24 April 2010

HIDAYAH DAN TAUFIQ

9 Jamadil Awal 1431H.
USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA

Hidayah dan taufiq adalah intan berlian yang berbentuk maknawi dan rohani. Ia adalah berharga seperti juga intan berlian bersifat maddi:

(1.) Siapa yang memilikinya dianggap kaya dan mulia.

(2.) Siapa yang memiliki intan berlian rohani, dia merupakan orang kaya Tuhan. Dia telah mendapat segala-galanya.

(3.) Siapa yang memilikinya, hidupnya terpimpin, akhlaknya mulia, syariatnya terjaga, imannya teguh dan bercahaya dan dia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat hidayah dan taufiq seperti jugalah barang yang berharga seperti emas dan intan berlian, ini juga boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan dipelihara sebaik-baiknya agar ia tidak hilang. Barang yang hilang dari kita susah untuk memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas-pulas berusaha mencarinya semula.

Kalau tidak ia akan terus hilang dari kita buat selama-lamanya. Kerana itulah Allah SWT mengingatkan kita dalam sepotong ayat suci Al-Quran yang bermaksud:

"Wahai Tuhan kami, jangan engkau gelincirkan hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk dan kurniakan kami di sisiMu rahmat, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

BAGAIMANA MENJAGA DAN MEMELIHARA HIDAYAH DAN TAUFIQ

(1.) Syukur nikmat Tuhan yang paling berharga ini

(2.) Kita istiqamah mengamalkannya dengan teguh serta penuh rasa bimbang kalau Allah Ta'ala ambil semula atau kalau-kalau Allah Ta'ala tarik semula.

(3.) Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar terutama di waktu-waktu malas berbuat kebaikan dan terasa ringan untuk melakukan kemungkaran.

(4.) Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik kerana ia sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan kita terasa ada kawan.

(5.) Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Ada pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat dan ilmunya dari masa ke semasa.

BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIQ DITARIK SEMULA

Hidayah dan taufiq kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Diwaktu itu kita akan hidup terumbang-ambing semula - tiada displin, malas beramal, ringan berbuat maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun mempunyai kekayaan yang banyak dan serba ada.

Di antara sebab-sebab hidayah dan taufiq ditarik semula:

(1.) Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinan

(2.) Derhaka dengan kedua-dua ibubapa. Kita sia-siakan akan kedua-duanya. Kita biarkan ibubapa tidak terurus dan terjaga. Terbiarlah kehidupan kedua-duanya lebih-lebih lagi kalau dia marah dan rasa tidak senang dengan kita.

(3.) Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok. Telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan dengan halal-haram tidak diambil kira hingga takut dengan Tuhan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya.

(4.) Menzalimi orang. Dengan sebab menzalimi, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Lepas itu cuai pun datang. Malas beribadah, kemungkaran sedikit demi sedikit berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam dalam maksiat.

(5.) Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat, kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu, dan terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan lepas itu terus dalam kemungkaran dan maksiat. Takut dengan Tuhan pun lenyap.

Di antara cara untuk memelihara hidayah dan taufiq agar tidak terhakis dari kita ialah sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya. Kita boleh menyuluh diri kita samada tanda-tanda bersyukur itu ada pada kita dengan perkara-perkara seperti berikut:

(1.) Solat awal waktu - sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berdepan dengan Allah yakni persiapan menunaikan solat dengan menyediakan diri dengan lebih awal. Melambat-lambatkan solat seolah-olah tidak memandang berat akan solat itu, maka rasa syukur pun terhakis.

(2.) Elak dari maksiat - jauhi maksiat termasuk maksiat batin mendekatkan diri kita kepada syukur tetapi sangat perlu untuk mujahadah bagi mereka yang sudah sebati dengan maksiat seperti bergaul bebas lelaki perempuan, melihat aurat, terlibat dengan riba dan kemungkaran. Allah melarang kita dari melakukan maksiat sedangkan kita masih terasa sedap buat maksiat, bagaimana kita nak ada rasa syukur kalau ini masih ada pada kita?

(3.) Tidak menyukai mazmumah setelah mengenali mazmumah lebih dekat - ramai orang memikirkan maksiat atau kemungkaran itu pada yang zahir seperti minum arak, berjudi dan berzina tidak tidak memikirkan mazmumah yang penting untuk di bakar dan dibuang. Sebab itu bermujahadah mengikis mazmumah adalah perlu dan dibuat secara berterusan.

DI SEDIAKAN OLEH USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA 019-2627636
PENGETUA MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL ABRAR
NO. 19 Atas Persiaran PM 3/2, Pusat Bandar Seri Manjung Seksyen 3,
32040 Seri Manjung Perak.
E Mail ibrahim_mtd07@yahoo.com
Segala sumbangan derma boleh lah di salurkan ke dalam akaun bank muamalat no 08030002138714

Tiada ulasan: