04 Disember 2009

Pengarah 'Natrah' tidak risau sensitiviti

kemaskini 3.13pm Pengarah terkenal Erma Fatima tidak bimbang jika wujud tanggapan beliau cuba membangkitkan sensitiviti kaum dengan mementaskan kisah popular rusuhan akibat pertukaran agama Natrah di Singapura, hampir 60 tahun lalu.

"Saya tidak takut. Saya berada di tengah-tengah. Saya tidak sebelah pada Kristian, saya tidak sebelah pada Islam.

"Walau apa pun orang fikir, perkara tersebut berlaku," katanya selepas pementasan teater itu di Istana Budaya malam tadi.

"Sekarang lebih banyak lagi Natrah yang lain muncul. Kita mesti tengok juga kepada mereka ini."

Isu-isu murtad melibatkan wanita Islam sentiasa mencetuskan keresahan dalam hubungan kaum dan mengingatkan insiden demonstrasi pro-Natrah di Singapura pada 1950.

Pada 19 November lalu, S Banggarma atau Siti Hasnah Vanggarama Abdullah mendakwa beliau 'diislamkan' tanpa sedar ketika kecil sewaktu menetap di sebuah rumah kebajikan di Pulau Pinang.

Kes yang benar-benar menggugah emosi umat Islam muncul beberapa tahun lalu apabila Lina Joy pula, seorang Melayu yang memeluk Kristian ingin memadamkan status Islam pada kad pengenalannya.

Selama sembilan hari mulai semalam, Istana Budaya mempersembahkan teater Natrah arahan Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad.

Persembahan selama dua jam itu dibintangi oleh artis terkenal, antaranya Maya Karin, Umie Aida, Sofia Jane dan Samantha Schubert.

Natrah mengisahkan Maria Hertogh, kanak-kanak Belanda yang diserahkan kepada wanita Melayu Che Aminah Mohamad semasa pendudukan Jepun dan kemudian diislamkan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Konflik bermula apabila Adrianus Petrus Hertogh dan isterinya Adeline menuntut kembali anak kandung mereka itu melalui mahkamah dan mahu membesarkannya menurut ajaran Katholik yang dianuti mereka.

Pada 12 Disember 1950, apabila mahkamah menyerahkan Natrah kepada ibu bapanya di Belanda - yang diberikan hak menentukan agamanya - membawa kepada rusuhan besar di Singapura.

Ketika ditemui pemberita, Erma berkata, teater Natrah bukan hanya menyentuh soal perpaduan Melayu, tetapi juga soal percintaan dan kebebasan seorang gadis.

"Ini adalah soal hak. Beliau dikongkong oleh Belanda. Bukan sahaja emak dan ayah dia sahaja yang kawal dia. Tetapi golongan agama. Yang tinggal hanya hatinya sahaja.

"Beliau boleh keluar masuk gereja untuk ambil hati keluarga kandung dia. Tetapi dalam hati dia kita tidak tahu. Kita tidak boleh hendak hukum," katanya.

Diminta mengulas kontroversi terbaru kes pertukaran agama Banggarma sewaktu masih kecil – yang seakan-akan kes Natrah, Erma yang pernah aktif bersama Puteri Umno berkata:

"Beliau ada hak (memeluk Islam). Ini bukan persoalan sensitif. Dalam sebuah negara Islam, kita bertanggungjawab mempertahankan Islam. Ini tanggungjawab pemimpin.

"Tetapi kalau hendak masuk balik ke agamanya (Hindu) saya tidak tahu boleh atau tidak. Itu melibatkan soal mahkamah."

MalaysiaKini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum YB,
Memang jelas diterangkan hukum murtad dalam Al-Quran.
Tetapi bolehkah para ilmuan Islam menterjemahkan hukum ini kepada selembut2 bahasa kepada orang bukan-Islam? Rujuklah pada negara2 Islam yg lain kerana mungkin mereka telah hadapi kes yg sama.

Selagi masalah ini tidak diselesaikan, akan berterusanlah isu sensitiviti sampai bila2 dan ada ketikanya nanti akan berulang semula rusuhan itu