30 Julai 2009

Kewajaran sekatan golongan tertentu daripada ke Mekah

Oleh : mohd naim mohd zain

IBADAT mengerjakan haji pada tahun ini mungkin tanpa kehadiran jemaah warga emas, kanak-kanak dan golongan berpenyakit kronik.

Sudah ada bayang-bayang bahawa Kerajaan Arab Saudi akan mengenakan 'syarat' yang mahu menyekat tiga golongan itu daripada menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah tahun ini. Semua ini kerana faktor kesihatan dan keselamatan penduduk Islam di seluruh dunia.


Punca berlakunya sekatan ini ialah fenomena jangkitan selesema babi atau influenza A H1N1. Akibat penularan wabak ini ke seluruh dunia sejak dikesan akhir Mac lalu, prosedur kemasukan pelancong ke negara-negara tertentu diperketatkan, termasuk Arab Saudi. Apatah lagi, negara itu juga 'diserang' wabak penyakit tersebut.

Berdasarkan laporan media, pada 23 Julai lalu Menteri-Menteri Kesihatan Arab sepakat untuk mengenakan sekatan terhadap sesetengah kategori jemaah termasuk warga emas dan kanak-kanak daripada menziarahi kota Mekah dalam usaha untuk mengekang penyebaran wabak selesema babi.

Jika peraturan sekatan itu dilaksanakan, mungkin golongan yang berusia melebihi 65 tahun dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun serta sesiapa yang mempunyai penyakit kronik akan disekat daripada menunaikan haji tahun ini.

Kepada kira-kira 27,000 bakal jemaah haji negara kita, mereka akan tertanya-tanya mengenai peluang diri dan anggota rombongan keluarga masing-masing untuk ke sana.

Biasanya bakal jemaah haji kita terdiri golongan yang sudah berusia lanjut dalam lingkungan 65 tahun ke atas. Sekatan kehadiran bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Mekah tahun ini dijangka menimbulkan sedikit masalah kepada mereka yang akan 'disekat' untuk menunaikan ibadah haji.

Mungkin ada senarai nama pasangan dan rombongan yang sudah didaftar tetapi terpaksa 'dicicirkan' kerana faktor ini.

Dalam hal ini pihak pengurusan Tabung Haji perlu merancang dan memaklumkan kepada bakal-bakal haji yang akan berada dalam senarai 'disekat' untuk ke Mekah.

Adalah penting mereka diberitahu situasi yang tidak mengizinkan pada masa ini. Sebenarnya, kita juga bimbang jika ada sebilangan rakyat kita yang tiba-tiba disyaki dijangkiti H1N1 di sana. Mereka akan pulang bersama virus yang belum ditemui vaksinnya.

Berada dalam kelompok besar lebih dua juta jemaah haji dari seluruh negara pada musim haji tahun ini, pelbagai perkara mudah berlaku apatah lagi jangkitan virus selesema babi.

Ada kewajaran sekatan ke atas golongan yang berisiko dijangkiti virus daripada dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Cukuplah jumlah kes penularan H1N1 yang berpunca daripada bawaan dari luar negara dan tempatan yang kita hadapi sekarang.

Kerajaan Malaysia, Tabung Haji dan bakal jemaah perlu memikir risiko yang bakal dihadapi memandangkan penularan virus H1N1 di Arab Saudi telah melibatkan kira-kira 300 kes. Keadaan ini patut menimbulkan tahap kewaspadaan yang tinggi mengenai risiko wabak itu merebak semasa musim haji nanti.

Selain itu kita perlu juga memperingatkan umat Islam negara ini yang akan mengerjakan umrah semasa bulan Ramadan pada Ogos dan September ini agar berhati-hati dan menjaga kesihatan masing-masing.

Tiada ulasan: