13 Disember 2009

SPRM digesa siasat segera Setpol Najib

KOTA BHARU,12 Dis: Rakyat sama ada penyokong PAS atau Umno akan merasa senang hati sekiranya orang kuat Umno sendiri yang terbabit dengan kesalahan didakwa sama ada yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bahkan imej pihak pendakwaan itu juga dianggap telus.

Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas isu dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohd Shafei Abdullah dan gesaan supaya dijalankan siasatan segera berkata kalau orang kuat Umno turut disiasat atas dakwaan itu, rakyat di negara ini merasa senang hati.

“Kalau orang kuat Umno kena siasat juga maka itu menimbulkan rasa senang hati di kalangan rakyat, tanpa mengira (sama ada mereka itu dari) PAS atau Umno, kena belaka.

“Bahkan imej pihak jawatankuasa siasatan pun dianggap telus,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.

Mengenai isu dakwaan berkait dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri itu, Gerakan Rakyat Integiri dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) dalam satu kenyataan medianya 10 Disember lalu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan segera ke atas dakwaan salahguna kuasa oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri itu agar dapat diadili sebaik mungkin.

Pengerusi Gerak Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata Gerak memandang serius dakwaan itu oleh kerana ianya telah pun disebutkan secara langsung di Parlimen Malaysia.

“Jika tidak ada tindakan daripada pihak SPRM, maka dakwaan yang disebut di Parlimen itu telah dianggap remeh.

“Demi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat dan Parlimen Malaysia khususnya adalah amat wajar siasatan SPRM dilakukan segera,” katanya.

Menurut Nazree, fenomena kewujudan “Mr Political Toll” seumpama itu sebenarnya menggalakkan budaya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran.

Oleh itu, kata Nazree, demi usaha kerajaan untuk memperkasakan integriti dan kredibiliti SPRM, maka amat wajar untuk SPRM sendiri secara segera memulakan siasatan setelah Parlimen menubuhkan jawatankuasa khasnya untuk menyiasat isu tersebut.

Dalam perkembangan lain, PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini telah menghantar laporan serta memohon dakwaan tentang salah laku Setiausaha Politik Perdana Menteri itu sagar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rakyat Malaysia (SPRM).

Menurut Ketua PAS Wilayah Kamaruzaman Mohamad, sekiranya SPRM tidak membuka kertas siasatan, maka pihak PAS Wilayah meminta supaya ianya dibangkitkan semula di Parlimen.

Menurut Kamaruzaman, kertas laporan yang diserahkan kepada SPRM Wilayah Persekutuan itu dilampirkan sama hansad Parlimen 7 Disember 2009, halaman 35 hingga 38 yang tertera butiran ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong mengenai isu tersebut.

Sementara itu, Dato’ Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar mengulas dakwaan yang menyatakan Umno parti rasis dan perkauman, oleh itu harus ditolak.

Beliau berkata, memang PAS sudah lama mempertikaikannya.

“Memang sudah lama ditimbulkan. Satu daripada yang kita sebut (timbulkan) ialah bahawa (parti) Umno kena tolak.

“Ini kerana Umno menolak Islam dan mengambil kebangsaan (sebagai dasarnya). (isu ini) bukan benda baru, benda lama.

“Selagi orang Melayu ‘sebut’ Melayu, (maka) selama itulah orang Cina akan ‘sebut’ Cina, dan selama itu pula orang India ‘sebut’ India. Memang hak mereka. Justeru menimbulkan perbalahan selamanya.

“Oleh sebab itu (hendaklah) ditolak belaka. Tolak belaka ‘Melayu’, tolak belaka Cina dan ambil Islam, yang mana Islam itu bukan hak orang Melayu, bukan hak orang Arab (tetapi) hak Allah. (dengan itu) tenang hati.

“Nak cari lebih senang daripada penerimaan Islam, tidak ada di dunia ini oleh kerana ianya sampai ke akhirat. Melayu, Arab itu hanya setakat dunia saja (menyebabkan) bertelagah, tidak selesai,” katanya.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: