Pertubuhan bukan kerajaan pilihan raya adil, Bersih 2.0 mengingatkan parti-parti politik agar tidak mendakwa Putrajaya adalah milik mereka ketika mempersiapkan jentera bagi menghadapi saingan pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun depan.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seringkali menggunakan tema “Menuju Ke Putrajaya” dalam ceramah dan kempen manakala dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno, mahu Putrajaya dipertahankan walau apa pun terjadi.
“Putrajaya bukan milik mana-mana pihak, tetapi kepunyaan rakyat Malaysia, kita (rakyat) akan menentukan siapa yang layak memiliki Putrajaya,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada majlis pelancaran pergerakan itu di sini malam tadi.
“Kita, rakyat, akan memutuskan siapa yang akan mentadbir Putrajaya,” kata beliau pada majlis dihadiri sekitar 600 orang. Bersih 2.0 dilancarkan sebagai badan madani, sebagai sebuah badan bebas berbanding 2005 yang digerakkan oleh parti-parti politik.
Pada 2007, Bersih mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu negara meminta diadakan pilihan raya bebas. Bersih 2.0 diberi nafas baru di sebaliknya gesaan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini akan badan itu digerakkan semula bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang adil.
Ia tidak dipimpin oleh ahli-ahli politik. Kelmarin ia mengadakan pertemuan sulung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan memorandum 11 perkara bagi memperbaiki sistem pilihan raya negara agar telus dan adil.
Menurut Ambiga, sistem demokrasi yang adil dan bersih akan mendorong rakyat memilih pemimpin impian mereka masing-masing. Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, kerajaan dan SPR sepatutnya menerima 11 tuntutan Bersih 2.0 iaitu pembersihan sepenuhnya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal elak pengundian berganda dan penyelewengan undi, reformasi proses pengundian, kebebasan pada semua parti untuk mengakses media, memanjangkan tempoh berkempen minimum 21 hari, pendaftaran automatik serta umur turun mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan proses kewangan pilihan raya diurus dengan telus.
“Semua parti mesti memberi perhatian dan angkat cadangan-cadangan ini, kalau SPR masih tidak mendengar dan meletakkan cadangan ini di belakang, kita tahu ke mana kami harus pergi (dan) apa yang kami wajar buat,” katanya.
sumber -The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan