12 November 2010

Kes Aminul: Inspektor titis air mata

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hafiz Yatim

Seorang inspektor forensik sebak ketika memberitahu perbicaraan Aminulrasyid Amzah mengenai kedudukan mayat remaja yang mati ditembak oleh polis itu.

Inspektor Mazli Jusoh, kemudiannya memohon kepada hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Latifah Mohd Tahar untuk berehat seketika untuk menenangkan dirinya.

Katanya, mayat remaja itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih.

"Boleh saya henti selama lima minit,” katanya sebelum menuju ke bilik air setelah mendapat kebenaran.

Mazli dilihat berjalan keluar dari kamar mahkamah dengan matanya yang kelihatan agak kemerahan dan berair.

Mazli, menganggotai pasukan polis pada 2000 dan dipindahkan ke unit forensik pada Julai 2007.

Sebelum itu, beliau memaklumkan mahkamah bahawa kedudukan mayat Aminulrasyid amat menyedihkan dan percaya ia telah dialihkan.

Darah dari hidung

Katanya, beliau terlihat darah mengalir keluar dari hidung mangsa dan terjumpa sebutir kelongsong peluru di rumput, kira-kira lapan kaki dari kereta.

Kelonsong peluru itu dipercayai yang terakhir ditembak yang meragut nyawa remaja itu.

Menurut Mazli lagi, beliau tiba di lokasi kejadian pada sekitar jam 3.20 pagi dan sebelum itu di satu lagi lokasi pembunuhan, di Ampang.

Selepas berehat perbicaraan bersambung dengan Mazli memberikan semula keterangannya.

Katanyanya melihat kedudukan badan Aminulrasyid yang cukup menyayatkan itu, dia mengerakkannya supaya mayat itu diletakkan dalam keadaan yang lebih dihormati.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Mazli berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin bahawa mayat mangsa telah dialihkan oleh anggota MPV polis dan kemudian telah diperiksa oleh pihak ambulans.

"Pada pendapat saya kedudukan mayat telah dialih daripada kedudukan asalnya dan mayat pada masa itu dalam keadaan kedudukan yang begitu menyedihkan. Bagi saya cara itu...," kata Mazli sebelum beliau tiba-tiba terdiam dan menundukkan wajahnya.

Korporal Jenain Subi, 48, (tiga dari kanan) didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat di kejadian yang berlaku di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2pagi, 26 April.

Dakwaan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara 30 tahun jika didapati bersalah.

Terlupa ambil gambar

Mazli berkata beliau memutuskan untuk meletakkan mayat mangsa dalam keadaan lebih baik iaitu dengan membaringkannya di atas tanah yang berumput kerana siasatan beliau di tempat kejadian mungkin akan mengambil masa agak lama.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada mengambil gambar mayat mangsa, saksi itu berkata beliau terlupa untuk berbuat demikian.

Mazli berkata beliau kemudian membuat pemeriksaan dan penandaan pada kesan-kesan tembakan dan barangan yang dijumpai pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu termasuk sebilah parang serta mengambil kesan tumpahan cecair disyaki petrol.

Saksi itu berkata berdasarkan kesan petrol yang ditemui di tempat kejadian, beliau mendapati kereta itu dipandu laju dan bergerak dengan lurus sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan kereta itu berubah sedikit arahnya menghala ke tembok dinding rumah no: 2 di Jalan Makyong 11/2G.

Kereta itu kemudian melanggar tong sampah plastik depan tembok tersebut sehingga kereta itu berhenti.

Seterusnya Mazli berkata pada 28 April lalu (dua hari selepas kejadian) beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat ASP Abd Halim Ismail (pegawai penyiasat yang menggantikan Ahmad Fauzi) untuk merakam gambar keseluruhan kereta tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau juga merakam gambar tempat kejadian bagi melihat kesan-kesan tanah yang dikatakan kereta itu kemungkinan cuba untuk mengundur semasa kejadian.

"Saya dapati tidak ada kesan tanah yang terhasil akibat daripada tayar berpusing. Di tepi longkang berhampiran tayar kiri yang tergantung (semasa kejadian) juga tidak ada kesan tayar bergesel dengan permukaan kasar.

Ditarik keluar

"Pada pendapat saya kesan-kesan tanah berlaku lebih kepada apabila kereta terbabas dan kemudian ditarik keluar dari tempat kejadian," katanya.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada hari kejadian, Mazli berkata pada permulaan beliau menerima taklimat daripada Ahmad Fauzi bahawa mangsa ditembak semasa cuba mengundur setelah terbabas ketika dikejar oleh polis, maka siasatan pihaknya adalah lebih terarah kepada kawasan tempat kejadian kereta terbabas.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa lewat dua hari untuk menjalankan pemeriksaan semula di tempat kejadian, saksi itu berkata pihaknya menjalankan siasatan lanjut pada 28 April apabila diminta pegawai penyiasat.

Mengenai keadaan kereta tersebut ketika beliau menjalankan pemeriksaan keseluruhan, Mazli berkata kereta itu diletak di tempat letak kereta awam di IPD Shah Alam tanpa sebarang garisan polis.

"Kebiasaannya barang kes untuk buat pemeriksaan tidak diganggu oleh eksibit lain. Pegawai penyiasat akan memasang garisan polis jadi anggota polis lain yang tiada kaitan dengan kes akan faham bahawa kereta itu tidak boleh dihampiri atau diganggu.

"Kalau tiada garisan polis kemungkinan ada anggota polis lain atau orang awam boleh menghampirinya," katanya.

Mazli seterusnya berkata pada tarikh yang sama (28 April) pihaknya turut diminta oleh pegawai penyiasat untuk mencari kelongsong peluru dan serpihan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian bagi mengetahui dari mana tembakan dilepaskan berikutan terdapat dua anggota polis yang telah melepaskan tembakan dalam kes itu.

Saksi itu berkata daripada pemeriksaan di kawasan tersebut pihaknya menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua sepihan anak peluru.

Perbicaraan bersambung pada 22 Nov ini.

Malaysiakini/-

5 ulasan:

mizztraveller berkata...

sedih juga ...

entah la polis tu dalam pengaruh dadah ketika bertugas ....macam2 ada ....sapa tahu ....

Tanpa Nama berkata...

Korporal Jenain Subi,patut dihukum bunuh juga..mana boleh dia dituduh membunuh tanpa niat sebab berapa punya banyak yg dia tembak mangsa..bodoh punya hakim,dunia anda terlepas disana anda jawap laa

Tanpa Nama berkata...

kalau negara dah jadi negara kartun, memang macam ni

Tanpa Nama berkata...

setengah2 polis ni mmg samseng pakai uniform.. jadi polis mmg sbb nk blasah org.. rasa power..

Tanpa Nama berkata...

tapi heran jugak ya... si Arwah Aminul dgn kawan dia tak ada pun pistol nak berbalas2 tembakan dgn polis.... sampai byk bebenor peluru yang dilepaskan...