikian semasa mengulas desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja atau badan bebas bagi menyiasat kes kematian Teoh, lapor Bernama.

Kematian Teoh, 30, Khamis lalu, menimbulkan pelbagai spekulasi kerana lapan jam sebelum itu dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mengenai salah guna peruntukan wang kerajaan negeri Selangor.

Bercakap kepada pemberita di Ipoh hari ini, Muhyiddin berkata, kes berkenaan kini disiasat oleh polis.

Sementara itu, ketua penyelaras BN, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata hanya penjelasan dan siasatan yang meyakinkan akan memuaskan rakyat berhubung misteri kematian Teoh.

Katanya, rakyat mahu satu jawapan yang jelas bagaimana mendiang Teoh mati walaupun kejadian dikatakan berlaku selepas soal siasat oleh SPRM.

Penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes berkenaan berupa langkah yang boleh meyakinkan rakyat selain mendapatkan penjelasan SPRM dan siasatan polis, katanya kepada pemberita di Ipoh.

Beliau berkata keyakinan itu kerana suruhanjaya diraja mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa sahaja dalam proses siasatannya.

Tiada ulasan: