23 Julai 2009

Kematian Teoh pelik, tubuh segera Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali menyifatkan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teo Beng Hock adalah satu peristiwa pelik yang tidak pernah berlaku terhadap individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali sebagai BPR.

"Ini adalah satu yang tak pernah berlaku, menimbulkan tandatanya dan persoalan besar kepada wibawa SPRM itu sendiri dalam menguruskan saksi-saksi yang disiasat," katanya.

Kematian Teoh baru-baru ini yang mengundang misteri perlu disiasat secara telus dan jujur oleh satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya, ujar Mustafa yang ditemui Harakah semalam di Jalan Pahang.

Beliau melihat, isu ini memberi satu gambaran negatif keada SPRM yang baharu sahaja ditubuhkan selepas rakyat tidak yakin dengan kredibiliti Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini.

Menurut Mustafa, ini adalah kes pertama membabitkan kematian dibawah SPRM, walhal sebelum ini negara hanya dikhabarnya dengan kematian di dalam tahanan reman polis sahaja.

"Ini satu yang pelik atau ganjil, apa puncanya ia perlu satu siasatan.Ada yang mula menyebut bahawa ini satu tindakan di pihak mangsa.

"Tapi jika kita lihat kes mata lebam Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.Masa itu kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir kata ia tindakan Anwar sendiri yang menumbuk mata sendiri.

"Media arus perdana memainkan propaganda bahawa Anwar tumbuk mata sendiri.Tetapi selepas ditubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat kes mata lebam, didapati Anwar ditumbuk.

"Begitu juga bagi saya dalam kes ini perlu adakan siasatan bebas diraja bagi menyiasat puncanya, jika telah terbukti barulah dibuat tindakan," katanya.

Mengulas soal keyakinan rakyat kepada SPRM tercalar, beliau melihat satu usaha keras perlu dilakukan badan itu yang baru setahun jagung usianya dalam memulihkan imej mereka.

Persoalan rasuah yang meluas belum lagi dapat ditangani, kini SPRM dilanda isu integriti dalam kes kematian Teoh, justeru satu siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan, ujar Mustafa lagi.

Mengulas soal keanggotaan suruhanjaya, beliau menyatakana bahawa amalan sebelum ini seperti dalam kes Anwar, lantika dibuat kepada mereka yang ada 'basic' undang-undang seperti bekas Hakim dan hakim yang benar-benar telus dan tidak memihak. - mks-HarakahDaily.Net-

Tiada ulasan: