08 Januari 2010

Lapor SPRM: Usaha terancang bermotif politik– Nik Amar

22 Muharram 1431
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 7 Jan: Kerajaan negeri menyedari ada usaha terancang bermotif politik dilakukan pihak tertentu bagi menggugatkan kerajaan negeri.

Antaranya mengadakan demontrasi, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bertujuan mencemarkan imej Kelantan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika dinilai dari sudut politik segala tindak tanduk mereka bertujuan politik semata-mata.

“Jika seorang menerima dokumen mengenai dakwaan penyelewengan yang diposkan ke rumahnya, ini sudah memperlihatkan ada agenda politik di situ,” katanya kepada pemberita selepas program masakan asyura di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang aktivis kebudayaan membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa individu lain.

Mohd Amar berkata, dakwaan seperti itu biasa didengari, namun apakah dia ada asas dan bukti yang kukuh sehingga sanggup membuat laporan kepada SPRM.

“Aduan atau dakwaan seperti ini seolah-olah seperti ada suatu perancangan politik untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri,”ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tetap akan memberi kerjasama kepada semua pihak sama ada SPRM atau polis bagi menyiasat setiap dakwaan yang diterima.

“Sebelum ini pun banyak dakwaan dilaporkan kepada polis atau SPRM membabitkan pemimpin kerajaan negeri, tetapi belum ada yang boleh disabitkan dengan kesalahan.

“Banyak tuduhan dibuat, malangnya tidak ada yang terbukti benar, tetapi sekarang ini kita tengok bilangan tuduhan itu meningkat dengan cepat. Ini memperlihatkan seperti ada satu perancangan,” ujarnya.

Beliau tidak menolak agenda seumpama itu akan menjadi semakin galak apabila musim pilihan raya semakin hampir.

Turut berpandangan sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof yang yakin ada agenda terancang mahu mencalar emej kerajaan negeri Kelantan.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SPRM dan UMNO adalah serupa tak betul

Tanpa Nama berkata...

jangan percaya SPRM