21 Julai 2010

Kerajaan mesti konsisten kecam zionis Israel

8 Syaaban 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Mohd Nawi (gambar) mendesak kerajaan agar serius dan konsisten dalam melaksanakan segala cadangan tindakan yang dikemukakan dalam usul berhubung serangan tentera zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010, sehingga mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan tersebut.

Desakan itu dibuat beliau sewaktu membahaskan usul yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dibacakan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

"Saya ingin memohon dan mendesak pihak kerajaan agar semua usul yang telah dibentangkan oleh pihak kerajaan dengan penambahan, agar semua tindakan yang dicadangkan dan telah dibuat ini dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu di semua peringkat dari segi ekonomi, sosial dan politik dan ianya tidak mengikut keadaan yang berlaku di Palestin," katanya.

Beliau turut mengutarakan beberapa cadangan tambahan kepada usul tersebut bagi menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam mengutuk tindakan kejam rejim zionis Israel terhadap serangan berkenaan khususnya dan rakyat Palestin umumnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan kerajaan agar membuat pelan tindakan kepada negara bagi menentang zionisme dengan dipengerusikan sendiri oleh Najib.

Hal ini, katanya bagi menunjukkan keseriusan Malaysia dalam menangani isu ini dan agar Malaysia tidak terjebak dengan unsur-unsur zionisme yang mungkin telah pun bertapak di negara kita.

Mumtaz juga mahu kerajaan melarang semua bentuk hiburan dan budaya dari barat yang mempunyai ciri pro zionis dan Israel samaada dalam lirik lagu mahupun dalam bentuk persembahan.

Tegasnya, perkara ini mesti dijadikan satu polisi oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar budaya barat tidak masuk ke negara ini secara berleluasa, bukan hanya bertindak apabila adanya bantahan atau demonstrasi membantah perkara ini.

Selain itu, Mumtaz turut menggesa kerajaan menyatakan pengiktirafan secara rasmi ke atas kerajaan Hamas yang telah memenangi pilihan raya Palestin dan seterusnya menyalurkan semua bantuan kemanusiaan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia melalui saluran yang sah.

"Kita adalah negara demokrasi, kita percaya kepada demokrasi dan kita mesti menghormati hak rakyat Palestin yang telah memilih kerajaan Hamas menjadi kerajaan mereka. Oleh itu semua bantuan dan saluran hendaklah disalurkan terus kepada kerajaan Hamas di Palestin," katanya.

Tegasnya juga, kerajaan harus menamatkan semua kerjasama dan perjanjian dengan dan mana-mana kerajaan ataupun syarikat yang pro Israel dalam apa jua bentuk, tidak kira syarikat runding cara atau perdagangan secara tersirat mahupun tersurat.

Beliau turut berharap agar kerajaan memberi keutamaan untuk memberikan biasiswa kepada pelajar antarabangsa atau pelajar luar negara, samaada pelajar lelaki atau wanita daripada Palestin untuk belajar di institut pengajian tinggi awam di Malaysia kerana ini merupakan sumbangan sumber manusia kepada Palestin bagi memastikan mereka terus mendapat pendidikan yang sempurna meskipun mereka ini telah diganasi dan dicerobohi oleh Israel.

Beliau juga berkata, kempen kesedaran dan penerangan mengenai kedaulatan negara Palestin dan Al Aqsa perlu dilancarkan sebagai program rasmi kerajaan khususnya pada bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba selain menjadikan agenda Palestin sebagai isu wajib yang akan dibawa oleh Malaysia dalam semua forum dan perbincangan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau meminta kerajaan meneliti dan memastikan terma khusus penubuhan rasmi gabungan antara parlimen (IPU) sebagai badan parlimen antarabangsa kerana ujarnya, jika perkara ini tidak diberi perhatian serius, secara langsung mengiktiraf dan menerima Israel yang sekarang ini merupakan peserta IPU sendiri.

Ahli Dewan Negara daripada PAS yang turut membahaskan usul itu ialah Senator Muhammad Yusof Husin.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: