25 November 2009

Husam tidak tinggalkan Kelantan, PAS

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan, malah akan meneruskan perjuangannya terhadap parti dan negeri.

Beliau menafikan laporan akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dalam parti dan sebagai exco kanan kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, beliau menyifatkan laporan media itu telah disalaherti kerana beliau sedang menjalani rawatan sakit pinggangnya di sebuah hospital di Kota Bharu serta terpaksa mengambil cuti dan tidak hadir pada programnya.

"Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.

"Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu? Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?

"Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?" katanya menerusi laman blognya di cetusan-hati.blogspot.com.

Husam berkata laporan Utusan Malaysia tidak akan melemahkan beliau kerana sebelum ini telah banyak serangan telah dibuat terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS.

"Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.

"Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba mengagendakan kami?" katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan Husam dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz. BERNAMA

MalaysiaKini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum YB,

kepimpinan dan setia Datuk Husam Musa tidak payah kita pertikaikan.

Tapi PAS dan PR secara amnya mesti ada pelapis utk pemimpin yg ada sekarang.