11 Mac 2011

BN Tidak Boleh Tarik Nafas Lega Kemenangan PRK

06 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 11 MAC : Barisan Nasional tidak boleh menarik nafas lega walaupun memenangi Pilihan Raya Kecil Merlimau dan Kerdau baru-baru ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin, majoriti kemenangan BN di kedua-dua tempat walaupun bertambah, langsung tidak beri kesan signifikan.

"Kalau dahulu tahun 2008, majoriti 2100, tapi kini kira-kira 3600 tapi bukan sampai 4200 sampai kita merasa gusar. Walaupun banyak duit dibelanjakan tapi tidak dapat majoriti yang beri kesan signifikan kepada petugas parti tidak kira PR atau BN," kata Shamsul dalam rancangan Fokus Berita terbitan TV Selangor yang membincangkan analisa PRK Merlimau dan Kerdau.

Pada PRK Kerdau dengan majoriti 2, 724 undi. BN yang diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berjaya memperolehi 5,060 undi sekaligus menewasakan calon PAS, Hassanuddin Salim yang mendapat 2,336 undi.

Manakala di Merlimau calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad berjaya menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Shamsul yang mengambil sikap optimis dengan kekalahan itu menyambut baik keputusan ini dan yakin pengundi akan menyedari hakikat sebenar menjelang Pilihan Raya Umum akan datang apabila BN tidak mampu memberi tumpuan terhadap janji-janji mereka.

"Pada saya ada hikmah PRK berlaku, kerana paling tidak PR ada peluang untuk beri kempen dan idea yang mungkin mengambil masa untuk dihadam oleh pengundi."

"Ia berbeza PRK dengan PRU kerana PRU isunya besar dan kawasan ini mungkin tak terpaut jentera BN. Saya yakin dalam PRU nanti, mesej kita semasa PRK akan beri kesan. Dan cabaran akan lebih besar kepada BN yang mereka ingin melihat adakah janji-janji Datuk Ali dapat ditunaikan," ulas Shamsul

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula dengan sinis menganggap keghairahan UMNO berbelanja untuk memenangi PRK tersebut tidak bersesuaian dengan undi yang diberikan.

Beliau turut kesal dengan tindakan tergesa-gesa BN Melaka pimpinan Datuk Wira Ali Rustam yang mula menjalankan projek mee segera mereka sejurus pengkebumian penyandang, Allahyarham Datuk Khidir Hassan 20 Januari lalu.

"Di negeri lain projek mee segera bermula sejak penamaan calon tapi di sini (Merlimau) ia bermula selepas pengkebumian. Kalau diikutkan, PAS sepatutnya sudah hilang wang pertaruhan. Tapi kita dapat kekalkan sokongan kita. Kalau tengok dari segi imbuhan kepada pengundi. Kalau ikut dari janji yang dibuat PM dan TPM di kedua-dua tempat, PAS sepatutnya sudah hilang wang pertaruhan tapi kita dapat kekalkan undi," kata Nizar

PRK Kerdau dan Merlimau merupakan perlawanan ketiga dan keempat berturut-turut PAS dan UMNO selepas Manik Urai dan Tenang yang menyaksikan pertembungan calon UMNO dan PAS mewakili BN dan PR di kawasan bermajoriti Melayu.

UMNO menggunakan peluang ini untuk menggula-gulakan pengundi dan memainkan isu perkauman dan menyebar fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Nizar yang juga menerajui Perak sebelum dirampas UMNO pada 2009 turut menyatakan berbeza dengan UMNO, kempen PAS dan Pakatan adalah jauh lebih konsisten dan berteraskan agenda bersama Pakatan Rakyat.

"Apa yang PAS tunjukkan ialah strategi kita dalam Pakatan Rakyat menyebarkan isu ketidakadilan dalam masyarakat. Kita timbul isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, dan semua ini adalah prinsip Pas yang dipersetujui semua Pakatan Rakyat. Jadi kalau PAS lawan UMNO dalam itulah isu yang dimainkan pun supaya rakyat dapat melihat hasil pentadbiran kita dalam 5 negeri," kata beliau.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: