03 Disember 2010

Perangkaan hutang negara: Donald, MP berbalah

26 Zulhijjah 1431H

Ahli parlimen Pakatan Rakyat dan kerajaan sekali lagi bertikam lidah di Dewan Rakyat hari ini berhubung perangkaan yang tidak konsisten yang dibekalkan semasa jawapan daripada kementerian-kementerian terlibat mengenai hutang negara.

Ketika menjawab soalan daripada Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim (kanan) berkata hutang negara adalah wang yang dihutang negara kepada negara asing, dengan lain perkataan adalah hutang asing.

"Hutang asing negara menunjukkan trend yang menurun. Pada September 2010, hutang asing jatuh kepada RM227.5 billion," kata Lim.

Bagaiamanpun, Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) bangkit dan berkata berdasarkan laporan unjuran perbelanjaan 2011 yang diedarkan kepada ahli parlimen, angka yang diberikan tidak sama.

"Menurut laporan itu, jumlah hutang kerajaan persekutuan yang belum dibayar adalah RM446.7 bilion," katanya sambil menambah jawapan timbalan menteri itu cuba memperdayakan Dewan Rakyat.

Azan berkeras hutang negara membawa maksud jumlah keseluruhan hutang kerajaan persekutuan dan tidak terhad kepada hutang asing sahaja.

Lim, sebaliknya menafikan perkara itu dan berkata definisi Azan adalah silap dan menjelaskan bahawa hutang negara adalah wang yang dihutang kepada negara asing dan bukannya hutang kerajaan persekutuan seperti yang dibacakan oleh Azan yang juga memuatkan hutang domestik atau dalam negara.

"Baca la, baca la, angka awak semua salah,” kata timbalan menteri itu.

Pada sidang akhbar di parlimen lobi kemudiannya, Azan berkata maklumat hutang negara yang diberikan oleh kerajaan sangat menyeleweng.

"Maklumat hutang negara sangat menyeleweng, bahkan 100 peratus jauh lebih rendah," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

siarkanlah perbahasan secara langsung..biar rakyat dapat menilai...kenapa takut?