08 Januari 2010

Doktrin Pengasingan Kuasa Tercemar

21 Muharram 1431H

Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Pengkalan Hulu

Parti Keadilan Rakyat telah mengadakan satu ceramah umum di Pusat Khidmatnya di Pengakalan Hulu pada 2 Januari 2010. Antara penceramah-penceramahnya ialah V.Sivakumar, ADUN Tronoh. Chang Lih Kang, ADUN Teja dan Yunus, ADUN Kuala Kurau. Dalam ucapanya, V.Sivakumar menjelaskan pengertian doktrin pengasingan kuasa dan bagaimana ianya dimanupulasikan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

Perkara pokok mengenai konsep pengasingan kuasa ini ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang, melaksanakan polisi kerajaan dan menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah bertujuan supaya pemusatan kuasa tidak berlaku kepada mana-mana pihak yang memerintah sesebuah negara. Teori pengasingan kuasa ini menjamin kuasa pemerintahan diagihkan kepada 3 badan kerajaan untuk mengimbangkan kuasa masing-masing. Ini bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka ketiga-tiga cabang kerajaan itu tidak boleh campurtangan dalam hal-ehwal, fungsi dan urusan mana-mana cabang kerajaan yang lain. Masing-masing hanya menjaga rukun rukun rumahtanga sendiri dan tidak mencampuri hal rumahtangga pihak yang lain.

Ketiga-tiga cabang pemerintahan ini mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Mana-mana pihak tidak boleh menguasai kehendak pihak yang lain. Campurtangan mana-mana pihak akan mewujudkan pengaruh tak berpatutan dan seterusnya akan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa kepada mana-mana satu cabang kerajaan.

Konsep Pengasingan kuasa ini adalah penting untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman”, di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan imbang antara kuasa tersebut.

Tetapi malangnya di Negeri Perak pihak eksekutif terang-terang telan campurtangan dalam hal-hal badan perundangan. Campurtangan ini telah mencemar kedaulatan doktrin pengasainagan kuasa

Bukankah seorang Speaker berhak memanggil dewan bersidang? Kalau hak untuk memanggil dewan bersidang juga dirampas daripada seorang speaker, apakah nilai-nilai demokrasi yang akan kita warisi pada masa akan datang. Kita tidak mahu anak-anak kita hidup dalam kelambu ‘demokrasi setengah masak’.Saya telah memanggil untuk mengadakan persidangan tergempar pada 3 Mac 2009. Tetapi saya dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai alasan. Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan. Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang. Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan. Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang? Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif. Pihak eksekutif telah campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang Speaker daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini. Pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah telah dibuat untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut. Apakah kuasa yang ada pada pihak eksekutif dalam menghalang persidangan dewan tergempar? Siapakan memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya? Tindakan pihak eksekutif boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia. Eksekutif tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri. Pihak eksekutif cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’. Saya ingin mengingatkan supaya jangan meniadakan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tunggak demokrasi sesebuah negara. Gangguan-gangguan seperti ini akan mencemarkan nama baik institusi perundanagan yang disanjung tinggi.

Saya telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap bersama-sama dengan beberapa pakar Undang-undang Perlembagaan sebelum memanggil persidangan dewan tergempar. Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidangkuasa speaker. Saya telah menerima 2 usul daripada YB Khalil Idham (Titi Serong) dan YB Chang Li Kang (Teja) yang memerlukan perhatian dewan dengan serta merta. Oleh yang demikian, saya terikat kepada undang-undang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya untuk memanggil sidang dewan tergempar untuk membincangkan isu yang dibangkitkan. Ini juga merupakan amalan demokrasi yang perlu diberi pengiktirafan oleh semua pihak yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.


V.Sivakumar
6 Januari 2010

Tiada ulasan: