05 Ogos 2010

TPM akui rakyat tak faham 1Malaysia

23 Syaaban 1431 H

Langkah untuk memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia memang wajar dilakukan dan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk memberi penerangan secara terperinci kepada rakyat mengenainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak menjangkakan rakyat akan dapat memahami konsep itu selepas setahun ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pentadbirannya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat rakyat yang sudah mula dapat memahaminya."Kerajaan memberi penjelasan, mengadakan pelbagai program untuk rakyat agar lebih memahami tentang apa yang dimaksudkan tentang gagasan 1Malaysia.

"Kita jangka mungkin dalam satu tempoh akan datang, semua orang akan dapat memahami ertinya yang sebenar, tidak ada salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan gagasan 1Malaysia," katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Dr Mahathir semalam yang mahu kerajaan menjalankan program penerangan secara menyeluruh bagi memperjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan.

Muhyiddin berkata, wujud kecenderungan tafsiran mengenai konsep itu dibuat mengikut pandangan kelompok tertentu berbanding yang dijelaskan oleh Perdana Menteri.

"Perdana Menteri menjelaskan gagasan ini adalah gagasan yang berteraskan perlembagaan negara. Itu yang paling kukuh dan apa pun tafsirannya, ia tidak seharusnya lari daripada apa yang terkandung dan semangat yang ada dalam perlembagaan.

"Baik dalam soal hak Bumiputera, bahasa, budaya, kedudukan raja dan agama. Apapun ia tidak seharusnya lari daripada itu," katanya.

Beliau berkata, yang pastinya gagasan 1Malaysia adalah satu perkara yang dinamik, ia bukan statik dan pasti ada pihak yang cuba mentafsirkan mengikut kehendak masing-masing.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: