10 Februari 2011

Gelombang Merah - gimik politik Umno

7 Rabiulawal 1432H.[MOD]-

KUALA LUMPUR, 10 Feb — PAS Kelantan menyifatkan langkah Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah di negeri itu sebagai “gimik politik” menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagi kita ini satu gimik politik Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi dengan hasrat mahu menampakkan mereka mempunyai slogan baru untuk menghadapi PAS di Kelantan.

“Rakyat di Kelantan tidak akan terpengaruh dengan gimik politik ini, malah kita percaya pengundi terutamanya pengundi muda tidak akan terpedaya dengan slogan terbaru Umno ini,” kata Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Malah beliau percaya langkah terbaru Umno Kelantan itu tidak akan memberikan kesan terhadap sokongan pengundi kepada PAS dan kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Rakyat Kelantan boleh menilai serta buat penilaian dengan baik, mereka boleh buat keputusan tepat dengan memilih PAS dan kita lihat sehingga kini mereka masih memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memerintah negeri ini.

“Ia tidak akan memberi kesan untuk mempengaruhi pengundi di sini,” kata Mohd Zaki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran itu berkata, PAS tidak hipokrit seperti Umno yang hanya mendekati pengundi setiap kali pilihan raya akan diadakan.

“Pengundi terutamanya pengundi muda akan tetap bersama kita, mereka akan tetap bersama kita daripada pergi kepada Umno.

“Kita sudah mendekati mereka sudah lama, kita konsisten dan kita bukan hanya seperti Umno yang bergerak setiap empat tahun sekali,” katanya.

Awal minggu ini Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang, katanya.

Menurut Mustapa, BN semakin mendapat tempat di hati rakyat Kelantan berdasarkan keputusan pada dua pilihan raya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada Julai 2009 dan DUN Galas pada November lepas.

Pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009, BN berjaya mengurangkan majoriti 1,352 undi yang diraih PAS pada pilihan raya umum 2008 kepada hanya 65 undi dan pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November tahun lepas, BN menang dengan majoriti lebih besar iaitu 1,190 undi berbanding 646 undi pada 2008.

Mustapa berkata keputusan pada dua pilihan raya kecil itu jelas menunjukkan golongan muda di Kelantan mahukan satu perubahan.

Beliau percaya golongan muda kini sudah berpihak kepada BN kerana mereka yakin dengan kemampuan BN untuk membawa pelbagai perubahan yang diperlukan bagi merubah landskap Kelantan menjadi sebuah negeri berdaya saing daripada aspek ekonomi.

Tambah Mohd Zaki, dua pilihan raya kecil di Kelantan itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa pengundi muda telah kembali kepada Umno.

“Bagi kita pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan petunjuk kerana bila ada pilihan raya kecil Umno-BN dengan semua jentera akan turun dengan menawarkan pelbagai janji kepada rakyat.

“Dengan janji macam-macam kepada rakyat, ini adalah cara kempen Umno-BN kalau ada pilihan raya kecil yang kita akan tolak walapupun mereka menang,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Kelanatan Abdul Fatah Harun pula berkata parti Islam itu tidak bimbang terhadap usaha terbaru Umno Kelantan untuk merampas negeri itu.

“Kita tidak gentar untuk hadapi taktik terbaru Umno ini, bila Umno gunakan cara berdepan macam ini PAS tidak akan kalah.

“PAS hanya akan kalah bila Umno guna gerakan senyap, strategi yang bercanggah dengan Islam dan amalan demokrasi,” katanya.

Beliau juga yakin pengundi di Kelantan tidak akan mudah terpengaruh dengan strategi Umno Kelantan itu.

Bagaimanapun, Adun Bukit Tuku itu berkata, PAS Kelantan tidak akan berdiam diri sebaliknya akan bertindak dengan lebih agresif untuk mempertahankan Kelantan.

“Sudah pasti... kita akan tetap pertahankan Kelantan, kalau Umno guna strategi ini kita juga ada strategi kita sendiri.

“Kalau Umno kuat, kita akan pastikan PAS Kelantan lebih kuat daripada Umno kerana kita tidak mahu menang disebabkan kelemahan orang lain,” katanya.(MInsider)

1 ulasan:

IRWAN berkata...

SEKALI LAGI, UMNO /BN MENCEMARKAN SUKAN BOLA SEPAK DEMI KEPENTINGAN POLITIK MEREKA. SEPATUTNYA BIDANG SUKAN INILAH YANG MENYATUPADUKAN RAKYAT TAK KIRA FAHAMAN POLITIK DAN AGAMA.

APAPUN, KPD PEMIMPIN PAS GELOMBANG MERAH TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN.

RAKYAT SEBENARNYA TAK PERLU GELOMBANG MERAH ATAU GELOMBANG BIRU. TAPI PRESTASI KERAJAAN PIMPINAN PAS DAN WAKIL2 RAKYATNYA YANG AKAN DINILAI.

BAGI MEREKA YANG GAGAL MEMBERIKAN PERSEMBAHAN CEMERLANG ATAU DIRASAKAN SUDAH TIDAK MAMPU, ANDA DIALU-ALUKAN MENGUNDUR DIRI SEBELUM RAKYAT YANG "MENGUNDURKAN" ANDA. CALON PENGGANTI JUGA PERLULAH YANG RELA BEKERJA KERAS DEMI RAKYAT.