22 Disember 2009

Mohd Sayuti Omar: Pakatan Rakyat buktikan kesepakatan

4 Muharram 1431H
Mohd Sayuti Omar

Agak terkilan dan malang sedikit kerana saya tidak dapat menyaksikan konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam. Tarikh untuk cuti dan berehat telah dibuat awal sebelum itu. Konvensyen itu bolehlah dianggap peristiwa penting dan bersejarah bagi PR dalam merintis dan membina lebuh raya mega maufakat antara tiga parti; PKR, DAP dan PAS.

Sebelum ini saya ada mencatatkan harapan kepada konvensyen berkenaan di akhbar Siasah. Apa yang diharapkan konvenysen itu akan menatijahkan sesuatu yang lebih bererti dan bukan sekadar satu gimik bagi menenggelamkan isu-isu lain yang menghambat PR!

Dan daripada pembacaan dan laporan mengenai konvensyen berkenaan, tergambar satu lagi kejayaan sosial dan politik untuk PR. Konvensyen itu telah memberi satu suntikan semangat kepada PR untuk lebih kuat, jitu dan bersemangat dalam menempah kejayaan bersama.

Konvensyen itu telah menjadi satu waham paling berguna kepada dan satu forum rasmi seumpamanya sejak ia terwujud lebih lima atau lapan tahun lalu.

Apabila konvensyen itu "ditejel" oleh pihak Barisan Nasional (menerusi media masa) sebagai sandiwara atau retorik pembangkang maka ia secara automatik menjelaskan konvensyen itu berjaya. Kejayaan itu tentulah digeruni oleh BN kerana ia boleh menjejaskan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Paling bererti lagi apabila BN kini sedang menghadapi krisis ketanggunjawaban di kalangan ahli Parlimen mereka.

Kalau konvensyen itu "biasa-biasa" saja ia tentu tidak akan menjadi perhatian media massa kroni dan cakap-cakap merendahkan usaha itu. Tetapi kerana ia memberi impak besar maka hendak tidak hendak dakyah untuk meremehkannya mesti dilakukan.

Empat dasar yang akan menjadi landasan kepada kerajaan PR telah dibincang dan dicapai pada konvensyen berkenaan. Dasar inilah juga merupakan tawaran untuk direnung, difikir dan dikaji oleh rakyat negara ini. Menerusi dasar-dasar ini rakyat akan membuat perbadingan antara pembaharuan dan perubahan yang akan dilakukan oleh PR.

Empat dasar itu ialah;

1. Demokrasi telus dan tulen.

2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi mampan dan adil.

3. Keadilan sosial dan pembangunan insan, dan

4. Hubungan persekutuan dan dasar luar negara.

Nampaknya tidak ada pertentangan dalam menerima dasar berkenaan. Ketiga-tiga parti sedia mengenepikan soal prinsip dan dasar peribadi dengan memfokuskan kepada mencari ikhtiar ke arah kejayaan bersama.

Persetujuan dan persepakatan ini menjelaskan parti-parti PR mempunyai iltizam tinggi untuk berpadu demi mencapai kekuasaan bagi membentuk semangat Malaysia Baru.

Kehadiran kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi parti berkenaan, menunjukkan hubungan baik mereka. Ini ditambah lagi dengan kehadiran para peserta seramai 1,500 yang tentunya terhad itu.

Ada beberapa foto kandid yang menyeronokkan untuk dilihat apabila pemimpin yang berlaga angin sebelum ini dapat duduk semeja, berbincang dan gelak bersama seperti pengerusi DAP, Karpal Singh dengan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun foto-foto kandid pada konvensyen itu diterjemahkan oleh pihak BN sebagai sebuah sandiwara PR, namun itu adalah hakikat yang terjolor di depan mata. Mungkin banyak orang di luar sana mengharapkan peristiwa yang bermula dengan sandiwara dan retorik itu akan berakhir dengan kejayaan PR mengejutkan umum.

Apakah konvensyen semalam akan memulakan persepakatan lebih erat dan bererti lagi membawa kepada PR akan bertanding atas satu lambang pada pilihan raya umum akan datang?

Itulah tampaknya yang sangat diharapkan dan masih belum ada kata putus. Mungkin juga kata putus ini belum ada kerana kedudukan PR didaftarkan sebagai parti masih belum mendapat kelulusan?

Memahami keseluruhan konflik antara satu sama lain melibatkan ketiga-tiga parti berkenaan yang tidak ditimbulkan ini bermakna mereka bersetuju melupai hal samping dan mengutamakan soal dasar. Apa yang perlu digapai ialah kemenangan dan masalah yang timbul akan diselesaikan kemudian, selepas berkuasa.

Dalam konteks hari ini Pakatan Rakyat memerlukan mandat penuh dari rakyat untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit.

Pun begitu dalam hal ini timbul sedikit persoalan apakah kekecauan tidak akan berlaku selepas tercapai kemenangan kelak? Jika diperhatikan kepada beberapa masalah dan pertikaian timbul antara parti berkenaan di beberapa buah kerajaan negeri kini, ia berlaku selepas PR berjaya membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

Hendaknya rakyat meletakkan kepercayaan atas persepakatan yang telah termeterai semalam. Selepas ini barang kali perlu diadakan satu lagi konvenyen yang akan merancang dan membincangkan segala isu dengan komprehensif dan mendalam lagi agar ia tidak menjadi masalah selepas kemenangan diraih kelak.

Satu perkara perlu diingat hakikat meraih kemenangan itu lebih mudah daripada mempertahankannya. Dan perkara paling pokok apa juga persefahaman, persepakatan dan konsensus biarlah diputuskan oleh rakyat (ahli) dan bukan daripada kalangan pemimpin saja. - msomelayu.blogspot.com

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: