22 Disember 2009

Umno-Gerakan berebut jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang?

4 Muharram 1431H
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 20 Dis: BN PULAU PINANG semalam dilaporkan bergolak apabila Umno negeri menuntut jawatan Pengerusi BN yang disandang Gerakan sejak 35 tahun dahulu.

Menurut Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tuntutan itu sesuatu yang wajar memandangkan Umno mempunyai Adun terbanyak di peringkat BN negeri, iaitu 11 orang dan tiada wakil dari kompenen BN yang lain.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan menegaskan bahawa Umno layak mempengerusikan BN kerana hanya Adun Umno sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu.

Ekoran itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mempersoal permintaan Zahid yang didakwanya sudah jelas dipersetujui bersama.

"Mengapa kita perlu membangkitkannya semula apabila amat jelas bahawa apa jua perubahan tidak akan dipersetujui oleh Gerakan," soal Koh sebelum merasmikan Kem Kepimpinan Remaja di Pulau Pinang.

Jelas Koh lagi, aturan mempengerusikan BN bukan sahaja kehendak Gerakan, malah diakui sendiri oleh Majlis Tertinggi BN pada pertengahan tahun ini.

Koh turut menasihatkan Ahad supaya tidak membangkitkan soal perjawatan itu lagi.

Mendengar nasihat Koh, Ahmad kemudiannya turut menasihatkan para pemimpin Umno semua peringkat supaya tidak membangkitkan isu tuntutan Umno mempengerusikan BN Pulau Pinang menggantikan Gerakan lagi.

Menurut Ahmad, pergelokan dalaman itu bukan sahaja merugikan parti-parti komponen dalam BN, malah mampu merosakkan imej BN di mata masyarakat Pulau Pinang sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, dipercayai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ahmad dan Koh tidak membangkitkan isu tersebut dalam media massa.

Najib yang juga Pengerusi BN Nasional dikhabarkan akan membincangkan konflik Ahmad-Koh dalam suatu mesyuarat bersama dalam masa terdekat.

Pun begitu, sumber tersebut menafikan bahawa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang pernah mengatakan 'orang Cina sebagai Pendatang' sebelum ini, sebagai punca desakan dalaman dalam Umno sendiri.

Pergolakan tersebut dijangkakan turut mencetuskan 'konflik kepentingan' di peringkat nasional kelak.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: