11 Mac 2011

DAP bawa isu saman ekor ke mahkamah

06 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

MANJUNG – DAP Perak akan membawa isu saman ekor ke mahkamah jika gagal diselesaikan selepas tempoh lanjut berakhir semalam.

Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau menjuruskan perkara itu kepada kesilapan saman ekor ke atas beberapa individu yang tidak pernah melakukan kesalahan sepertimana notis tawaran kompaun saman ekor.

Menurutnya, perkara itu adalah mengikut peruntukan undang-undang yang mengatakan seseorang individu tidak boleh dianggap bersalah, selain dibuktikan dalam mahkamah.

"Perlembagaan jelas mengatakan, tindakan tidak boleh diambil ke atas individu sebelum dibuktikan bersalah dalam mahkamah termasuk menahan cukai jalan mengikut peruntukan undang-undang negara ini.

"Ada banyak kes yang diadukan termasuk kepada saya sendiri apabila individu berkenaan jelas tidak melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor," katanya kelmarin.

Koo Ham berkata, beliau mendapat aduan dua kes terbaru di mana melibatkan seorang guru apabila tarikh dan masa yang dinyatakan dalam notis berkenaan adalah waktu beliau berada di sekolah dan sedang mengajar.

Satu kes lagi, berkenaan kesilapan jenis kenderaan iaitu nombor pendaftaran kenderaan yang di saman didaftarkan ke atas kereta, bukan motosikal sepertimana dinyatakan dalam notis tawaran kompaun saman ekor.

"Kita telah menghantar surat kepada polis meminta supaya notis tawaran kompaun saman ekor yang silap dikeluarkan ini dibatalkan, tetapi polis enggan berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersatu hati menentang sikap kerajaan berhubung isu saman ekor.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: