03 Julai 2009

48 kes - wabak H1N1 terus menular

Jangkitan wabak selesema A (H1N1) terus menular dengan cepat apabila negara merekodkan 48 kes baru hari ini, termasuk lapan kes tempatan, menjadikan jumlah semuanya 244 kes.

Dua daripada kes tempatan itu - yang semuanya melibatkan rakyat tempatan - tidak dapat dikenal pasti punca jangkitan dan "masih dalam siasatan."

Semalam Malaysia mencatatkan 38 kes - rekod tertinggi peningkatan dalam masa sehari sejak kes pertama, 15 Mei lalu.

Daripada jumlah keseluruhan, 38 kes melibatkan jangkitan tempatan sejak ia dikesan kali pertama 17 Jun lalu.

Kes jangkitan tempatan terbaru termasuklah lima orang pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Cheras, sementara satu kes lagi akibat terdedah kepada kes ke-213, seorang pramugari Malaysia yang tiba dari Sydney 27 Jun lalu.

"Sementara kes indeks bagi dua lagi kes jangkitan tempatan masih dalam siasatan," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas langkah baru menjalankan ujian air liur kepada pelancong dan rakyat tempatan yang pernah ke negara diserang wabak tersebut, Liow berkata kementeriannya mengambil sampel palitan tekak kepada mereka yang disyaki.

"Mereka ini diarah untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan diperolehi yang biasanya siap dalam tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan harian kes tersebut.

"Kepada warga asing yang disyaki dijangkiti influenza A (H1N1) mereka akan terus dirujuk ke hospital yang dikhususkan untuk rawatan dan siasatan lanjut."

Menurut kenyataan itu lagi, kes-kes terbaru melibat 36 warganegara Malaysia, Indonesia (4 orang), masing-masing dua Singapura, Filipina, Australia, dan masing seorang China dan Itali.

Jumlah pesakit di hospital-hospital yang merawat selesema A (H1N1): Hospital Sungai Buloh (29 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (24), Hospital Pulau Pinang (7), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star (4), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Umum Sarawak (2), Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh (2), Hospital Sibu (1), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (3), Hospital Tawau (1), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (3), Hospital Batu Pahat (1), Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (3), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (1) dan Hospital Melaka (1).-MalaysiaKini-

Tiada ulasan: