11 Mac 2011

412 pelatih PULAPOL kena kuarantin elak jangkitan

06 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PEKERJA membersihkan saluran parit di luar pintu masuk PULAPOL KL berikutan penularan ‘Adenovirus’ Jumaat lalu.
Pasukan perubatan pantau penularan di pusat latihan

KUALA LUMPUR: Seramai 412 pelatih inspektor dan konstabel dikuarantin di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) sehingga semalam bagi pemerhatian dan rawatan berikutan jangkitan Adenovirus yang mula dikesan merebak, Jumaat lalu.

Komandan PULAPOL KL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata kuarantin itu bagi mengawal penularan virus berkenaan susulan kematian seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, malam Selasa lalu, selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki mengalami ‘Influenza Light Illness’.

“Semua 412 pelatih itu sedang diberikan rawatan oleh Pasukan Khas Kementerian Kesihatan, membabitkan lapan doktor dan 32 petugas perubatan yang ditempatkan di sini. 1,501 pelatih lagi disahkan sihat dan tidak mengalami sebarang jangkitan tetapi masih diletakkan di bawah pemantauan.

“Mereka juga tidak dibenarkan meninggalkan pusat latihan atau menerima pelawat, termasuk anggota keluarga bagi mengelak penularan jangkitan virus itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Seramai 1,945 pelatih sedang mengikuti latihan di PULAPOL KL, masing-masing 993 pelatih inspektor dan 952 pelatih konstabel, tidak termasuk 854 pegawai dan kakitangan bertugas.

Zulkifli berkata, pihaknya membuka dua talian khas, 03-26882062 dan 03-26882009 bagi memudahkan anggota keluarga pelatih menghubungi Bilik Gerakan PULAPOL KL untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan pelatih.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada orang ramai, khususnya keluarga pelatih dari semasa ke semasa. PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kesihatan sedang berusaha menangani pemasalahan ini.

“Kita akan menghubungi ahli keluarga pelatih sekiranya ada mana-mana pelatih disahkan atau disyaki mengalami jangkitan virus itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan 31 pelatih masih menerima rawatan lanjut di HKL, masing-masing empat pelatih inspektor dan 27 pelatih konstabel dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Mengenai operasi PULAPOL KL, Zulkifkli menjelaskan semua bentuk latihan kini dihentikan bagi mengelak risiko jangkitan virus dan hanya akan disambung semula selepas mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, tinjauan mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk di pusat latihan berkenaan, malah seluruh kawasan dikawal rapi. Sekumpulan pelatih dilihat membersihkan kawasan persekitaran.

Hardi Effendi Yaacob
Berita Harian/-

Tiada ulasan: