04 Ogos 2010

Sivakumar : Demokrasi Dibunuh Di Dewan Negeri Perak

22 Syaaaban 1431H.

Kenyataam Media YB V.Sivakumar / 3 Ogos 2010

IPOH : Apa yang telah berlaku dalam Dewan Negeri Perak hari ini amat mengecewakan. Ahli-ahli Dewan Negeri Perak BN sanggup membunuh demokrasi semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik mereka. Kemuliaan Dewan Negeri Perak telah dicompang-camping sekali lagi dalam persidangan Dewan Negeri hari ini. Mereka ini merupakan golongan yang paling tidak bertamadun. Tindakan mereka harus dikecam untuk menghidupkan kembali demokrasi di Negeri Perak.

Persidangan Dewan Negeri Perak lebih sesuai dipanggil Pesidangan Polis Diraja Malaysia. Lebih ramai polis berkerumun di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat.

Nampak jelas bahawa pihak kerajaan cuba menggunakan polis yang begitu ramai untuk menggertak pihak pembangkang secara tidak langsung. Tidak ada sebab kenapa beratus-ratus anggota polis ditugaskan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada hari ini. Kenapa masa dan tenaga polis dikerah untuk tujuan politik BN? Kehadiran polis yang begitu ramai sendiri telah mengancam amalan demokrasi yang sihat di Negeri Perak. Tambahan pula, orang awam tidak dibenarkan hadir sebagai pemerhati persidangan Dewan Negeri.

Pihak media tidak diberi ruang di dalam dewan untuk membuat liputan. Mereka ditempatkan di sebuah bilik ‘akuarium’ yang kalis bunyi. Kebebasan akhbar telah dinodai oleh kerajaan BN yang zalim. Pihak media tidak diberi penghormatan yang sewajarnya . Mereka dilayan dengan buruk dan tidak dibenarkan membuat laporan yang sebenar. Dalam kata lain, kerajaan BN mempunyai niat buruk menyekat atau mengambus berita sebenar supaya tidak sampai kepada rakyat jelata. Tindakan ini membuktikan bahawa kerajaan BN takut kepada kuasa rakyat yang bakal menjatuhkan kerajaan itu di Negeri Perak dalam PRU ke 13.

Terbukti Datuk R.Ganesan adalah kuda tunggangan BN yang sanggup mengadai maruah legislatif kerana akur seratus peratus arahan pihak eksekutif . Beliau bertindak secara kelam kabut dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak rasional apabila menerima arahan komplot daripada ketua eksekutif. Terbukti Datuk R.Ganesan tunduk kepada kemahuan dan manupulasi politik kerajaan BN. Jari telunjuk ketua eksekutif dianggap sebagai cokmar oleh Datuk R.Ganesan yang terang-terang jahil dalam Perintah-perintah Tetap dan konvensyen Dewan Negeri.

Satu Rang Undang-undang yang bertajuk Enakmen Perbekalan Tambahan 2010 telah dibentangkan di Dewan Negeri hari ini. Peruntukan tambahan yang dipohon oleh kerajaan ialah sebanyak RM80 juta. Jumlah ini adalah terlalu besar dan memerlukan pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi, Datuk R.Ganesan telah mengumumkan bahawa persidangan hanya selama satu hari sahaja. Perkara ini amat ganjil sekali dan menimbulkan rasa kesangsian dan kecurigaan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri PR.

Kenapakah rang undang-undang itu perlu diluluskan secara ekspres? Kenapakah persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan selama 4 atau 5 hari mengikut konvenyen.
Ketua pembangkang hanya diberi 15 minit untuk membahaskan rang undang-undang tersebut. Semua Ahli-ahli Dewan yang lain hanya dibenarkan untuk berucap selama 10 minit sahaja. Ini merupakan satu penghinaan kepada Dewan Negeri Perak yang mulia. Ahli-ahli Dewan Negeri BN dibawah pimpinan Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir terbukti bacul kerana tidak berani berbahas dengan Ahli-ahli dewan Negeri PR dibawah pimpinan Dato Seri Ir Nizar Jamaludin.

Kerajaan BN menggunakan Datuk R. Ganesan, seorang boneka eksekutif untuk mencari jalan pintas meluluskan wang RM 80 juta tanpa perbahasan dan prosiding yang sebenar. Walaupun Dato Seri Zambry dan kuncu-kuncunya dicabar berulangkali untuk mengadakan perdebatan selama skurang-kurangnya 4 hari, tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran itu. “Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah” Dalam keadaan dewan yang kalut, Ahli-ahli Dewan Negeri PR terpaksa meninggalkan Dewan kerana penyalah gunaan kuasa oleh Datuk R.Ganesan yang menghalau keluar Dato Seri Nizar dari Dewan.

Tiada ulasan: