16 Disember 2009

Demokrasi Semakin Kabur di Malaysia

Email : vital vtc


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Lenggong
-----------------------------------------------------------
PAS telah menganjurkan satu ceramah politik krisis Perak di Kampung Gua Badak, Lenggong pada 14 Disember 2009. Lebih daripada 1000 orang telah menghadiri ceramah tersebut. Penceramah-penceramahnya ialah YDP PAS Kawasan Lenggong Tuan Hajji Razman Zakaria, YB Drs Khalil Idham Lim ADUN Titi Serong dan YB V.Sivakumar ADUN Tronoh. Yang turut hadir ialah Sdr Wong Sauk Long, Pengerusi cawangan DAP Air Kala.

Dalam Ucapannya, YB V.Sivakumar menekankan bahawa demokrasi di Malaysia semakin kabur. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak lagi menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan kekuasaan rakyat. Demokrasi dan sistem pengasingan kuasa tergadai dalam kerakusan pemimpin-pemimpin mengejar pangkat dan kuasa. Ini jelas dapat dilihat dalam senario negeri Perak. Bagaimanakah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditumbangkan? Barisan Nasional tidak menggunakan kaedah demokrasi untuk membentuk kerajaan baru di negeri Perak. Malah mereka telah menggunakan kekerasan yang bertentangan dengan demokrasi untuk kembali berkuasa di Perak.

Pilihanraya tidak dibuat untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Malah amalan ‘lompat katak’ telah dijadikan asas untuk membentuk kerajaan yang baru di Perak. Budaya ‘lompat katak’ adalah tidak sealiran dengan amalan demokrasi yang mengutamakan suara majoriti. Keputusan seharusnya dibuat oleh pengundi-pengundi dan bukannya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Tindakan ‘lompat katak’ bukanlah hasrat pengundi-pengundi tersebut. Itu adalah kemahuan wakil rakyat yang bertentangan dengan kemahuan pengundi di kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Pengundi di ketiga-tiga kawasan itu telah memilih wakil rakyat daripada parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Mereka telah terang-terang menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu.

Apabila wakil rakyat ‘lompat katak’, maka pengundi-pengundi di ketiga-tiga kawasan itu berasa tertipu. Amanah yang diberikan oleh rakyat telah dipecah untuk kepentingan peribadi wakil-wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab. Tindakan wakil rakyat ‘lompat katak’ langsung tidak mempedulikan suara majoriti di kawasan masing-masing. Bukankah ini bertentangan dengan tunggak amalan demokrasi yang asas iaitu ‘suara majoriti’ akan menang.

Jika suara majoriti tidak lagi dihormati, maka sistem demokrasi akan terancam di negara ini. Perkara ini perlu diperbaiki atau diperbetulkan dengan segera. Dewan Negeri Perak perlu dibubarkan dengan serta-merta untuk memberi peluang kepada warga Perak memilih kerajaan baru. Dengan cara ini, tidak lagi timbul isu kerajaan halal dan kerajaan haram di negeri Perak. Kemelut politik Perak dapat diselesaikan dan tumpuan boleh diberikan kepada kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat. Jika tidak, kemelut ini akan terus berpanjangan dan akhirnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

V.Sivakumar
15 Disember 2009


Tiada ulasan: