18 Disember 2009

'Bawa pulang Sultan untuk dekatkan dengan rakyat'

Keputusan membawa balik Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, yang sedang menerima rawatan di Singapura hanya "satu langkah psikologi" untuk mendekatkan ingatan rakyat agar sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda, kata menteri besar.

"Faktor perbelanjaan atau kewangan adalah perkara kedua, tetapi yang nyata ialah psikologi minda rakyat terhadap Sultan dalam menghadapi suasana itu.

"Kalau tidak ada dalam negara bagi tempoh sebulan dua, itu perkara biasa," kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerajaan negeri bagaimanapun masih menunggu keputusan perubatan baginda sebelum langkah seterusnya diambil, lapor Bernama.

"Apa pun Tuanku Sultan akan dirawat di hospital yang dipilih dalam negara dan bukannya di Istana," Nik Abdul Aziz dipetik berkata.

Beliau juga dilaporkan akan mengekalkan barisan exco kerajaan negeri dan sekali gus menafikan bakal wujud rombakan dengan menyifatkan khabar angin isu rombakan sebagai tidak benar.

"Saya beri jaminan tidak akan berlaku rombakan exco," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Mengenai pertukaran beberapa pegawai kanan kerajaan, seperti dilaporkan agensi berita itu lagi, Nik Abdul Aziz berkata proses itu perkara biasa dalam memantapkan pentadbiran negeri.

Beliau, yang juga mursyidul am PAS, berkata beliau tetap memuji Datuk Seri Najib Razak dalam usaha perdana menteri membantu umat Islam di selatan Thailand.

Menurutnya, beliau akur dengan kebaikan seseorang itu walaupun orang itu musuhnya dalam politik.

"Mana boleh manusia ini buruk 100 peratus dan baik 100 peratus. Yang baik 100 peratus itu adalah malaikat, dan buruk 100 peratus itu adalah syaitan.

"Saya (kalau boleh) berusaha nak jadi malaikat," katanya seperti dilaporkan.

MalaysiaKini/-

1 ulasan:

xyz berkata...

MB adalah Penasihat Sultan.