03 Disember 2010

Rombakan PDRM: 4 negeri dapat ketua polis baru

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : Salhan K Ahmad

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumum rombakan peringkat tinggi yang membabitkan pelantikan ketua polis baru di empat negeri yang berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman, Tan Sri Ismail berkata empat negeri yang mendapat ketua polis baru ialah Melaka, Perlis, Terengganu dan Perak.

Mereka ialah SAC Datuk Chuah Ghee Lye (Melaka), DCP Datuk Mohd Shukri Dahalan (Perak), SAC Datuk Tajudin Md Isa (Perlis) dan SAC Datuk Jamshah Mustapha (Terengganu).

Sebelum ini, Chuah merupakan komander Unit Udara PDRM) manakala Mohd Shukri adalah ketua polis Terengganu.

Tajuddin pula adalah timbalan pengarah (II) jabatan siasatan jenayah komersial manakala Jamshah merupakan ketua penolong pengarah pengurusan bahagian latihan.

"Beberapa jawatan lain telah diluluskan oleh suruhanjaya lain iaitu ketua jabatan jenayah Selangor, ketua jabatan jenayah Sabah dan beberapa jawatan kosong lain di dalam PDRM.

"Dengan pengumuman ini, barisan yang saya tetapkan ini akan melengkapkan perubahan sejak saya mengambil alih tugas sebagai ketua polis negara," kata Ismail lagi.
Usaha perkukuh PDRM

Dalam kenyataannya, Ismail berkata mesyuarat SSP itu merupakan usaha untuk memperkukuhkan struktur serta perkhidmatan pegawai dan anggota pasukannya, dengan sokongan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

"Keputusan yang dibuat pada hari ini adalah untuk memastikan PDRM dapat menyusun dan menugaskan pegawai yang sesuai berdasarkan pengalaman masing-masing bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Mesyuarat hari ini juga telah membincangkan langkah-langkah bagi memperkemaskan prosedur dan meperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib serta disiplin di kalangan anggota PDRM.

"Ini penting bagi menunjukkan keseriusan pihak PDRM dalam mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku, sekali gus meningkatkan tahap profesional dan kepercayaan anggota masyarakat terhadap pasukan polis," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: