11 Mac 2011

PAS hulur sumbangan, bantu pelajar Malaysia di Mesir

06 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Seramai 200 orang pelajar Malaysia di Mesir termasuk ahli keluarga mereka yang tidak pulang ke tanah air ketika pergolakan di negara itu baru-baru ini telah menerima bantuan dari PAS.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, sempena lawatan singkatnya ke Mesir baru-baru ini.

Menurut Syed Azman, beliau telah mengambil kesempatan melawat pelajar-pelajar Malaysia di bandar Cairo dan Iskandariah yang tidak mengikuti misi menyelamat ops piramid yang dibuat kerajaan baru-baru ini.

Katanya, bantuan tersebut berupa sedikit wang dari dana Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) yang dihulurkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan.

"Sempena kunjungan itu, saya turut meluangkan sedikit masa untuk beramah mesra dengan mereka, di samping meninjau keadaan terkini mereka di sana," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.

Sumbangan tersebut menurutnya, telah diterima wakil pelajar Malaysia di Mesir dan mereka merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan PAS membantu mereka.

Dalam lawatan itu, Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sempat bertemu dengan pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya, Dr Mohamad Al Badie' untuk bertukar pandangan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: