18 Disember 2009

Masalah sampah di Kedah selesai - Exco

ALOR SETAR, 16 Dis: Masalah sampah yang menjadi perbualan hangat di negeri Kedah sebelum ini akan diatasi setelah pengambilan kerja-kerja pembersihan di swastakan kepada syarikat pelupusan sisa pepejal Environment Idaman (E-Idaman).

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Jalan Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi. (gambar)

Katanya, syarikat ini telah mengambil alih tugas pembersihan dua belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada dalam negeri ini kecuali Majlis Daerah Yan yang masih dalam proses perbincangan untuk pengambilalihan tugas-tugas tersebut.

"Adalah sesuatu yang tidak tepat apabila ada sesetengah pihak mendakwa tahap kebersihan yang ada di negeri ini tidak berbeza seperti dahulu sedangkan tugas-tugas pembersihan yang telah dilaksanakan oleh syarikat tersebut adalah pada tahap yang baik.

"Sekiranya masih terdapat beberapa kawasan yang didapati tahap kebersihannya tidak memuaskan maka masyarakat boleh membuat aduan supaya tindakan bagi mengatasi masalah tersebut dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Menurut beliau lagi bagi membolehkan tugas pembersihan ini dilaksanakan dengan sempurna oleh E-Idaman maka perjanjian antara PBT dan syarikat tersebut telah disempurnakan pada 25 November yang lalu.

Perjanjian fasa pertama yang telah dilakukan pada 27 Oktober yang lalu melibatkan PBT dan syarikat ini ialah Majlis Daerah Sik, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Kulim-Hi Tech dan juga Majlis Daerah Kubang Pasu, katanya.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: