06 Januari 2011

Beng Hock: Pakatan gesa tubuh Suruhanjaya Diraja

01 Safar 1432H.
Oleh : Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 5 Jan: Pakatan Rakyat mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi mendapatkan keadilan bagi pihak Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Desakan ini ekoran Mahkamah Koroner hari ini tidak dapat memutuskan sama ada Beng Hock membunuh diri atau dibunuh.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari menganggap keputusan Koroner Azmil Muntapha Abas sebagai satu drama.

"Kita harap rakyat buka mata bahawa kematian pegawai khas kepada exco ini satu perkara serius.

"Kita menuntut supaya kes ini dibawa ke Suruhanjaya Diraja untuk kita meneliti kes ini. Siasatan awam dan keputusan hari ini satu drama sahaja," kata beliau yang juga Adun Kota Anggerik.

Adun Pandamaran, Ronie Liu pula berkata, Malaysia memerlukan mahkamah rakyat memandangkan mahkamah yang ada ketika ini tidak dapat membuat keputusan secara adil.

"Kita perlukan mahkamah rakyat dan mahkamah tuhan kerana mahkamah yang ada hari ini tidak dapat membantu lagi," katanya.

Sementara itu, bekas majikan Beng Hock, Ean Yong Hian Wah yang merupakan Adun Sri Kembangan melahirkan kesedihan di atas keputusan tersebut dan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.

"Saya berasa sedih dengan keputusan hari ini kerana koroner sudah mengesahkan beberapa bukti tapi katanya masih tidak cukup.

"Inilah masanya Perdana Menteri membuat kenyataan adakah beliau akan tubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk siasat kes ini sebab tidak ada satu jawapan yang konkrit," katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir mendengar keputusan hari ini pula berkata, adalah sesuatu yang sangat malang apabila persoalan selama 18 bulan siasatan tidak dapat dirungkai hari ini.

"AMK dan Pakatan Rakyat kesal kerana persoalan tidak terungkai dalam tempoh 18 bulan siasatan sedangkan kita ada pasukan peguam.

"Rakyat tak tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kematian ini dan keptusan ini tidak dapat memberikan keadilan kepada keluarga Beng Hock.

"Saya tegaskan sudah sampai masanya SPRM mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan siasatan terhadap mana-mana suspek dalam kes rasuah ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Pegawai-pegawai Khas Wakil Rakyat Selangor, Abdul Razak Ismail pula mendakwa keputusan itu menggambarkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas exco yang disoal siasat atas dakwaan tertentu.

"Open verdict ini menunjukkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas Exco Pakatan Rakyat dan ini menidakkan hak kami.

"Tak mungkin Beng Hock mati begitu sahaja. Oleh itu beliau perlukan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Koroner Azmil Muntapha Abas yang membacakan keputusan kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak dapat memutuskan samaada mendiang dibunuh atau membunuh diri, justeru mengumumkan kes tersebut "open Verdict".

Keputusan terbuka itu bermaksud keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan keputusan.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: