28 April 2011

Apa motif AS mencipta kekacauan di Syria?

24 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PROTES atau ketidakpuasan hati rakyat terhadap kepimpinan sesebuah negara adalah fenomena biasa yang dapat kita lihat hari demi hari.

Di dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem yang demokratik, juga terdapat pelbagai pandangan berbeza dan bantahan rakyat terhadap sesuatu isu yang tidak dipersetujui.

Bantahan rakyat dibuat dengan pelbagai cara, sama ada menerusi laman sesawang, memorandum, demonstrasi dan sebagainya.

Cuma sejauhmana tahap bantahan itu ditentukan oleh keadaan semasa sebagaimana yang dapat kita lihat berlaku di Tunisia, Mesir, Bahrain, Yaman dan beberapa buah negara termasuk yang terkini, di Syria.

Penulis tertarik untuk mengupas persoalan ini, khususnya yang berkaitan dengan Syria kerana sudah beberapa kali berkunjung ke Syria, Lubnan dan Jordan yang paling hampir di sempadannya. Dalam kamus Islam selain ketiga-tiga negara ini, termasuk Palestin dikenali dengan bumi Syams yang pernah dikunjungi Nabi Muhammad s.a.w sebanyak dua kali.

Dalam lawatan ke ibu kota Damsyik baru-baru ini, penulis berkesempatan mengunjungi bandar Nawa yang merupakan tempat kelahiran Imam Nawawi Rahimahullah dan juga ke kota Busra, tempat persingahan dan perdagangan sejak zaman Abu Talib bapa saudara Nabi Muhammad membawa baginda ke sana sewaktu kecil.

Di Busra, Nabi Muhammad bertemu dengan Buhaira pendeta Yahudi yang menjadi rahib Kristian, yang melihat sendiri tanda-tanda kenabian Muhammad. Kesan-kesan kota dan tempat pertemuan paling bersejarah dalam dunia Islam masih kekal sehingga kini.

Perjalanan ke kedua-dua kota penting dalam sejarah Islam ini memakan masa dua jam dari kota Damsyik. Kami melewati kota Daraa di mana berlakunya kejadian bantahan rakyat yang berlaku tumpahan darah.

Sebelum itu juga dilaporkan wujud beberapa bantahan kecil di Damsyik. Pada tanggapan penulis, ketika itu bantahan yang diuar-uarkan berlaku di seluruh Syria, hanya meliputi beberapa tempat yang khusus dan tidak menjejaskan perjalanan keseluruhan sebuah negara.

Untuk mudah difahami, misalnya berlaku demonstrasi di Jalan Tunku Abdul Rahman di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, aktiviti rakyat di kawasan sekelilingnya, termasuk di pejabat HARAKAH di Jalan Pahang (kira-kira 4 km dari lokasi), tidak terjejas sama sekali.

Berbalik kepada soal Syria, media antarabangsa seperti CNN dan BBC membuat liputan yang agak besar, khususnya mereka mendakwa Presiden Bashar Assad menjalankan pemerintahan secara kuku besi dan menindas rakyat.

Mereka cuba menyamakan Bashar dengan rejim Zien al-Abiden Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir. Rakyat dihasut supaya bangkit untuk menentang kerajaan.

Penulis tidak berhasrat untuk menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku di Syria. Namun yang paling jelas, dilaporkan minggu lepas Wikileaks mendedahkan bahawa Amerika Syarikat turut campur tangan membiayai golongan pemberontak.

Sebagaimana yang dilaporkan Associated Press (AP) dan Washington Post, Jabatan Negara AS secara rahsia membiayai penentang Presiden Bashar untuk melakukan pemberontakan.

Salah sebuah rangkaian yang ditaja AS adalah Barada TV, sebuah TV satelit yang berpangkalan di London, yang diketuai oleh Malik al-Abdeh, pengasas kumpulan penentang kerajaan yang berada dalam buangan.

Wikileaks mendedahkan bahawa AS telah menyalurkan sebanyak USD6 juta, termasuk beberapa buah kumpulan pembangkang dalam Syria. Untuk memudahkan AS menyalurkan 'sokongan' tersebut, AS baru sahaja membuka kedutaannya di Damsyik.

Bagaimana pun menurut Washington Post, tidak dipastikan sama ada sekarang ini AS masih membiayai penentang Bashar walaupun terdapat dokumen menunjukkan pembiayaan dibuat pada September 2010.

Pentadbiran Presiden Barack Obama tidak menyembunyikan kebimbangan mereka. AS cuba untuk mengaitkan Iran dalam pergolakan di Syria.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner mendakwa Iran membantu Bashar untuk meredakan protes rakyat terhadap syria

Laporan Wikileaks ini sebenarnya mendedahkan bahawa AS secara terbuka memberikan tekanan kepada pentadbiran Bashar supaya agak lunak dalam menangani persoalan Israel, Lubnan dan Iraq di mana Bashar dilaporkan menentang keras campur tangan AS.

Tekanan turut dikenakan terhadap Bashar, kerana beliau melindungi kumpulan Islam yang dianggap sebagai ekstremis oleh AS seperti Hamas, Jihad Islam dan sebagainya.

Yang paling penting Bashar Assad merupakan sekutu rapat kepada Republik Islam Iran yang amat digeruni AS.

Penindasan yang didakwa berlaku di Syria, hakikatnya tidak seteruk yang berlaku di Arab Saudi, Yaman, Bahrain dan sebagainya. AS cuba menutup protes dan pertumpahan darah di negara-negara terbabit kerana mereka adalah sekutunya di Asia Barat.

Berbeza dengan Bashar Assad yang begitu contrast dengan kehendak AS. Bashar rapat dengan Iran, bersahabat dengan Hizbullah di Lubnan dan yang paling jelas melindungi Hamas, Jihad Islam serta lain-lain kumpulan pro Islam yang berjuang membebaskan Palestin.

Dalam ertikata lain kedudukan Syria dan sokongan Bashar terhadap semua ini, merupakan ancaman yang paling besar terhadap negara haram Israel.

Jika dahulunya Mesir menjadi pelindung dan pembantu utama Israel, kini sekutu rapat Israel sudah tumbang. Mesir berada di kawasan Selatan. Di Utara terletaknya Lubnan, yang sentiasa tegang dengan Israel, di sebelah Timur terdapat Syria dan Jordan.

Sempadan Israel-Syria hanya terpisah dengan Bukit Golan. Manakala sempadan dengan Jordan dipisahkan dengan Laut Mati. Perkembangan di Timur Tengah menjadikan kedudukan Israel sudah tidak lagi strategik.

Jika berlaku peperangan, jalan keluar masuk untuk Israel hanyalah di sebelah kanan, menerusi Laut Mati ke Amman, Jordan dan di sebelah kiri Lautan Mediterranean. Selatan ke Mesir sudah tiada, di Utara ada Lubnan, di sebelah Timur Laut, terletaknya Syria.

Israel berada dalam keadaan yang tertekan dan terpaksa mengelakkan peperangan daripada berlaku di kawasan tersebut. Hakikatnya, selepas ketiadaan Mesir, Israel hanya ada Jordan sebagai rakan.

Justeru, dapat difahami bahawa campurtangan AS di Timur Tengah berlaku kerana, AS terpaksa berusaha menyelamatkan kedudukan Israel, kerana ia diancam dengan kebangkitan Islam di negara yang berada di sekelilingnya.

AS tiada jalan lain, selain menjatuhkan Bashar ataupun mengenakan tekanan supaya Syria sedikit lunak dengan Israel. Jika usaha ini tidak dibuat, kemungkinan penghapusan negara haram Israel yang diidamkan umat Islam, hampir menjadi kenyataan.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Rashidi Hassan

Tiada ulasan: