08 Januari 2010

Penggunaan kalimah Allah ditangguh

21 Muharram 1431H

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah membenarkan akhbar mingguan Katolik Herald,The Catholic Weekly, menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan mereka.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berkenaan berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang mewakili KDN berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menghina keputusan mahkamah dengan membuat kenyataan di luar mahkamah berhubung isu berkenaan sehinggalah ianya diputuskan di Mahkamah Rayuan.

"Saya minta peguam-peguam supaya tidak menentang permohonan KDN (menangguhkan keputusan mahkamah) demi kepentingan negara. Saya juga telah meminta Hakim mendengar kes ini secepat mungkin dan Hakim sendiri berkata beliau akan memberikan keputusan secepat mungkin," katanya kepada pemberita.

Isnin lalu, KDN mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lepas bahawa berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Sementara itu, permohonan beberapa Majlis Agama Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) untuk mencelah dalam kes ini tidak diluluskan mahkamah.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: