22 Disember 2009

Blog tidak akan mati-Abu Hassan

4 Muharram 1431H
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Pengaruh blog terhadap masyarakat di dunia ini tidak akan mati namun mungkin mengalami sedikit penurunan pada masa akan datang.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, penurunan tersebut berlaku kerana masyarakat mula minat terhadap penggunaan video klip secara online yang bakal mendapat tempat sedikit masa lagi.

Namun tegasnya blog tetap menjadi instrumen terpenting bukan sahaja sebagai penyebar maklumat biasa malah mampu membentuk kepercayaan politik kepada masyarakat untuk memelilih kerajaan yang dikehendaki.

Berucap sewaktu membentangkan kertas kerja di Konvensyen Blogger PAS hari ini, Abu Hassan memberitahu antara faktor besar kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalau adalah disebabkan kesan maklumat yang disebar melalui media baru di internet khususnya blog.

Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, kajian yang dibuat mendapati blog menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.

Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 itu mendapati blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Lebih menarik lagi, diantara kesemua parti politik yang ada ditanah air, PAS adalah antara parti politik yang paling banyak dibicarakan melaui blog.

Malaysia menggunakan kemudahan internet hampir 92 peratus dalam pelbagai aspek kehidupan berbanding United Kingdom 66 peratus dan Amerika Syarikat 60 peratus.

Ketika ditanya kenapa berlaku perbezaan ketara penggunaan internet Malaysia dengan UK dan USA, Abu Hassan memberitahu ianya bergantung kepada amalan demokrasi negara masing-masing.

Jika sesebuah negara itu mendokong kebebasan bersuara, maka penggunaan internet mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara yang mengokong kebebasan bersuara.

Ini kerana, rakyat yang terkongkong akan mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menyalur dan mendapat maklumat khususnya saluran internet.

"Kerana lebuh raya yang ada di Malaysia ini satu arah sahaja, dan banyak tol, maka orang akan mencari jalan yang lain, yang ada ini primitif, konservetif dan kuno," kiasnya ketika menjawab soalan mengapa penggunaan internet di Malaysia tinggi.

Tegasnya lagi, mereka yang pandai memanfaatkan media baru ini akan pasti dapat membina pengaruh besar dan PAS katanya harus bijak memanfaatkan kemudahan ini untuk survival parti itu.

"Di dalam zaman internet ini, krisis adalah perniagaan," katanya.

(Gambar: Antara peserta muslimat yang turut meyertai konvensyen blogger)

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk 'Menguruskan Potensi Media Baru dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies'.

Lebih 300 peserta menyertai konvensyen blogger anjuran Lajnah Penerangan PAS di dewan Datuk Fadhil Nor, Taman Melewar hari ini.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: