Tiga lagi ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), kata Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, "tiga lelaki Melayu" ditahan tengah hari 25 Jun lalu di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Menurutnya lagi, identiti mereka dan butiran lanjut penahanan sedang dikumpul oleh pihaknya.
"GMI sedang menyiapkan kenyataan (akhbar) dan kita akan umumkan tidak lama lagi," katanya.
Pada 27 Mei lalu, jetua JI Singapura, Mas Selamat Kastari ditahan dua tahun bawah akta kontroversi itu selepas diberkas di Johor Bahru.
Mas Selamat meloloskan diri dari penjara berkawalan ketat republik pada Februari tahun lepas dan kemudian dipercayai berenang menyeberangi Selat Teberau ke bandar raya itu sebelum disambut Abdul Matin Anol Rahmat dan Johar Hassan.
Abdul Matin ditahan 1 April lalu, dipercayai bersama Mas Selamat.
Abdul Matin kini ditahan selama dua tahun, sementara Johar - yang menyewakan rumahnya di Skudai kepada Mas Selamat - dikenakan perintah kediaman terhad.-MalaysiaKini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan